KOTA BHARU, 15 Dis - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam 
(MPKB-BRI) dijangka mencapai status bandar raya sepenuhnya sebelum 
menjelang tarikh yang ditetapkan iaitu 2015. 

Realiti ke arah itu semakin menjadi kenyataan apabila pendapatan 
tahunan MPKB BRI tambah meningkat sekarang. Di mana pada tahun 
hadapan hasil yang dianggarkan sebanyak RM40 juta. 

Ketua Whip Ahli Majlis MPKB-BRI, Haji Nordin Noor berkata, MPKB BRI 
sekarang berjaya mengutip separuh daripada had yang ditetapkan bagi 
mencapai status sebuah bandar raya. 

"Bagi menjadi sebuah bandar raya pendapatan tahunan yang diperlukan 
sesebuah pihak berkuasa Tempatan kena mencapai ke tahap RM80 juta. 
Ini bermakna kita sudah capai separuh daripada standard ditetapkan. 

"Sehingga kini beberapa jabatan MPKB-BRI telah mencatatkan kutipan 
hasil lebih daripada yang dijangkakan antaranya bahagian perlesenan 
dan 'parking'," katanya pada majlis makan malam meraikan perpisahan 
Yang Dipertua MPKB-BRI, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman, di sebuah hotel 
di sini, kelmarin. 

Abdul Aziz akan bertukar ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan 
sebagai pengarah baru menggantikan Dato' Ismail Latif yang bersara 
wajib. 

Difahamkan tempatnya di MPKB BRI akan diganti Haji Shafei Ismail dari 
Unit Perancang Ekonomi Negeri. 

Nordin berkata, MPKB-BRI akan melakukan perubahan dari semasa ke 
semasa selagi tidak melanggar dasar yang ditetapkan kerajaan negeri 
bagi mencapai status sebuah bandar raya. 

Abdul Aziz pula merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas 
sokongan semua pihak sepanjang berkhidmat sebagai YDP. 

"Kerajaan negeri banyak membantu saya khususnya Menteri Besar dan 
anggota-anggota Exco. Pengalaman paling bererti yang tidak dapat saya 
lupakan ialah pengisytiharan MPKB sebagai Bandar Raya Islam," 
katanya. 

Sebelum berkhidmat di MPKB-BRI, Abdul Aziz pernah bertugas sebagai 
Ketua Jajahan Pasir Puteh dan Timbalan Pengarah Upen. 

Hadir sama pada program itu anggota Exco, Takiyuddin Hassan, 
Setiausaha MPKB-BRI, Haji Nazran Mohamad dan pengarah-pengarah 
bahagian serta ahli-ahli Majlis. //Hrkh
 


Kirim email ke