KOTA BHARU, 19 Dis – Kerajaan negeri dengan kerjasama Nukluez 
Associates Sdn Bhd julung kalinya menganjurkan Karnival Pendidikan 
dan Kerjaya 2006 dengan disertai lebih 30 agensi kerajaan dan swasta. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, 
Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, karnival seumpama itu sudah lama 
dirancangkan, namun tahun ini baru menjadi kenyataan. 

"Kerajaan negeri berharap program ini akan dijadikan aktiviti tahunan 
bagi menyediakan pelbagai maklumat mengenai kerjaya dan pendidikan 
kepada ibu bapa, pelajar dan orang ramai. 

"Selain itu dapat membantu pelajar mendapatkan lebih banyak maklumat 
mengenai institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Ia juga dapat 
menggalakkan graduan menceburi bidang keusahawan," katanya ketika 
merasmikan karnival tersebut di Balai Islam hari ini. 

Karnival selama empat hari yang bermula semalam turut mendapat 
kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pelajaran Kelantan 
dan Majlis Belia. 

Sebanyak 33 agensi menyertai karnival tersebut termasuk Universiti 
Malaysia Sabah, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains 
Malaysia, Universiti Multimedia, Universiti Industri Selangor, 
Universiti Teknologi Tun Abdul Razak Kementerian Pembangunan Usahawan 
dan Koperasi dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. 

Mohd Amar berkata, maklumat mengenai peluang kerjaya dan pendidikan 
cukup penting memandangkan sebahagian besar pelajar IPTA yang 
terdapat di negara ini berasal dari Kelantan. 

Misalnya, suatu ketika dahulu hampir 80 peratus pelajar yang memasuki 
program matrikulasi di UIA adalah pelajar dari Kelantan. 

"Hampir semua universiti awam di negara ini didominankan pelajar-
pelajar Kelantan. Sebab itulah karnival mengenai kerjaya dan 
pendidikan cukup penting diadakan," katanya. 

Pengarah Urusan Nukluez Associates, Aswady Samsudin berkata, karnival 
itu menyediakan pelbagai maklumat mengenai kerjaya sebagai usaha 
mengurangkan penggunaan buruh asing bagi membangunkan negara. 

Pada hari pertama karnival itu diadakan berjaya menarik lebih 500 
pengunjung. 

Sementara itu di majlis berasingan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, 
Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman 
mengingatkan media supaya memberi gambaran sebenar mengenai sesuatu 
perkara yang berlaku di Kelantan. 

Menurutnya, walaupun sekarang musim tengkujuh di Pantai Timur, namun 
setakat ini banjir belum lagi melanda Kelantan. 

"Media harus memberi laporan sebenar berhubung perkara ini, jika 
tidak pelancong berasa takut untuk datang ke sini," ujarnya pada 
majlis makan tengahari bersama petugas media di sebuah hotel di 
sini.//Hrkh 
 


Kirim email ke