KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menerima lebih 
RM33 juta daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) 
untuk diagihkan kepada 67,000 murid dan pelajar miskin seluruh negeri 
sejak Julai lalu hingga sepanjang Januari ini.

Penerima bantuan itu terdiri murid Tahun Satu hingga Enam di sekolah 
rendah kebangsaan serta pelajar Tingkatan Satu di sekolah menengah 
kebangsaan. 

Pengarah JPN Kelantan, Ismail Mohd Noor, berkata daripada jumlah itu, 
RM27.4 juta diagihkan kepada murid miskin manakala RM6.4 juta untuk 
pelajar sekolah menengah selepas nama mereka disenaraikan daripada 
keluarga miskin.

"Murid sekolah rendah masing-masing menerima bantuan RM200 seorang 
yang diagihkan sejak Julai tahun lalu hingga awal Januari ini, 
manakala pelajar sekolah menengah menerima RM300 seorang.

"Bantuan KWAPM ini bagi meringankan beban ibu bapa murid dan pelajar 
keluarga miskin yang dikesan berdasarkan laporan pengetua dan guru 
besar sebelum dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk 
kelulusan," katanya di sini, semalam.

Ismail berkata, JPN Kelantan antara negeri paling ramai murid dan 
pelajar miskin serta mendorong Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan 
lebih besar berbanding negeri lain.

Katanya, murid dan pelajar miskin itu menerima dua kali bantuan iaitu 
KWAPM serta Bantuan Am dengan masing-masing menerima RM150 seorang 
yang diagihkan sebaik sesi pengajian bermula Selasa lalu.

"JPN dijangka menerima bantuan sama Kerajaan Pusat menerusi 
peruntukan tahunan 2007 dengan bilangan murid dan pelajar miskin yang 
dijangka bertambah berdasarkan pendapatan bulanan kurang RM500 
sebulan," katanya.

Beliau berkata, JPN juga menerima arahan Kementerian Pelajaran untuk 
memastikan setiap anak penduduk negeri itu tidak tercicir daripada 
persekolahan dengan sekurang-kurangnya memiliki kelulusan minimum 
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Oleh itu, ibu bapa tidak boleh menjadikan alasan kemiskinan untuk 
tidak menghantar anak mereka sekolah kerana Kerajaan Pusat sentiasa 
prihatin apabila setiap tahun menyalurkan bantuan termasuk kewangan 
untuk meringankan beban mereka," katanya.

Ismail berkata, JPN juga mengarahkan setiap pegawai PPD seluruh 
negeri supaya memantau kawasan pentadbiran masing-masing bagi 
mengesan kemungkinan ada kanak-kanak tercicir persekolahan sebelum 
diberi bantuan.

FAKTA NOMBOR
Bantuan KWAPM

RM27.4j
Diagihkan kepada murid miskin

RM6.4j 
Untuk pelajar sekolah menengah

RM200
Untuk seorang murid sekolah rendah

RM300
Untuk seorang pelajar sekolah menengah
//BHarian


Kirim email ke