KOTA BHARU, 23 Jan  – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam 
(MPKB-BRI) sedia mengurangkan kadar cukai pintu kepada golongan yang 
berpendapatan rendah. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, 
Haji Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu dibuat bagi mengurangkan 
bebanan golongan kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan bandar. 

"Satu kadar berbeza bagi cukai pintu akan dikaji bagi memastikan 
mereka tidak menghadapi masalah membayar cukai pintu," ujarnya 
selepas majlis angkat sumpah pelantikan ahli majlis MPKB BRI di sini, 
semalam. 

Beliau berkata, cukai pintu merupakan salah satu sumber pendapatan 
MPKB-BRI bagi melaksanakan program pembangunan dan penyelenggaraan 
kemudahan awam kepada warga bandar. 

Berucap sebelum itu beliau berharap MPKB BRI bertindak dengan cepat, 
pantas dan adil bagi menyelesaikan masalah dihadapi orang ramai. 

Menurutnya, MPKB-BRI diharap bertindak cepat dan adil dalam 
melaksanakan sesuatu perancangan dan projek serta membetulkan 
kesilapan dan kelemahan yang mungkin berlaku sebelum ini. 

"Bertindak cepat menyelesaikan masalah rakyat menjadi matlamat kepada 
setiap ahli majlis MPKB-BRI tahun ini. Ini kerana tahun 2007 
merupakan tahun di mana kita melaksanakan setiap perancangan tanpa 
berlengah lagi," ujarnya. 

Kata Takiyuddin tanggungjawab utama ahli-ahli majlis adalah bertindak 
berasaskan kebenaran, adil dan tanpa memihak ketika membuat sebarang 
keputusan. 

Menurutnya, ahli-ahli majlis jangan membuat keputusan dipengaruhi 
kepentingan-kepentingan peribadi kerana mereka adalah golongan 
pembuat dasar. 

"Kerjasama dengan pihak luar juga penting kerana tidak mungkin MPKB-
BRI dapat bergerak lancar tanpa adanya kerjasama dan bantuan pihak 
lain," tambahnya. 

Seramai lima muka baru adalah di antara 24 ahli majlis MPKB BRI yang 
mengangkat sumpah pelantikan mereka. Antaranya Mohd Nor Mat Yazid, 
Musa Amin, Mohd Makhtar Che Haron dan Zamakhsari Ibrahim yang 
mewakili parti politik, NGO dan wakil kaum.//Hrkh 
 


Kirim email ke