Saya juga tidak lagi mahu menjadi sebagai pejuang sastera untuk sementara waktu ini. Itu yang dimaksudkan duduk di barisan belakang, tidak di barisan depan. Ini bukan disebabkan oleh soal teks sastera atau sebagainya, tetapi kerana faktor dari dalaman diri sendiri.
Edi. Dipetik dari ruangan sastera Utusan Malaysia Saya juga akan menjadi penulis picisan - Lim Swee Tin BERMULA sekarang saya akan menghasilkan karya-karya popular dan picisan. Mudah-mudahan satu masa kelak ia dapat dijadikan teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas). Demikian ungkapan penyair dan penerima SEA Write Award, Dr. Lim Swee Tin kerana beliau melihat karya-karya popular dan picisan lebih mendapat tempat dalam berbanding dengan teks serius dalam Komsas. Oleh itu, beliau berpendapat wajar sahaja untuknya beralih arah melahirkan karya-karya popular dan picisan kerana seolah-olah kehendak khalayak sastera Malaysia seperti itu. Baginya untuk apa beliau terus berkarya dengan melahirkan karya-karya serius, berat dan memuatkan pelbagai pemikiran serta idealisme, sedangkan ia tidak diterima oleh masyarakat. Apa lagi Pusat Pengembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran dalam senarai teks untuk Komsas 2010 meletakkan karya-karya popular dan picisan. Kononnya teks serius tidak sesuai kerana ia membebankan pelajar. Diketepikan Akhirnya, karya-karya oleh Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diketepikan untuk memberi jalan kepada karya-karya popular tersebut. Ada nada kecewa dan kesal yang ketara terbuku dalam dada Swee Tin. Ini kerana peta sastera Malaysia kian berubah dengan karya-karya popular da n picisan yang menggunakan bahasa rojak dan tanpa objektif itu diberi keutamaan. Ada rasa dukacita yang mendalam secara peribadi apabila karya saya tidak boleh diajar kepada anak-anak bangsa. Padahal sekolah adalah permulaan untuk mereka mengenali serta membina peradaban. Jika di sini sahaja mereka telah didedahkan dengan karya-karya popular dan picisan selama 10 tahun (pengunaan teks biasanya diganti setiap satu dekad) hingga 2020 kita telah memberi satu imej buruk kepada sastera tanah air, katanya. Dalam pengertian lain, Swee Tin berpendapat, generasi muda Malaysia diberi pendedahan bahawa sastera popular dan picisan merupakan imej sebenar dunia kreatif negara ini. Di satu sisi, Sasterawan Negara dan seluruh pengarang serius terpaksa memikul beban dosa intelektual kerana membiarkan generasi muda diajar dengan karya popular dan picisan. Keputusan Swee Tin untuk menghasilkan karya-karya picisan juga bukan bermakna beliau mengorbankan kedudukannya sebagai penulis yang prolifik tetapi mengikut kehendak semasa sastera Malaysia. Namun, kerana sayangkan sastera tanahairlah, beliau akan terus berkarya tetapi dengan perspektif berbeza iaitu menghasilkan karya yang diingini oleh khalayak Malaysia walaupun mungkin terpaksa memikul beban dosa intelektual tersebut. Sememangnya tidak ada mana-mana negara di dunia yang menggunakan karya-karya popular dan picisan sebagai teks dalam pendidikan. Perkara inilah yang mengecewakan Swee Tin dan para Sasterawan Negara termasuk Datuk A. Samad Said. Mengulas mengenai keputusan A. Samad untuk tidak lagi menggunakan gelar Sasterawan Negara, Swee Tin berkata, ia berkaitan dengan rasa kesal dan kecil hati beliau dengan cadangan (keputusan?) PPK tersebut. Kekecewaan inilah yang mendorongnya melakukan aksi tegas dengan menganggap dirinya hanya mantan anugerah berprestij tersebut. Sehubungan itu, beliau hanya mahu bergerak di atas nama individu serta tidak mahu lagi terlibat dengan mana-mana program Komsas kerana menganggap PPK bakal merosakkan citra sastera negara ini dengan memilih karya popular dan picisan. A. Samad bukan merajuk. Cuma kecewa dengan cadangan PPK untuk menggunakan karya-karya popular dan picisan sebagai teks kajian Komsas yang akhirnya akan menjerumuskan generasi muda ke kancah krisis intelektual. Swee Tin berkata, mungkin Sasterawan Negara (bekas?) itu mengambil tindakan yang lebih drastik dan ekstrem berbanding dengan dirinya sesuai dengan ketegasannya memegang prinsip. Saya mengenali beliau dengan sangat akrab termasuk semua karya-karya beliau. A. Samad begitu bertanggungjawab serta sangat serius berkarya. Setiap karyanya sentiasa meletakkan kepentingan masyarakat di tingkat paling atas. Tindakan tersebut sudah tentu juga berkaitan dengan kepentingan masyarakat dan peradaban bangsa, tegas beliau. Di sisi lain, Swee Tin melihat keputusan PPK itu juga sangat aneh apabila tokoh-tokoh sastera yang diangkat serta diiktiraf oleh negara melalui proses pemilihan yang ketat tetapi karya-karya mereka dipinggirkan kerana dianggap berat untuk dipelajari di peringkat sekolah menengah dalam Komsas. Kita perlu ingat karya-karya Sasterawan Negara adalah batin, simbol peradaban dan falsafah bangsa. Tetapi dengan alasan sukar difahami kedudukan karya mereka dinafikan. Tidak mungkinkah ada karya-karya A. Samad, Shahnon Ahmad, Usman Awang dan Sasterawan Negara lain yang lebih mudah dan sederhana. Sekiranya kita mahu, ada karya seperti itu, katanya. Di sebalik, persoalan berat karya- karya oleh Sasterawan Negara tersebut, kenapa generasi terdahulu mampu menguasai sastera negara baik walaupun mereka mengkaji karya - karya Sasterawan Negara dan pengarang luar negara seperti Pramoedya Ananta Toer (Indonesia)? Menurutnya kesulitan memahami karya-karya Sasterawan Negara atau apa juga karya serius bukan persoalan yang mesti dijadikan alasan oleh PPK. Guru-guru yang bertanggungjawab mengajar sastera sudah pasti dididik mengenai kaedah serta teknik kajian, ilmu pedagogi dan cara memecah karya-karya yang sedikit sukar untuk menjadi sebuah naskhah yang indah. Jadi tidak timbul isu kesukaran memahami teks sastera yang ditulis oleh Sasterawan Negara dan sebagainya, jelas beliau. Seperti yang dijelaskan oleh beliau, sesebuah karya sastera adalah wacana tentang estetika. Melakukan pembacaan terhadap teks bererti akan membawa khalayak kepada nilai-nilai keindahan. Begitu juga dalam konteks pelajar yang mengkaji teks-teks Komsas. Pembacaan serta pemahaman tidak menjadi sukar apabila mereka diberi pendedahan yang baik. Alangkah absurdnya mencari sesuatu yang baru dalam setiap teks sastera tersebut. Lebih-lebih lagi dalam konteks estetika, ketika sesuatu idea lama dan yang baru itu bersatu sebagai wacana, pemikiran dan pokok intelektual. Namun, dapatkah kita temui dalam karya-karya picisan elemen-elemen ini? Terlalu sukar kerana setiap karya popular tidak mengutamakannya. Ia hanya sekadar paparan tentang kisah semasa remaja dan pergolakan mereka dengan bahasa yang longgar. Justeru kelonggaran tersebut mendapat tempat di kalangan remaja kerana kononnya gaya bahasa dan cerita yang diketengahkan dalam karya-karya seperti itu sesuai dengan alam kehidupan mereka. Pandangan inilah yang mungkin menjadi salah satu alasan Swee Tin untuk turut melahirkan karya-karya popular dan menjadi faktor A. Samad enggan menggunakan gelaran Sasterawan Negara lagi! - AZMAN ISMAIL
