Oleh A. Rahim Abdullah

dipetik sepenuhnya daripada akhbar Utusan Malaysia

----------------------------------------------------------------------


MEMBACA tulisan Azman Ismail (Utusan Malaysia 24 Januari 2008), saya
sangat akur dan faham kenapa Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membuat
kenyataan supaya jangan menggunakan gelaran Sasterawan Negara yang
dianugerahkan kepada beliau.

Kebetulan saya juga berada dalam majlis yang berlangsung pada petang itu.
Sebagai Sasterawan Negara yang komited dengan dunia sastera dan bangsanya,
beliau amat tersinggung dan memang berhak berbuat demikian.

Saya selalu menyebut bahawa nasib sastera kita berada dan dikepung oleh
ironi. Dan jauh daripada itu, saya melihat tindakannya atau protesnya itu
sangat dalam hikmahnya. Antara lain untuk berkias ataupun mengajar mereka
yang berkepentingan dan diamanahkan untuk melaksanakan tugasnya, tetapi
gagal atau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya hingga membawa
malapetaka kepada bangsa dan tamadun yang sedang kita bina.

Dengan kata lain, kerana berfikiran kelas tiga (ini melanggar hasrat
Perdana Menteri yang mahukan pegawai-pegawai kerajaan memiliki minda kelas
pertama) maka mustahil dapat kita bina tamadun negara ini dalam jangka
masa yang singkat. Bayangkanlah baru 50 tahun merdeka, kita sekarang
diserang pelbagai krisis moral dan krisis keyakinan. Apakah dapat kita
capai sasaran 2020?

Dapatkah kita bina tamadun Melayu yang panjang sama usianya dengan tamadun
Mesir, Yunani atau China? Sedangkan setelah 50 tahun merdeka, tanda-tanda
keruntuhan moral dan minda Melayu semakin ketara dan amat dahsyat.

Kalau begitu tidak usahlah kita mimpikan macam-macam slogan: Gemilang,
terbilang dan cemerlang. Begitu juga dengan Islam Hadhari hanya pada
kulitnya sahaja.

Kita belanja berjuta-juta ringgit menganjurkan kempen Budi Bahasa, tetapi
apa untung yang kita nampak sekarang ini?

Celakanya orang Melayu sekarang ini, kerana terlalu banyak membuka pintu
masuknya kepada pengaruh asing. Ini juga barangkali kerana sikap tidak apa
atau kerana mudahnya orang kita bertolak dan ansur menyebabkan peluang
kapitalis pascamoden senang masuk sampai ke dalam rumah kita dan terus
menjajah kita anak- beranak.

Bayangkanlah kerana media massa yang berlumba-lumba mengasak kita untuk
menyuruh kita jadi kaki hiburan murahan atau pencandu budaya pop ini, soal
maruah dan budaya bangsa langsung diabaikan oleh mereka yang terlibat
dalam industri hiburan ini.

Misalnya, dalam kuiz menduga akal, soalan bonaza dan sebagainya yang
ditawarkan sama ada yang menagih dadah atau suka bertelanjang.

Maksud

Malangnya yang membuat soalan-soalan negatif itu pun DJ (entah apa
sebenarnya maksud DJ, bagi saya bila diterjemah ke dalam budaya kita DJ
tetap membawa konotasi yang remeh dan negatif). Sepatutnya juruhebah,
penyampai berita atau juruacara atau pengacara memperlihatkan jati diri
bangsa berbudaya tinggi dengan bertanya soalan-soalan mengenai tokoh
ilmuwan, sarjana pemimpin yang berjasa, ulama, sasterawan dan seniman
negara yang cemerlang yang banyak jasanya berbanding soalan mengenai
budak-budak rock atau pelakon-pelakon drama swasta yang bercakap Melayu
pun tidak betul.

Yang anehnya, mereka yang dibayar gaji sebagai juruhebah itu juga ada yang
mengejar glamor. Malahan ada pula yang meletakkan status kejuruhebahannya
itu setaraf dengan selebriti atau artis pop Hollywood dengan karpet merah
dan harus dilayan macam superstar?

Hal-hal begini kita tidak pernah dengar ia ditegur oleh menteri-menteri
yang terlibat dalam bidang penyiaran dan media. Media massa pula mengambil
kesempatan ini sehingga mengabaikan kepentingan golongan ilmuwan,
budayawan dan intelektual bangsa sendiri! Jadi kita berharap, dengan sikap
yang diambil oleh A. Samad Said yang tergamak meletakkan dirinya sebagai
“mantan Sasterawan Negara” itu memberi satu tanda penting kepada semua
pihak. Akan segeralah tindakan proaktif oleh mereka yang berkepentingan
dan bertanggungjawab.

Saya kira, masalah menerbitkan buku teks sastera sekolah menengah ini pun
ada kaitannya dengan buku-buku teks sekolah rendah juga, yang dibimbangi
akan keluar nanti buku bacaan berunsur sastera, tetapi dipalagiatkan atau
diubah suai pihak tertentu atas kepentingan kebendaan. Saya harap dengan
adanya pernyataan terbuka ini, pihak BPR harus membuka failnya, supaya
dengan cara itu, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan masa depan
generasi muda kita menjadi mangsa sistem pendidikan yang tempang dan tidak
bijaksana.

Buku bacaan

Saya masih ingat, ketika darjah enam tahun 1960-an dulu, ada buku bacaan
kami yang menggunakan teks puisi-puisi bertemakan nasionalisme, karya
penyair Indonesia seperti Prof. Muhammad Yamin, Rustam Effendi dan Sultan
Takdir Alisjahbana dalam ejaan jawi.

Apakah pelajar Melayu zaman baru merdeka seperti saya ini lebih hebat
daripada pelajar sekolah menengah masa kini? Malah laporan UPSR dan PMR,
kononnya keputusan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pelajar kita,
melebihi tahap sasarannya, maka itu timbul pula alasan karya sastera
tinggi berat dan sukar difahami pelajar?

Kalau itu benar, ertinya kita bukan melangkah ke hadapan. Para pemikir dan
perancang pendidikan negara sekarang ini harus menerima dosanya, sekiranya
anak bangsa kita sepuluh atau lima belas tahun lagi semuanya mempunyai
minda pops, jadi pencandu budaya murahan, hilang jati diri, sirna rasa
nasionalisme dan patriotismenya dan jahil tentang sejarah negara bangsanya
sendiri disebabkan mereka yang menjadi perancang pendidikan itu berfikiran
kelas tiga seperti ini?

Saya juga menyeru para pemimpin persatuan penulis seluruh negara, agar
bangun bertindak melakukan sesuatu bukan untuk kepentingan peribadi.
Tetapi berjuang atas nama persatuan yang mereka pimpin, demi menjaga
maruah kaum penulis, bangsa dan negara yang mereka cintai. Sehingga kini,
kita tidak dengar lagi sebarang reaksi baik daripada Kementerian
Pelajaran, mahupun PPK sendiri.

Begitu juga isu ini akhirnya akan mengalir atau menjangkiti pula ke
Kementerian Pengajian Tinggi, apabila di IPT pula nanti akan ada cadangan
daripada ilmuan dan perancang bangsa Melayu sendiri, supaya jangan diajar
sastera (kononnya sastera tidak menjanjikan masa depan bangsa Melayu)

Kita hairan dengan sikap diamnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang
banyak menerbitkan buku sastera tinggi dan karya Sasterawan Negara. Kenapa
terus membisu? Yang paling ironinya tidak ada pemimpin politik Melayu
seperti UMNO, Pas atau Keadilan yang tampil.


Kirim email ke