Dunia bagai wanita tua terbaring nazak menunggu ajal
H Fansuri
Kalau tidak salah saya, Buletin Utama pada Khamis lalu (24 April) telah
menyiarkan satu laporan mengenai keadaan cuaca dan perubahan iklim di
Semenanjung Tanah Melayu. Ia memberi laporan bahawa seluruh kawasan Pantai
Timur akan terkena tempias perubahan cuaca dan ketidakstabilan iklim baru-baru
ini.
Ada laporan akhbar yang menuliskan bahawa sekarang ini, hampir semua lautan di
dunia kini berhadapan dengan masalah yang akan menjejaskan kehidupan manusia
pada masa depan jika usaha tidak dilakukan untuk menanganinya mulai sekarang.
Menurut suatu kajian, antara kawasan laut yang paling teruk terjejas
termasuklah Laut Utara, Laut China Selatan, Laut China Timur, Laut Caribbean,
Pantai Timur Amerika Utara, Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Parsi, Laut
Bering dan Lautan Pasifik Barat. Bagaimanapun, kawasan yang paling kurang
terjejas adalah berhampiran kutub.
Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa ibu kota Thailand , Bangkok bakal
tenggelam dalam tempoh 15 tahun bermula sekarang. Dalam kalangan insan yang
arif, 'terus mata' dan menurut sahibul riwayat, kota yang banyak mengundang
padah dan masalah terhadap penduduk Melayu Muslim di Selatan Thai itu akan
tenggelam dalam 15 bulan saja lagi!
Sudah tentu lautan yang akan menenggelamkan Bangkok . Hal yang sama berlaku
dengan lagenda tenggelamnya bandar Atlantis, kerajaan di Tasik Chini, Pahang,
kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, bangsa yang tenggelam di bawah
Laut Mati serta lain-lain kerajaan yang pernah ditenggelamkan Tuhan.
Pun begitu, ada juga lagenda yang menyebut Gunung Keriang pada asalnya sebuah
pulau. Paras laut kemudiannya menurun sehingga wujud pendudukan manusia baru di
situ. Dan, apabila paras laut surut dalam tempoh yang lama, pulau Keriang
digelar sebagai gunung.
Laut amat penting kepada manusia. 70% isi bumi adalah lautan dan 30% adalah
daratan. Ertinya, laut ada kemampuan untuk surut membentuk kerajaan, negara
baru dan ada masa pula paras laut akan naik meningkat lalu menenggelamkan
kedaulatan kerajaan lama.
Tubuh kita berasal daripada dunia ini. Ertinya, peratus air dalam tubuh lebih
banyak dari daging di tubuh kita. Air di bumi yang diminum bertukar menjadi
darah dalam tubuh lalu, makanan yang dicerna tercerna menjadi zat-zat protein
yang bergabung menjadi bahagian daripada daging yang membalut tulang rangka
kita. Demikianlah proses kehidupan.
Sakit di kulit tubuh kita adalah sakit di kulit bumi. Kulit dunia yang cedera,
disiat pembangunan adalah seperti yang kita rasakan. Air sungai yang kotor
bagaikan darah kita yang dicemari toksin yang dimakan daripada makanan segera
atau makanan yang disembur racun buatan manusia.
Makanan pada zaman dulu, tiada unsur-unsur perubahan ini di mana segala isi
kandungan genetiknya sekali pun telah pun diubah.
Dunia yang dihuni pada hari ini sebenarnya tidak wujud seperti yang dilihat
pada hari ini. Perubahan iklim cuaca yang menyebabkan manusia, kerajaan
berpindah randah mencari penempatan baru. Kemarau yang melanda menyebabkan
sesuatu puak akan bergerak bagi mencari penempatan baru bagi meneruskan
penghidupan.
Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj
Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti
wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan
solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang
pelbagai penyakit sejak lama.
Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat
banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang
dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang
dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan
nuklear, C4, water Canon, molotov.
Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di
Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid
kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi,
sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.
Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda
ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil
memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia
atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang
sentiasa bersengketa!
Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses
pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air
dalam tubuh kita.
Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu
berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti
sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30%
air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan
sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan
kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!
Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di
Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama
pasukannya tentang lautan. Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir
ini mengenai lautan kita.
"Pertama, setiap sudut lautan di dunia sedah terjejas akibat sekurang-kurangnya
satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai
kegiatan yang mereka lakukan. Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang
baik," katanya.
Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di
dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk
kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya?
Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan
kiamat.
Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam
al-Qur'an: "Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah."
Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua
dan manusia pihak ketiga.
Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia?
Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya
berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang
dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?
Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita
simpanan dan wanita jalang? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya
yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta
sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.
Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini
telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk
dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.
Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit
memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri
kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar
Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?
Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang,
sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar
memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak
bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak
memakai 'sarung'!
Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua
kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak
sekian lama. Bencana besar bakal melanda!
Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya
sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila
diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan
amalan, jangan hebahkan."
Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan al-Fatihah 3
kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna
merawat roh alam yang sakit in secara alternatif. Wallahu 'Alam. Oleh kerana
kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan
kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan
haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.
Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu
akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada
Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah
darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati. Darah tertumpah atas
niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar.
Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk
makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz
talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.
Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat
menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan
kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang
timbul akibat perang manusia.
Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam
tubuh yang menjadi laluan darah selama ini. Tuhan mencipta sistem peredaran
darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh
dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota
yang coklat akan jernih kembali?)
Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya
saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu
menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh
sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun
lemak dan lain-lain unsur.
Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan
sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan,
kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?
Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali
gus merawar 'kesihatan dunia kini?
'Rawatan alternatif' kepada dunia?
Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat
bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat
dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah
itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama
sejagat menangani 'global warming'.
Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan
Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi
juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai.
Itu kerja manusia Barat.
Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang
mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk
penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang
boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat
ghaib yang tidak dapat dicapai indera.
Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal
dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh,
jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk
menyembuhkan bumi ini.
Islam misalnya mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat
kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana
hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.
Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang
Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah
rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang
hidup menaungi bumi ini.
Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan
apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila
ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini
dikenali sebagai kiamat.
Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi
beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini.
Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu
tidak melarikan diri.
Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan
punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek
moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.
Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang
hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering,
gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan
pohonan hijau merendang.
Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita
ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan
ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam
kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat
apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.
Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang
dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang
mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.
Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang
bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka,
bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.
Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga
telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka
akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka
daripada bertembung.
Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka
yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami
manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia
hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah
ibu mengandung.
________________________________________________________
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/