Perkukuh kembali kuasa raja!-disedut dari UTUSAN
MALAYSIA
JOHOR BAHRU 3 Mei Kongres Permuafakatan Melayu
diminta menggerakkan usaha ke arah memperkukuhkan
kembali kuasa raja-raja Melayu supaya kedaulatan dan
kekuasaan orang Melayu sentiasa terjamin.
Para peserta kongres tidak mahu raja-raja Melayu hanya
sekadar menjadi simbol sebaliknya mereka mahu
institusi raja berada dalam kedudukan untuk menjadi
penjaga kelangsungan politik Melayu.
Ada yang berpendapat kuasa raja-raja yang pernah
dikurangkan pada suatu ketika dahulu perlu
dikembalikan.
Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS), Rosdi Amir berkata, kuasa raja-raja Melayu
perlu diperkukuhkan kembali memandangkan kekuasaan
mereka kini semakin lemah.
Beliau yakin jika kuasa raja-raja Melayu dikembalikan
dan diperkuatkan, institusi itu tidak akan mencampuri
urusan kerajaan sebaliknya mereka berada di satu
kedudukan yang mampu memantau kelangsungan hak-hak
Melayu dengan lebih baik dan berkesan.
Sebagai contoh katanya, pada masa ini, sebarang
perubahan Perlembagaan negara umpamanya, jika tidak
dipersetujui raja-raja Melayu masih boleh
dikuatkuasakan selepas 60 hari ia diluluskan.
Kalau Perlembagaan negeri pun boleh diubah seperti
itu, mungkin pada masa akan datang kita tidak boleh
lihat raja-raja Melayu campur tangan meminta Menteri
Besar Melayu dilantik seperti yang berlaku di Perak
baru-baru ini.
Pada pilihan raya umum akan datang, mungkin lebih
ramai ahli Parlimen pembangkang terdiri daripada bukan
Melayu menang dan mereka boleh meminda Perlembagaan
dengan tidak memberikan kuasa kepada raja-raja Melayu
untuk melantik Menteri Besar.
Kalau raja-raja Melayu tidak setuju pun, tetapi
sudah diluluskan di Dewan Undangan Negeri, ia tetap
akan efektif selepas 60 hari, katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan kertas
kerja Kedaulatan Politik Melayu pada Kongres
Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Persada, di sini hari ini.
Ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas itu Rosdi
berkata, senario pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu
memperlihatkan betapa pentingnya kuasa raja-raja
Melayu diperkukuhkan.
Kata beliau, bila tiba waktunya nanti, kuasa yang
dimiliki raja-raja Melayu dapat digunakan untuk
menjaga kebajikan dan hak orang Melayu di negara ini.
Menurutnya, senario ini sudah berlaku di negeri-negeri
yang dikuasai parti pembangkang majoriti bukan Melayu
selepas pilihan raya lalu, yang mana segala harapan
menjaga kedaulatan kuasa Melayu terpaksa diletakkan di
bahu raja-rajanya kerana Kerajaan Persekutuan tidak
mampu campur tangan.
Sementara itu, pakar sejarah negara, Prof. Datuk
Ramlah Adam turut mengakui institusi raja pada masa
ini berada dalam keadaan yang tidak kukuh seperti
dahulu.
Menurutnya, perubahan pada Perlembagaan negara
memerlukan dua pertiga persetujuan ahli Parlimen dan
pada masa ini kedudukan kuasa Melayu dalam Parlimen
tanpa mengira parti hanyalah majoriti mudah iaitu 124
orang sahaja.
Perpecahan Melayu pada masa ini sangat ketara,
dikhuatiri kuasa raja-raja Melayu juga boleh tergugat
akibat kelemahan kuasa politik Melayu, katanya.
Justeru, raja-raja Melayu adalah paksi yang perlu
dipertahankan.
____________________________________________________________________________________
Be a better friend, newshound, and
know-it-all with Yahoo! Mobile. Try it now.
http://mobile.yahoo.com/;_ylt=Ahu06i62sR8HDtDypao8Wcj9tAcJ