RENCANA-disedut dari UTUSAN MALAYSIA MINGGU hari ini
Keunikan stesen kereta api Cikini
STESEN kereta api Cikini, Jakarta Pusat bukan sekadar
sebuah perhentian untuk menaik dan menurunkan
penumpang.
Bagi penduduk Jakarta dan pelawat luar, stesen
keretapi di pusat kota itu juga ialah pusat membeli
barang-barang kraftangan dan pelbagai hiasan daripada
buluh, rotan, kayu dan pelbagai tumbuhan.
Pusat jualan barang-barang kraftangan itu begitu
popular bagi rakyat Malaysia. Mereka tahu di situ ada
barang-barang yang menarik untuk dibawa pulang.
Apa tidaknya mereka boleh membeli bekas, bakul untuk
hantaran perkahwinan, majlis jamuan, peralatan dapur,
kota bungkusan hadiah, kotak-kotak hiasan, bunga
kering, ukiran dan lukisan.
Harganya juga relatif murah dibandingkan di tempat
lain, malah ramai yang menempahnya untuk dijual.
Pelbagai barang kraftangan yang dijual di bawah stesen
kereta api itu adalah cerita tentang kreativiti dan
kerajinan penduduk yang memanfaatkan segala sumber
alam termasuk kayu dan bahan-bahan yang terbuang.
Kebanyakan produk buluh dan rotan yang dijual di situ
dibawa dari Jawa Tengah dan Jawa Timur. Dua pelawat
dari Malaysia yang tidak pernah ke datang ke Jakarta
memberitahu, mereka mendapat cerita dari rakan bahawa
stesen Cikini ada segala barang kraf yang diperlukan.
Pengusaha sebuah kedai kek itu akhir menemui apa yang
dihajati dan menjadi "mamun mata" sebaik melihat
barang-barang cenderahati yang dijual.
Cikini bukan sahaja dikenali kerana tempat menjual
barang-barang kraftangan tetapi juga pinggan mangkuk
buatan tempatan dan luar negeri termasuk dari China
dan Perancis.
Menjelang lebaran dan musim kenduri kahwin, Cikini
adalah tempat yang menjadi tumpuan orang ramai bukan
sahaja dari Jakarta tetapi dari luar daerah.
Di sisi lain, Cikini merupakan tempat berkumpulnya
para seniman untuk bereskpresi dan berdiskusi kerana
di situ terdapat pusat kesenian Jakarta yang terkenal
- Taman Ismail Marzuki (TIM).
Di situlah pementasan drama, teater, orkestra, konsert
muzik dan pertunjukan seni budaya dari dalam dan luar
negara selain pameran seni lukis dan karya sastera
dipertontonkan kepada umum.
PenyairSelain panggung wayang, TIM adalah tempat para
penyair tersohor seperti W.S Wendra dan dari seluruh
dunia mendeklamasi puisi.
Malam dan siang Cikini tidak banyak beza. Aktiviti
malam tetap mewarnai kawasan tersebut yang sentiasa
bergemerlapan. Hotel-hotel bertaraf sederhana dan
murah sentiasa bersedia menerima kunjungan tetamu.
Paginya pasar kecil yang menjual barangan 'runcit,
sayuran dan buah-buah kelihatan rapi dan bersih riuh
dengan penjual dan pembeli.
Sebuah pasar kembang tidak jauh dari stesen keretapi
menjadi tumpuan untuk membeli bunga segar buah hadiah
dan upacara kematian.
Restoran makanan padang dan makanan segera menjadi
pilihan selepas penat memilih barang-barang yang
dicari.
Lalu, apa lagi yang ada di Cikini? Hanya mereka yang
kerap berkunjung di situ tahu yang membuat mereka
berminat tinggal di hotel-hotel sekitar Cikini.
Seperti juga Kemang, Lokasari, Jalan Jaksa, Sarinah,
Hayam Wuruk dan Blok M, Cikini juga adalah antara
tempat pelancongan malam di Jakarta.
- Mingguan.