UTUSAN MALAYSIA selasa 8 julai 2008-BERITA UTAMA





EPG tumpu ekonomi, pelaburan, sosiobudaya








DIMETERAI... Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang 
Yudhoyono bertukar-tukar dokumen selepas merasmikan pelancaran Kumpulan 
Tokoh-Tokoh Terkemuka (EPG) kedua-dua negara sempena Sidang Kemuncak D-8 di 
Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 7 Julai - Malaysia dan Indonesia hari ini secara bersama 
mengumumkan penubuhan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) untuk menyelesaikan 
sebarang isu berbangkit dalam hubungan dua hala.
Malaysia dan Indonesia masing-masing melantik tujuh orang untuk menganggotai 
kumpulan tersebut.
EPG Malaysia dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam 
sementara EPG Indonesia dipengerusikan oleh bekas wakil Presidennya, Jeneral 
(B) Tan Sri Try Sutrisno.
Antara bidang kerjasama yang akan difokuskan oleh kedua-dua EPG ialah ekonomi, 
pelaburan dan sosiobudaya.
 
Selain Musa, EPG Malaysia dianggotai oleh bekas Panglima Angkatan Tentera, 
Jeneral Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin; pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim; 
bekas Setiausaha Negara, Tan Sri Halim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri 
Sarawak, Tan Sri Hamid Bugo.
 
Dua lagi anggota dalam EPG Malaysia ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman 
Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas dan Timbalan Ketua 
Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
 
Sementara anggota EPG Indonesia ialah bekas Menteri Luarnya, Ali Alatas; bekas 
Duta Indonesia ke Mesir, Profesor Dr. Quraisy Shihab; bekas diplomat Indonesia 
ke Malaysia, Des Alwi Abu Bakar.
 
Anggota lain dalam EPG Indonesia ialah Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia, 
Dr. Musni Umar; tokoh wanita Indonesia, Dr. Prudentia Maria Purenti Sri 
Suniarti dan wakil golongan muda dan ahli perniagaan Indonesia, Wahyuni Bahar.



      

Kirim email ke