BERITA HARIAN-Rabu 9 Juli 2008-BMDUA 
Asal usul Melayu terus dikaji
Oleh Mohd Azis Ngah 
[EMAIL PROTECTED] 





TELITI memeriksa serpihan artifak.


Pulau Kalumpang dipercayai penempatan pertama manusia prasejarah 

MENELUSURI asal usul keturunan Melayu di Nusantara amat menarik tetapi sehingga 
kini belum ada ketetapan muktamad kerana terlalu banyak teori dan hujah. 

Merujuk kepada perlembagaan, orang Melayu adalah seorang Muslim, bertutur 
Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini bermakna sesiapa saja 
tanpa kira asal usul bangsanya boleh bergelar Melayu jika memiliki ciri-ciri di 
atas. 


 
Namun, definisi Melayu di alam Melayu ditakrif sebagai mereka yang mendiami 
alam Melayu dan bertutur bahasa Austronesia/Melayu-Polinesia. 

Pengkaji sejarah, ahli arkeologi, pakar bahasa sentiasa mencari bukti kukuh 
melalui pelbagai kajian sekali gus menyemarakkan usaha mengesan asal usul 
Melayu. 

Wartawan Berita Minggu berpeluang mengikuti satu kajian lapangan oleh pakar 
arkeologi, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang kini 
mengkaji penemuan tapak arkeologi pra sejarah pertama di dunia yang dihuni 
manusia di kawasan bakau di Pulau Kalumpang, Perak. 





DR NIK Hassan bersama kumpulan pengkaji melakukan kerja cari gali artifak di 
Pulau Kelumpang.


Memang banyak negara yang mempunyai kawasan bakau seperti India, Kemboja dan 
Afrika tetapi hanya di Malaysia dikesan mempunyai kesan peninggalan penempatan 
manusia prasejarah. 

Kerja mencari gali dimulakan pada 1987 selama dua tahun dan dihentikan sebelum 
dimulakan semula sejak Mei lalu. Hasil kajian pertama, Prof Nik Hassan menemui 
11 rangka manusia prasejarah dipercayai dikebumikan di tanah perkuburan di 
situ. 

Manusia prasejarah itu dikatakan menanam mayat di bawah rumah mereka kerana 
pengkaji menemui tinggalan sisa makanan, tulang manusia, gigi yang dipercayai 
manusia yang hidup di abad kedua Sebelum Masihi hingga 10 Masihi. 

"Kajian ini lebih menjurus kepada mengesan siapa yang sebenarnya tinggal di 
situ. Kami percaya penempatan ini didiami sekumpulan manusia keturunan Melayu 
yang hidup di pesisir pantai. Mungkin juga mereka keturunan India, Sumatera 
atau Orang Laut. 






"Mereka lebih terbuka kepada hubungan luar berbanding Melayu yang tinggal di 
pedalaman. Bukti gigi dengan kesan makanan sirih dan pinang menguatkan hujah 
kemungkinan mereka orang Melayu dan penemuan serpihan tembikar, manik 
menunjukkan mereka berhubung dengan dunia luar," katanya. 

Menariknya, Pulau Kalumpang yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki 
bot dari jeti Kuala Gula, mempunyai tujuh kawasan penempatan yang mempunyai 
keluasan dua kilometer. Pulau itu juga mempunyai banyak pokok buluh yang 
sememangnya diakui tidak akan tumbuh di kawasan bakau. 

Pokok buluh itu hidup subur dipercayai ditanam dengan tujuan pelbagai guna 
untuk membuat rumah, senjata dan alat menangkap ikan. Selain itu, penemuan 
kerang pelbagai jenis menunjukkan penduduk di situ sememangnya menjadikan hasil 
laut sebagai makanan utama. 

Penduduk tempatan menggelar pulau itu sebagai Pulau Kota Kerang, ada yang 
memanggilnya Pulau Buluh. 

"Berdasarkan penemuan di pelbagai peringkat lapisan tanah, jelas menunjukkan 
diet makanan mereka juga berubah mengikut zaman. Kami menemui tulang ikan, 
monyet, burung, kepala babi dan beruk, mereka makan apa saja tetapi pada masa 
itu, rasanya mereka tidak beragama. 

"Persoalannya ialah bagaimana mereka hilang atau berpindah, kami tidak pasti 
dan sedang mengkaji," katanya. 

Ketika ini, Prof Nik Hassan dan pasukannya sudah menemui 50 jenis kerang 
pelbagai saiz yang jelas membezakan perubahan makanan penduduk di situ. Cara 
hidup mereka boleh dinilai berdasarkan sisa makanan yang ditemui. 

Apa yang pasti, pasukannya gigih menjalankan kajian sama ada penempatan di situ 
mempunyai kaitan langsung dengan orang Melayu yang tinggal berhampiran di Kuala 
Sepetang, Kuala Gula atau Kuala Kurau dan ia perlu dipastikan melalui ujian 
Asid Deoksiribonukleik (DNA). 

Info: Tapak Arkeologi Pulau Kalumpang 

Pulau Kelumpang 


Mempunyai tujuh kawasan (Pulau Satu hingga Pulau Tujuh) seluas dua kilometer 


Pulau Satu hingga Pulau Lima adalah kawasan utama kajian 


Pulau Enam dan Pulau Tujuh terletak berdepan Pulau Selinsing 


Tapak itu diwartakan sebagai Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi sebagai 
perkuburan prasejarah pada 15 Julai 2007. 


Pemetaan dan sukatan geografi mula dijalankan di situ pada tahun 1988. 

Cetak artikel  |  Hantar pada kawan


      

Kirim email ke