UTUSAN MALAYSIA-SASTERA
ARKIB : 11/08/2008
Dedikasi untuk S. Othman Kelantan
Oleh ABD. AZIZ ITAR
[EMAIL PROTECTED]
ISMAS
SARING
TANGGAL 30 Julai lalu, dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang lagi
Sasterawan Negara dan juga pejuang bahasa yang cukup disegani iaitu Dr. Syed
Othman Syed Omar atau lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan yang meninggal
dunia pada usia 70 tahun.
Pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan setakat ditangisi sanak saudara
beliau, tetapi para sahabatnya dan khalayak sastera tanah air yang didedikasi
menerusi karya-karya mereka.
Aktivis sastera tempatan, Datuk Dr. Mansur Abdullah misalnya, merupakan antara
rakan rapat S. Othman Kelantan ketika hayatnya yang tidak terkecuali meluahkan
rasa sedih dan penghormatannya terhadap pemergian Allahyarham.
Beliau mengungkap perasaannya itu menerusi sebuah puisi tulisannya berjudul
Pulangnya Seorang Perantau, di mana ia merupakan sajak pertama yang ditulis
khusus untuk Sasterawan Negara itu selepas Allahyarham meninggal dunia.
Katanya, puisi itu ditulis pada malam selepas membantu memandi, mengkafankan
dan mengebumikan jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pangkas,
Bangi, Selangor baru-baru ini.
Sebak/Terharu
“Sewaktu mencangkul di kubur dan berada di pusara Allahyarham saya berasa
amat sebak hingga menitiskan air mata. Ini kerana, saya amat rapat dengan
Allahyarham dan mengenali beliau sejak tahun 1960-an lagi.
“Saya anggap Allahyarham sebagai ayah, abang, guru dan sahabat. Jadi, puisi
ini saya tulis khas untuk Allahyarham,” katanya ketika ditemui selepas beliau
membacakan puisi itu pada majlis Baca Puisi Pena - Dewan Sastera di Rumah Pena,
Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
Menurut Dr. Mansur atau lebih terkenal dengan nama penanya M. Asikin, beliau
dan Allahyarham mula rapat ketika sama-sama melanjutkan pengajian luar kampus
di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pada tahun 1974 dalam bidang
kesusasteraan.
Malah, kata Dr. Mansur sebelum itu lagi, mereka sudah mula rapat apabila
beliau dan Allahyarham sama-sama aktif dalam persatuan Gabungan Persatuan
Penulis Nasional (Gapena).
“Antara lain, menerusi puisi itu, saya cuba meluahkan rasa kehilangan saya
sebagai seorang kawan atas pemergian seorang sahabat yang sukar dicari ganti.
Bagi saya, Allahyarham seorang penulis yang unik kerana gaya penulisannya lain
daripada lain.
“Allahyarham menulis tidak secara terang-terangan tetapi ia turut sarat
dengan nilai-nilai falsafah yang tinggi termasuklah unsur-unsur agama. Saya
harap anak beliau, S. M. Zakir akan meneruskan perjuangan bapanya itu,” ujarnya
lagi.
Selain mendeklamasikan puisi Pulangnya Seorang Perantau, Dr. Mansur turut
membacakan puisi berjudul Jika Kau Nanti, Mohonlah Selalu dan Khabar Berita.
Selain mendedikasikan puisi untuk S. Othman Kelantan, acara anjuran
Persatuan Penulis Nasional (Pena) itu tidak ketinggalan menampilkan isu-isu
semasa.
Contohnya, seperti yang dipaparkan oleh Khalid Salleh melalui puisinya
berjudul Siapa Dan Kenapa Inul?, karya itu seakan-akan mencetuskan tanda tanya
ramai mengapa dua konsert penyanyi dangdut dari Indonesia yang sepatutnya
diadakan
di negara ini baru-baru ini telah dibatalkan pada saat-saat akhir.
Penyair veteran Ismas Saring turut menarik perhatian ramai dengan puisinya
yang bertajuk Di Hujung Musim Darurat (Mengenang Mujahid Menggapai Kemerdekaan)
yang antara lain bermesejkan perjuangan orang Melayu menentang komunis ketika
zaman darurat dahulu.
“Ramai orang kata kemerdekaan di negara ini dijulang atas dulang emas,
tetapi bagi saya ia merupakan pengorbanan di atas darah para pejuang. Saya
sendiri merupakan bekas anggota polis dari tahun 1956 hingga 1959.
Pengalaman pahit
“Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit apabila seorang sarjan mati di
atas pangkuan saya ketika kami sama-sama berjuang menentang komunis pada ketika
itu,” kata aktivis sastera berusia 70 tahun ini.
Pemuisi lain yang terbabit pada malam itu ialah Datuk Rohani Ahmad melalui
sajaknya yang berjudul Kod 888, Dr. Ahmad Razali Yusof (Perempuan Terakhir
Itu), Safrullah Sandrei (Empat Jam, Puisi Yang Datar) dan Napie Mat (Apabila
Waktu Di Hitung, Khabar Penyair Dari Desa).
Turut serta menjayakan majlis itu ialah Malim Ghozali PK menerusi puisinya
berjudul Malam Tak Pernah Kenal Siapa, Fantasi Malam, Mas Adiki (Ratib Buai
Anak), Amiruddin Hanafiah (Jangan Bohongi Kemerdekaan) dan Grup Pemuisi Fakulti
Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor (Khazanah
Berzaman).
Para pelajar UPM terbabit yang seramai 80
orang itu turut mengadakan persembahan seperti sketsa dan joget lambak.
Pengacara majlis pada malam itu, Dr. Ibrahim Ghaffar tidak ketinggalan
membacakan puisinya yang berjudul Negeriku... Bukit Kapar Kampungku pada acara
sebulan sekali itu.
Kata Dr. Ibrahim, sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, beliau
akan menganjurkan Majlis Moreh Puisi II yang akan diadakan di rumahnya di Bukit
Kapar, Klang, Selangor, pada minggu ketiga bulan yang mulia itu.
“Tahun lepas saya menganjurkan majlis yang sama di mana hampir 100 orang
datang menghadirinya. Pada majlis itu nanti, acara bakal diadakan dari pukul 10
malam hingga ke sahur di mana makan dan minum akan disediakan,” jelasnya yang
tampil botak dan bertopi cowboy pada malam itu sempena ulang tahun kelahirannya
pada 2 Ogos lalu.
S. Othman dan sastera Islam
PANDANGAN S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara kesembilan terhadap apa yang
dinamakan kesusasteraan Islam dapat disimpulkan menerusi buku Allahyarham, Arah
Pemikiran Sastera Malaysia.
Salah satu sumbangan yang melayakkan allahyarham menerima Anugerah Sasterawan
Negara pada tahun 2003 ialah pembabitan di dalam fenomena sastera Islam. Ini
disebut di dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 2003 ketika
membincangkan karyanya Ruang Perjalanan (1989). Laporan menyebut, “Ruang
Perjalanan muncul ketika khalayak sastera sedang membahaskan mengenai sastera
Islam sebagai satu genre dalam karya sastera. Ruang Perjalanan boleh
digolongkan ke dalam genre sastera Islam.”
Dewan Sastera Mac 2004 ikut memuatkan artikel Che Abdullah Che Ya berjudul
Satu Perjalanan Kritis S. Othman Kelantan yang antara lain bertujuan mengangkat
sumbangan S. Othman di dalam sastera Islam terutama menerusi buku Arah
Pemikiran Sastera Malaysia.
Memperakukan
Secara ringkas S. Othman Kelantan memperakukan yang dinamakan kesusasteraan
Islam itu pada allahyarham antara lain ialah karya-karya, terutama dalam bentuk
kreatif, yang menunjukkan kemurnian akhlak, moral, merangsangkan manusia untuk
berbuat baik, bersyukur kepada nikmat Tuhan dan menyedari kebesaran-Nya memberi
kesan yang positif kepada manusia dan menjelaskan sesuatu yang konstruktif.
Karya itu dibina dalam bentuk struktur yang baik dan dalam bahasa yang kreatif
dan imaginatif. Keperluan estetik diperlukan dalam kombinasi antara bentuk dan
isi.
Di dalam bahagian pertama buku itu, S. Othman antara lain menyentuh
kemasukan Islam di Malaysia, perkembangan fikiran melalui kitab-kitab,
kebangkitan fahaman kaum muda, kebangkitan ulama-ulama Kelantan dan Patani dan
penyebaran Islam menerusi media massa.
Adalah signifikan untuk dinyatakan, allahyarham menerima hujah Syed Naquib
al Attas bahawa kedatangan Islam telah mengangkat ketinggian bahasa Melayu.
Syed Muhammad Naguib dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu,
menyarankan Hamzah Fansuri sebagai tokoh pemodenan kesusasteraan Melayu.
Sasterawan Negara ini menyetujui penerokaan alam falsafah, tasawuf dan kesufian
di dalam karya-
karya klasik khususnya pada karya Hamzah Fansuri dan Tok Kenali menjadi ukur
tara awal apakah yang dimaksudkan dengan sastera
moden. Malah bagi beliau keutuhan dan pembangunan bahasa Melayu bergerak
sejajar dengan penggunaan tulisan jawi dan kelahiran karya sastera Islam.
S. Othman di dalam bahagian ini juga menggariskan dengan terang apakah yang
beliau maksudkan dengan kebudayaan, yang jelas sekali ikut disandarkan kepada
ajaran Islam. Untuk melihat sesuatu yang akan disebut dengan nama kebudayaan,
haruslah diasaskan kepada tiga perkara: iaitu dilandaskan kepada muslahat al
mursalah, atas kepentingan umum. Seterusnya, segala usaha pengkaryaan
dilandaskan kepada tujuan seni, yakni zarif. Dan terakhir, segala usaha itu
dilandaskan kepada akibat, iaitu fikiran untuk apa sesuatu usaha itu
dijalankan.
Bertitik tolak dari pandangan-pandangan yang jelas ini, S. Othman mengemukakan
konsep sastera Islam yang menurutnya tidak dapat tidak bermula atau
bersumberkan dari al-Quran dan Hadis. S. Othman juga beranggapan yang karya
sastera Islam dapat dilahirkan dengan berkesan oleh penulis-penulis dengan
kefahaman Islam yang mendalam.
Sasterawan Negara ini turut meletakkan beberapa ciri sastera Islam iaitu
antara lain memancarkan ilmu pengetahuan. Pengarang juga menurut S. Othman
mesti memancarkan sifat mukalaf, iaitu sikap bertanggungjawab atas semua tugas
dan membina semangat untuk berbakti terhadap agama, bangsa dan tanahair.
Selain dari itu satu lagi gagasan S. Othman iaitu mengenai kritikan
Melayu-Islam wajar disentuh di sini, ia adalah satu cubaan S. Othman meletakkan
asas keislaman kepada genre kritikan di dalam sastera tanah air. S. Othman
mengemukakan kritikan Melayu-Islam ini menerusi dua eseinya di Dewan Sastera
iaitu Kritikan dari Perspektif Melayu dan Islam (Mac 1989) dan Masalah Kritikan
Kita (Novmber 1991).
Berdasarkan dua esei ini dikesani sekurang-kurangnya enam prinsip kritikan
Melayu- Islam iaitu, teguran yang menyedarkan, beri pengetahuan yang
bermanfaat, berhujah dengan pengetahuan yang lebih baik, mendatangkan pemikiran
atau membolehkan berfikir, menggambarkan kebijaksanaan, sama ada individu yang
menyampaikannya atau matlamat yang dituju iaitu dari kaedah atau cara
pendekatan yang dipilih dan kritikan harus memancarkan peribadi insaniah yang
berfikir dan tunduk kepada kebenaran hakiki.
S Othman turut menegaskan bahawa kritikan Melayu-Islam ini adalah bertujuan
murni untuk membina martabat manusia sebagai makhluk bersopan, sebagai makhluk
berbudaya dan sebagai makhluk bermasyarakat.
Adalah jelas S. Othman ikut melibatkan diri di dalam fenomena sastera Islam
di Malaysia melalui pengemukaan gagasan pemikiran dan penghasilan karya
kreatif. Sumbangan Allahyarham yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu serba
sedikit ikut merancakkan kemeriahan dunia sastera Islam.