Sumbang Idea Penerbitan ( dari blog CelikHuruf )
SEBAGAI seorang editor yang sentiasa merancang dan merangka juzuk mana mahu diteroka saya sentiasa dahaga akan idea-idea tentang kehendak pembaca di luar sana. Kadang-kadang terlalu sangat berfikir dalam kelonsong minda seorang editor membuatkan kita lupa keperluan sebenar seorang pembaca. Apa yang mereka kehendakkan? Dalam ilmu kewartawanan pernah saya disua dengan persoalan editor yang menyuapkan maklumat yang harus/ patut diketahui oleh pembaca; sebaliknya bukan apa yang dimahukan oleh seorang pembaca. Akhirnya terhasillah sebuah bahan bacaan yang melukut menagih minat pembaca. Tewas diuji masa juga tewas diuji cabaran bahan-bahan bacaan yang berlambak di pasaran. Demikian juga sebagai seorang penulis. Seharusnya juga kita meletakkan diri kita di pihak pembaca biasa. Pencari maklumat dan penikmat ilmu yang ghairah. Baik penulisan kreatif, bahan rujukan umum, atau buku-buku berbentuk panduan, apakah sebenarnya kegilaan pembaca di luar sana. Mungkin juga pembaca boleh dipecahkan kepada beberapa segmen tertentu. Misalnya, musim-musim perayaan dan pada bulan Ramadhan begini kemeriahan buku-buku resepi dan juga buku-buku keagamaan seakan melonjak. Saya tidak pasti akan hasil jualannya tetapi paparan di kedai-kedai buku ada kecenderungan untuk melebih-lebihkan penonjolan buku dari genre ini. Walau bagaimanapun asalkan usaha itu satu usaha positif melariskan penyebaran ilmu, saya tumpang seronok! Saya ingin mengajak sahabat yang berkunjung ke laman blog saya ini untuk berkongsi idea dan pengetahuan tentang pembinaan judul-judul yang boleh memberi manfaat kepada para pembaca. Andainya idea dan saranan itu berkilau bagaikan intan antara kaca apa kata kita sama-sama usahakan menjadi sebuah manuskrip yang bernilai. p/s: Fenomena berblog memperlihatkan perkembangan positif dalam dunia pengkaryaan. Ada yang tidak pernah mencatat di dalam diari sebelum ini tetapi ghairah menurunkan setiap peristiwa peribadi seperti catatan memoir. Setuju? Ikuti soal jawab penerbitan dengan Editor, Rozlan Mohamed Noor di www.celikhuruf.blogspot.com -- Be Yourself @ mail.com! Choose From 200+ Email Addresses Get a Free Account at www.mail.com
