BERITA UTAMA-UTUSAN MALAYSIA
Mat berhenti sekolah sara 8 adik
Oleh ZAMZURINA AHMAD
MENUNGGU BAJU RAYA... Mohd. Norshahrul Amri Anuar, (berdiri ) yang juga
dikenali sebagai Mat kini terpaksa menjadi ketua keluarga menyara lapan
adiknya, (dari kiri) Mastuti Nursiti Atikah, Ima Edayu, Mohd. Adam, Mohd. Wafi,
Mohd Ellyas, Mohd. Ellyasaq, Nur Amisha dan Ahmad Danial (tiada dalam gambar)
yang tinggal di bangsal membuat nira nipah milik datuk saudara mereka di Titi
Bakong, Yan, Kedah, semalam.
YAN 25 Sept. – Tiada yang lebih membahagiakan hati seorang abang setiap kali
tiba hari lebaran selain melihat adik-adiknya segak memakai pakaian baru.
Itulah yang dirasai oleh remaja berusia 14 tahun di Titi Bakong dekat sini yang
sanggup berkorban meninggalkan alam persekolahan semata-mata untuk melengkapkan
sambutan Hari Raya Aidilfitri buat lapan adiknya.
Mohd. Norshahrul Amri Anuar, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan
Yan di sini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas
bapanya dipenjarakan baru-baru ini.
“Walaupun saya kecewa dengan apa yang berlaku, sebagai anak sulung, saya berasa
bertanggungjawab untuk menguruskan makan dan pakai adik-adik.
“Tak sanggup saya nak harapkan emak seorang diri menguruskan semua itu,
tambahan pula adik-adik masih kecil untuk mengerti apa yang berlaku kepada
keluarga kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Titi Bakong di
sini.
Ekoran kedaifan itu, dia yang mesra dengan panggilan Mat terpaksa meninggalkan
sekolah sejak awal bulan ini untuk bekerja sebagai kelindan lori dengan
pendapatan harian RM10.
“Dengan pendapatan yang tidak seberapa, sedikit sebanyak ia dapat membantu emak
menyediakan pakaian adik-adik tanpa hanya bergantung harap kepada ihsan
jiran-jiran,” ujarnya.
Mohd. Norshahrul Amri, adik- adik dan ibunya hanya berteduh di sebuah bangsal
membuat nira nipah milik datuk saudaranya.
“Walaupun bangsal ini tidak mempunyai sebarang kemudahan, ia sudah cukup
membuatkan kami bersyukur kerana diberi tempat untuk berteduh,’’ ujarnya sayu
sambil memandang ibunya, Norsidah Abu, 30.
Mohd. Norshahrul Amri juga terpaksa membantu ibunya menguruskan persekolahan
empat adiknya iaitu Mastuti Nursiti Atika, 13; Ima Edayu, 11; Mohd. Adam, 9 dan
Mohd. Wafi, 7.
Empat lagi adiknya ialah Mohd. Ellyas, 5; Mohd. Ellyasaq, 5; Nur Amisha, 3, dan
Ahmad Danial, dua bulan.
Sementara itu, ibunya Norsidah berkata, jika diikutkan hati, dia tidak sanggup
melihat Mohd. Norshahrul Amri berhenti sekolah untuk menyara mereka sekeluarga.
“Saya sering berkata kepadanya bahawa tempat dia adalah di sekolah dan bukannya
di atas lori seperti sekarang.
“Tetapi dalam keadaan yang mendesak seperti ini, saya terpaksa membenarkan dia
bekerja untuk mencari belanja makan dan minum kami terutama menjelang hari
raya,” katanya.
Yahoo! Toolbar kini dilengkapi Anti-Virus dan Anti-Adware gratis.
Download Yahoo! Toolbar sekarang.
http://id.toolbar.yahoo.com