RENCANA-UTUSAN MALAYSIA

 
 
 

                
                













Usaha Barat kekang pejuang Islam Somalia
Oleh AZMI HASSAN




resolusi pbb yang memberi
kuasa sepenuhnya untuk memerangi lanun di perairan Teluk Aden tidak
dapat mengelak daripada dikaitkan dengan percubaan kuasa Barat
menghalang Somalia sekali lagi dikuasai oleh pejuang Islam. 
-  AP 



RESOLUSI Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang
memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun
berdekatan pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke
atas kubu lanun mendapat persetujuan sebulat suara 15 ahli majlis
tersebut.

Keputusan tersebut mungkin tidak menghairankan kerana kegiatan lanun
di laluan kapal yang agak sibuk terutama sekali di sepanjang Teluk Aden
semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tidak terkawal.
 Lanun dikatakan
bermaharajalela kerana penempatan tentera laut di perairan tersebut
tidak mampu mengekang kegiatan lanun tersebut.

Kehadiran armada tentera laut dari negara hebat seperti Kesatuan
Eropah, Rusia, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika
Syarikat nampaknya langsung tidak diendah oleh lanun yang dikatakan
berpengkalan di Somalia. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga tidak
ketinggalan menghantar kapal perang untuk mengawal dan mengekang
kegiatan lanun setelah dua kapal dagang beserta anak kapal Malaysia
ditawan oleh lanun Somalia. .
 
Tidak syak lagi kegiatan lanun yang melakukan rompakan bersenjata di
laut perlu dihentikan bukan sahaja untuk menjamin keselamatan anak
kapal dagang tetapi juga untuk kepentingan ekonomi dunia. Laluan
alternatif sudah tentu akan meningkatkan kos pengangkutan secara
mendadak.

Sememangnya kegiatan lanun tidak boleh dihapus dengan hanya
menggunakan armada laut kerana perairan yang terpaksa dikawal adalah
terlampau luas dan di luar jangkaan armada laut semua negara.

Tetapi faktor yang paling penting adalah lanun tersebut mendapat
perlindungan di darat. Resolusi PBB yang memberi kebenaran kepada
tentera asing mengunakan ruang darat dan udara Somalia sebagai
sebahagian operasi menghapuskan lanun tersebut dilihat sebagai wajar.

Tetapi ada pihak juga sangsi terhadap tujuan sebenar resolusi PBB
tersebut. Ada juga kalangan yang mempersoalkan mengapa AS begitu
bersungguh-sungguh menghantar Setiausaha Negara, Condoleezza Rice untuk
memujuk ahli Majlis Keselamatan yang lain bersama-sama dengan
Washington menyokong meluluskan resolusi tersebut.
 
Kesangsian mempersoalkan motif sebenar Washington yang turut
disokong oleh Moscow dan London ada kebenarannya kerana penglibatan AS
dalam politik dalaman Somalia bukan sesuatu yang membanggakan. Malah
Indonesia sebagai salah sebuah negara yang menduduki kerusi Majlis
Keselamatan telah berkeras membantah draf asal resolusi kerana
dikatakan mencabuli kedaulatan Somalia. Mengambil kira bantahan
tersebut, resolusi terpaksa diubah yang mana penggunaan ruang darat dan 
udara hanya boleh dilakukan dengan kebenaran kerajaan sementara
Somalia.
 
Tetapi keberkesanan kerajaan Somalia dipersoalkan kerana mereka
hanya menguasai sebahagian kecil bandar Mogadishu. Selebihnya dikuasai
oleh puak pejuang berhaluan Islam yang terdiri dari dua kumpulan besar
iaitu Al Shabab dan Islamic Courts Union. 
Malah Presiden dan Kabinet kerajaan sementara Somalia sering
bertelagah di antara satu sama lain yang mana Presiden Abdullahi Yusuf
Ahmed beberapa hari lepas telah memecat keseluruhan menteri kabinet
Perdana Menteri Hassan Hussein.

Ramai yang berpendapat Washington, Moscow dan London sebenarnya mahu
menggunakan resolusi PBB sebagai batu loncatan untuk menyekat kemaraan
kedua-dua kumpuan pejuang Islam tersebut dari mengawal sepenuhnya
Somalia. Pada ketika ini pejuang Al Shabab dan Islamic Courts Union
sudah menghampiri Mogadishu dan besar kemungkinan akan menawan bandar
tersebut.

Kerajaan sementara Somalia masih dapat bertahan sehingga ke hari ini
disebabkan sokongan tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU) terutama
sekali tentera dari Habsyah yang berjumlah 3000 orang. Kerajaan Habsyah
dikatakan telah mengambil keputusan untuk mengundurkan tentera mereka
dari Somalia pada Januari ini dan keputusan tersebut sudah tentu akan
turut diikuti oleh pasukan pengaman AU yang lain.
 
Jika ini berlaku maka mudah bagi kumpulan pejuang Islam menakluki
Mogadishu dan seterusnya keseluruhan Somalia. Inilah senario yang mahu
dielakkan oleh Washington kerana tidak mahu Somalia sekali lagi jatuh
ke tangan pejuang Islam.
 
Tetapi hakikatnya hampir kesemua rakyat Somalia menyokong perjuangan
kumpulan Islam ini kerana begitu bosan dengan kesengsaraan peperangan
yang mereka lalui semenjak 17 tahun lalu. Dalil ini diperkuatkan lagi
kerana hampir 100 peratus rakyat Somalia adalah beragama Islam.
 
Perlu diingatkan bahawa di antara Jun dan Disember 2006, ketika Al
Shabab dan Islamic Courts Union bergabung seketika untuk memerintah
Somalia, tempoh tersebut paling aman bagi rakyat Somalia. Tidak ada
berlakunya kegiatan lanun ketika kumpulan pejuang Islam tersebut
memerintah Somalia.

Tetapi kerajaan gabungan kumpulan Islam tidak dapat bertahan lama
gara-gara tingkah laku Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) yang
bersekongkol dengan dengan beberapa puak Somalia untuk menjatuhkan
kerajaan Islam Somalia. Campur tangan Washington diburukkan lagi dengan
Rumah Putih menyokong tentera Habsyah menjatuhkan kerajaan Islam
Somalia dan menubuhkan kerajaan sementara sehingga ke hari ini.
 
Semenjak itu rakyat Somalia tidak pernah hidup aman kerana puak yang
bertentangan bertelagah di antara satu sama lain dan kegiatan lanun
langsung tidak dapat dikawal kerana ada pihak tertentu dalam kerajaan
sementara mendapat habuan.

Masyarakat antarabangsa perlu sedar untuk mengamankan Somalia dan
seterusnya menghapuskan kegiatan lanun, penyelesaian secara tentera
tidak mampu menghuraikan masalah tersebut. Penyelesaian politik adalah
kaedah terbaik yang mana kerajaan Somalia yang dibentuk mesti mendapat
sokongan rakyat negara tersebut.
 
Buat masa ini sebahagian besar rakyat Somalia menyokong perjuangan
kumpulan Islam seperti Al Shabab dan Islamic Courts Union tetapi agenda
beberapa negara seperti AS, Rusia dan Britain yang menggunakan Majlis
Keselamatan PBB sudah pasti akan membantutkan impian rakyat Somalia
untuk mengecapi keamanan.


      Terhubung langsung dengan banyak teman di blog dan situs pribadi Anda? 
Buat Pingbox terbaru Anda sekarang! http://id.messenger.yahoo.com/pingbox/

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke