-UTUSAN MALAYSIA---DALAM NEGERI
ARKIB : 24/12/2008
PPSMI: 31 Dis. tarikh akhir
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) memberi
tempoh sehingga 31 Disember ini untuk kerajaan memutuskan sama ada mahu
meneruskan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) ke Bahasa
Inggeris atau sebaliknya.
Ketua II Gapena, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, gabungan
itu mahu kerajaan bertegas dan mengambil kata putus dalam isu berkenaan secepat
mungkin.
"Menteri Pelajaran boleh cakap kami beremosi. Hakikatnya kami memang
beremosi, tetapi ini ialah demi mempertahankan martabat bahasa Melayu seperti
yang terkandung di bawah Perlembagaan," katanya selepas majlis makan malam
Gapena bersama media, di sini.
- Bernama
ARKIB : 23/12/2008
Kementerian minta semua pihak bersabar
KUALA LUMPUR
22 Dis. - Kementerian Pelajaran meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang
untuk Jemaah Menteri meneliti status pelaksanaan program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan mendalam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, kementerian itu
tidak dapat menjangkakan keputusan mengenainya berikutan ia masih dibincangkan.
Selain itu, katanya, reaksi dan pandangan yang berbeza-beza daripada
pelbagai pihak berhubung PPSMI juga memerlukan penelitian dibuat dengan lebih
mendalam bagi memperolehi keputusan terbaik.
''Kita sudah menjalankan PPSMI enam tahun lalu, perkara ini bukannya esok
baru hendak buat, kita juga telah banyak menerima pandangan mengenai hal ini,
ada yang setuju ada yang sebaliknya.
''Justeru saya menyeru semua pihak supaya bersabar dan bertenang sebelum
membuat sebarang tindakan sebab jemaah menteri belum memberikan keputusan
mengenainya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di
sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang
merancang mengambil tindakan undang- undang terhadap Kementerian Pelajaran
sekiranya PPSMI diteruskan.
Gapena menerusi Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein
mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan
Persekutuan yang termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan.
Kata Ismail, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena,
kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya
PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada
kerajaan.
Ka Siong bagaimanapun, yakin Jemaah Menteri akan menimbangkan perkara itu
berlandaskan undang-undang.
''Kabinet belum menentukan lagi sama ada hendak teruskan PPSMI atau tidak,
secara peribadi saya sendiri pun tidak pasti mengenai hal itu.
''Terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin, namun saya yakin sebarang
keputusan kelak adalah berlandaskan kepada undang-undang," katanya.
ARKIB : 23/12/2008
PPSMI: Ugutan Gapena tidak membina
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
KUALA LUMPUR
22 Dis. - Ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil
tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan
mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan
tersebut bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian
membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.
''Semua pihak berhak jika hendak mengambil tindakan tapi yang ganjilnya
mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan?.
''Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat
diadakan dan
sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gapena yang kemungkinan akan mengambil tindakan
undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya PPSMI diteruskan.
Gapena menerusi Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein
mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan
Persekutuan yang telah termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan.
Ismail berkata, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena,
kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya
PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada
kerajaan.
Hishammuddin menambah, ugutan sedemikian pernah dilakukan oleh Persatuan
Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Jiao Zhong) yang menentang konsep Sekolah Wawasan berikutan khuatir
fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang.
Namun, menurut beliau, selepas memberi penjelasan yang kukuh, Dong Jiao
Zhong menarik semula hasrat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap
kementerian.
''Untuk membantu kementerian membuat keputusan dalam hal ini semua pihak
perlu mengemukakan hujah-hujah yang rasional tanpa emosi bersandarkan fakta dan
angka.
"Ini demi masa depan anak-anak bangsa kita, '' tegasnya.
ARKIB : 22/12/2008
PPSMI: Gapena mungkin bertindak
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KOTA BHARU
21 Dis. – Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tidak menolak
kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran
sekiranya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) diteruskan.
Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, ini kerana
PPSMI secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang telah
termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan
cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak
diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.
“Kami rasa ia akan diteruskan. Gapena sangat kecewa dan ia begitu
menyeluruh, bukan sahaja kami tetapi kebanyakan cendekiawan Melayu lain seperti
bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hasan Ahmad dan Profesor
Diraja Ungku Aziz,” katanya.
Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar
Perpaduan Melayu di sini semalam.
Seminar anjuran Gapena itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negara Negeri Kelantan, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan
Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA).
Menurut Ismail, natijah daripada sikap kerajaan sendiri yang tidak
menghormati dan mempercayai kesucian Perlembagaan Persekutuan telah menyebabkan
pelbagai pihak mengambil kesempatan memperlekehkan ketuanan Melayu.
“Saya anggap zaman ini iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah zaman
Melayu dimalu dan diperlekehkan oleh bangsa lain.
“Ini kerana apabila orang Melayu sendiri gagal memberikan perhatian, jadi
mudahlah bangsa lain memalukan kita,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan PPSMI merupakan titik-tolak yang akan membawa kepada
kehancuran tamadun Melayu kerana kedudukan bahasa Melayu jelas termaktub dalam
Perlembagaan sama seperti agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan
Raja-raja, tidak patut diperjudikan.
“Sebaliknya PPSMI telah menyentuh dan merosakkan bahasa Melayu. Pendirian
Gapena adalah jelas bahawa tidak sama sekali menyokong bahasa lain selain
bahasa Melayu dan kita diminta untuk menguasainya dengan baik.
“Bukan dengan cara ini (PPSMI) kerana kita mempunyai lebih 1,000 cara lain
yang akan melemah dan mengurangkan penggunaan bahasa Melayu,” katanya.
ARKIB : 13/12/2008
PPSMI tidak adil untuk pelajar luar bandar - Gapena
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kerajaan digesa tidak meneruskan pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
kerana ia dilihat tidak adil bagi pelajar sekolah terutamanya di luar bandar.
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Emeritus
Tan Sri Ismail Hussein berkata, pelaksanaan PPSMI akan mewujudkan jurang besar
dari aspek prestasi pelajar sekolah luar bandar berbanding mereka di bandar.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi penekanan yang berbeza terhadap
kemahiran bahasa Inggeris pelajar sekolah di luar bandar dan di bandar kerana
mereka diketahui kurang mendapat pendedahan.
"Ada
cara untuk kita mempertingkatkan kekuatan bahasa kedua itu di kalangan pelajar
dan yang pasti PPSMI bukan satu cara yang efektif," katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Ismail mengulas mengenai pelaksanaan PPSMI dan pendirian Gapena yang
membantah sekeras- kerasnya sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk
meneruskannya pada masa akan datang.
Katanya, Gapena tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI yang dilihat mampu
mengetepikan martabat bahasa kebangsaan serta melanggar Perlembagaan negara.
"Saya berasa tidak adil dan kasihan kepada anak-anak Melayu di luar
bandar. Sudahlah mereka lemah dalam Matematik dan Sains, kini ia menjadi lebih
susah untuk mereka apabila PPSMI dilaksanakan.
"Ini sudah tentu akan memberi kesan buruk kepada mereka. Harus ada cara
yang lebih baik untuk membantu," katanya.
Menurut beliau, Gapena sendiri akan memainkan peranan bagi membantu golongan
pelajar terutama di luar bandar memperkukuhkan bahasa Inggeris mereka tanpa
perlu memberi penekanan terhadap penggunaanya dalam mata pelajaran Matematik
atau Sains.
"Kita ada kepakaran. Kita setuju apabila ada cara untuk
mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar tetapi bukan
dengan pelaksanaan PPSMI. Ia harus diasingkan," katanya.
Beliau berkata, Gapena akan menentang habis-habisan walaupun ada cadangan
untuk melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran lain.
Berselancar lebih cepat dan lebih cerdas dengan Firefox 3
http://downloads.yahoo.com/id/firefox/
[Non-text portions of this message have been removed]