http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

9.3 juta masih menganggur

     
      RAKYAT Indonesia terpaksa melakukan pelbagai karya bagi menyara 
kehidupan. 

--------------------------------------------------------------------------
     


SUASANA di Gelanggang Remaja Bulungan, Jakarta Selatan, pada hari Ahad lalu 
tidak seperti hari-hari minggu biasa. Kira-kira pukul 7.30 pagi, kawasan itu 
dipenuhi ratusan orang.

Kehadiran mereka bukanlah untuk menonton sebarang pertandingan sukan atau 
menghadiri pesta tetapi mereka datang ke situ kerana sebuah bank swasta 
memerlukan pekerja.

Oleh itu gelanggang tersebut dijadikan tempat bagi menjalankan temuduga bagi 
mengisi kekosongan untuk jawatan dalam bidang kewangan mikro dan perbankan 
mikro.

Walaupun terpaksa beratur berjam-jam dalam suasana panas terik, namun hampir 
3,000 orang yang kebanyakan terdiri daripada graduan-graduan tidak berputus asa.

Bagi mereka apa yang lebih penting ialah mendapat pekerjaan untuk menyara 
keluarga, apatah lagi ketika Indonesia masih lagi dibelenggu masalah 
pengangguran.

Berikutan keadaan itulah, jika sesiapa juga ke negara itu, mereka akan melihat 
penduduk di negara berkenaan melakukan apa juga pekerjaan asalkan mendapat wang 
bagi menyara kehidupan.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, 
jumlah pengangguran di negara itu sehingga Ogos 2008 mencecah 9.3 juta orang.

Walaupun kini pemerintah Indonesia di bawah kepimpinan Susilo Bambang Yudhoyono 
sedang berusaha bersungguh-sungguh bagi memulihkan ekonomi negara itu, namun ia 
belum menampakkan hasil.

Sasaran

Bagi pakar ekonomi, sasaran pertumbuhan ekonomi sekitar 5.5 peratus yang 
diletakkan oleh pemerintah Indonesia, dikatakan tidak akan mampu menyelesaikan 
masalah pengangguran.

''Untuk mengurangkan kadar itu ke tahap paling signifikan, sekurang-kurangnya 
sasaran pertumbuhan ekonomi perlulah sekitar 7 peratus hingga 7.5 peratus,'' 
kata seorang pakar ekonomi.

Kegagalan pemerintah Indonesia menangani masalah pengangguran mula menimbul 
rasa bosan di kalangan rakyat apabila mereka menyifatkan isu itu hanya 
dibangkitkan ketika pilihan raya atau pemilihan Presiden bagi meraih undi.

''Ahli-ahli politik tidak serius mahu menyelesaikannya, apabila pilihan raya 
berakhir maka tumpuan mereka ialah berebut kuasa sesama sendiri,'' kata 
Karyadi, seorang graduan sebuah universiti di Jakarta.

Kesimpulannya, pengangguran masih lagi menjadi masalah besar kepada Indonesia 
dan sekaligus boleh mencetuskan suasana yang tidak baik untuk politik dan 
sosial negara itu.

- ZULKIFLEE BAKAR


[Non-text portions of this message have been removed]

Reply via email to