http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
17 Mac 2010 / 1 Rabiul Akhir 1431 AS masih ragu terhadap Kopassus WASHINGTON 16 Mac - Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan pihaknya tidak dapat menjangkakan tarikh mereka akan memulakan semula hubungan ketenteraan dengan Indonesia, ketika pihaknya mengemukakan maklumat mengenai lawatan Presiden Barack Obama ke Jakarta dan Bali pada minggu depan. Obama pernah menetap di Indonesia selama empat tahun bersama mendiang ibunya semasa kecil, namun lawatan itu lebih bertumpu isu perniagaan, perdagangan, keselamatan dan diplomasi berbanding zaman kanak-kanak dan biografinya. Menjelang lawatan itu, pentadbiran telah menyediakan kaedah untuk memulakan latihan unit elit ketenteraan Indonesia sebagai antara usaha untuk menangani peningkatan kegiatan militan dan menjalin kerjasama perisikan dengan Jakarta. Namun, langkah itu mungkin mengundang kontroversi ketika unit Komando Pasukan Khusus atau Kopassus didakwa terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia, termasuk di Timur Leste. Malah, beberapa pemimpin penting dalam Kongres turut menentang kerjasama dengan pasukan itu sebelum mereka didakwa atas tindakan lampau mereka. Bagaimanapun, masih kurang jelas sama ada pertikaian terhadap Kopassus akan diselesaikan sebelum lawatan Obama yang akan bermula pada 23 Mac ini. Pegawai daripada Kopassus berada di Washington hanya pada minggu lepas dalam usaha untuk melindungi sokongan AS terhadap unit tersebut yang dimansuhkan pada tahun 1997. "Adalah sangat bagus sekiranya kita mampu bergerak dan menjalinkan kerjasama, kerjasama penuh untuk menyediakan pasukan khas itu dan keupayaan menangani pengganas di bawah bidang kuasa Kopassus," kata Jeffrey Bader, pengarah kanan hubungan Asia di bawah pentadbiran Obama ketika mengadakan pertemuan ringkas dengan pemberita berhubung lawatan Obama. "Terdapat beberapa sejarah yang perlu ditangani. Terdapat pencabulan hak asasi manusia pada tahun 1990-an di negara Timur Timor. "Kami harap kami mampu bergerak ke hadapan dan menyelesaikan perkara ini namun, setakat ini, saya tidak mampu menjangkakan bilakah hari itu akan tiba," katanya. - AFP [Non-text portions of this message have been removed]