http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

 
KESIHATAN

ARKIB : 22/06/2010
 
Jangan pandang remeh sakit perut

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zaka...@utusan.com.my



TAHUKAH anda sakit perut yang berpanjangan boleh membawa maut sekiranya anda 
tidak mendapatkan rawatan segera? Selalunya, masyarakat hari ini beranggapan 
mereka menghadapi keracunan makanan atau tersalah makan sekiranya mengalami 
sakit perut.

Sedangkan antara tanda-tanda keracunan makanan ini ialah ia hanya akan muncul 
dalam masa dua hingga 24 jam selepas makan. 

Ia juga bergantung kepada tahap keracunan dan mereka yang mengalaminya mungkin 
juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan.

Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan 
oleh pengambilan makanan tercemar. 

Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. 
Abdul Malik Jamal Buhari, kesakitan pada bahagian perut atau abdomen boleh 
berpunca daripada pelbagai keadaan yang memberi kesan kepada pelbagai organ.

Bahagian abdomen adalah terdiri daripada bahagian bawah tulang rusuk, tulang 
pelvik ke bawah serta kedua-dua sisi badan.

Biarpun kesakitan pada bahagian abdomen boleh datang daripada tisu di dinding 
yang mengelilingi rongga abdomen, sakit di bahagian ini selalunya digunakan 
untuk menerangkan kesakitan yang berasal dari dalam rongga abdomen.

''Sekiranya tersalah makan, biasanya anda akan alami cirit-birit atau sakit 
perut pada awal pagi, sekitar pukul 3 atau 4 dan ia mengambil masa lapan jam 
selepas makan untuk mengalami tanda-tanda tersebut.

''Kebiasaannya anda tidak akan terus mendapat cirit-birit kerana jenis bakteria 
dan virus yang ada boleh menyebabkan kita muntah-muntah dahulu, iaitu kurang 
daripada dua hingga tiga jam selepas makan.

''Sekiranya anda keracunan makanan, ia akan mengambil satu hingga dua hari 
untuk baik tetapi kalau ia berpanjangan dan melebihi satu hingga dua minggu, 
kita kena buat siasatan dan tengok kenapa ada masalah cirit-birit yang 
berpanjangan,'' ujarnya ketika ditemui di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Tambah beliau, sekiranya jangkitan ataupun kesakitan masih belum reda ia pasti 
mempunyai masalah lain seperti sama ada disebabkan oleh masalah metabolik yang 
menyebabkan cirit-birit, mahupun masalah penyakit radang usus yang boleh 
menyebabkan sakit perut dan cirit-birit yang berpanjangan disertai pendarahan 
ataupun kuman di usus oleh parasit seperti ameba yang boleh menyebabkan masalah 
cirit-birit serta kejadian nanah di hati.

Jelas beliau lagi, bagi penyakit gastrik pula, sekiranya ia merupakan ulser 
yang memudaratkan, ia perlu dibedah segera.

Pesakit juga dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) ataupun 
pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa.

Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan 
ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria 
helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, 
tanpa disedari.

''Jangan ambil mudah terhadap gastrik kerana gastrik juga boleh memudaratkan 
dan juga boleh membawa maut,'' katanya.

Untuk itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menganggap sakit perut 
satu penyakit yang remeh dan diminta berjumpa dengan doktor pada kadar yang 
segera.

Menurut Dr. Abdul Malik lagi, sekiranya sakit perut yang dihadapi tidak 
beransur pulih, eloklah sekiranya dirujuk kepada pakar bedah untuk langkah 
seterusnya.

''Kesakitan pada bahagian abdomen yang kerap mestilah dirujuk kepada pakar 
perubatan. Ini membolehkan doktor membuat pemeriksaan ke atas perut dan 
tempat-tempat yang berkenaan untuk mengenal pasti punca serta jenis penyakit 
yang dihadapi.

''Perlu diingatkan, banyak perkara boleh menyebabkan sakit perut ini 
termasuklah nanah di dalam perut,'' tambah beliau.

Anda juga dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, diet 
yang berkhasiat serta makanan yang seimbang yang boleh membantu mencegah atau 
mengurangkan keasidan gastrik, sembelit serta masalah penghadaman lain. 

Ini sekali gus memelihara perut anda daripada terkena pelbagai jangkitan kuman 
serta virus yang tidak diingini.


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke