SILATURAHIM adalah satu sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini. 

Buktinya
ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula
daripada diri individu seterusnya melanda kepada institusi
kekeluargaan. 

Ada banyak kes pada hari ini menunjukkan silaturahim bsukanlah suatu ikatan 
yang diutamakan dalam diri setiap individu. 

Antaranya,
kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang
sedang menyusukan anak, isteri membunuh suami yang curang dan juga cucu
membunuh nenek atau datuk. 

Malah, yang paling menyayat hati
seorang ibu sanggup menggugurkan anak yang dikandung dan jika lahir
pun, bayi itu sanggup dibuang merata-rata laksana sampah yang tiada
nilainya.

Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang 
berkualiti. 

Dalam
hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap
anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati. 

Allah
s.w.t berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah
kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan
memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”

Ibu
bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah. Ibu bapa juga adalah
orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan
pertalian darah. 

Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang
maha besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa
mereka sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa. 

Malah,
sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu
bapa tak akan pernah putus. Iman seseorang juga tidak sempurna jika
mencalarkan kebeningan hati ibu bapa.

Begitu juga bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak 
dapat dibalas dengan apa jua perkara. 

Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan 
anaknya. 

Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. 

Ada
seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan
cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat
keletihan. 

Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku 
atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?” 

Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”

Selain
ibu bapa, kita juga harus menjaga silaturahim sesama jiran. Jiran
tetangga adalah kerabat paling hampir dengan keluarga kita. 

Malah, hubungan rapat dan mesra yang terjalin kadangkala melebihi sanak-saudara 
yang mempunyai pertalian darah dengan kita.

Allah memerintahkan manusia supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama 
ada jiran tetangga yang dekat atau jauh. 

Ini
jelas sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisaa’, ayat 36, bermaksud:
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat
baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan
orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga
yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga
hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya.”
 http://zailina88.blogspot.com


      

Reply via email to