Penyakit artritis gout <http://www.biovco.com/> Oleh Dr. Mohd. Shahrir bin
Mohamed Said

*Baca lain-lain INFO KESIHATAN - KLIK DISINI <http://www.biovco.com/>*

PENYAKIT artritis gout adalah penyakit yang agak kerap didiagnos oleh para
doktor. Namun sebenarnya, penyakit ini mempunyai implikasi dan komplikasi
tersendiri. Ia melibatkan pemendapan asid urik di dalam bahagian
ekstraselular.

Penyakit artritis gout adalah sebahagian daripada spektrum penyakit gout
yang terdiri daripada artritis inflamasi akut, gout tophaceous kronik dan
batu karang gout di dalam buah pinggang.

Penyakit artritis gout akut

Serangan artritis gout biasanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan
sendi yang terlibat itu membengkak dan sakit sehingga menyebabkan seseorang
pesakit itu sukar untuk berdiri ataupun berjalan. Kesan ini menjadi maksimum
setelah beberapa jam dan hanya hilang setelah berminggu-minggu lamanya.

Sebanyak 80 peratus daripada serangan artritis gout berlaku di sendi ibu
jari kaki atau secara tepatnya sendi metatarsal pertama. Sendi kedua adalah
sendi lutut. Namun, sendi-sendi lain juga boleh terlibat dan menyukarkan
diagnosis.

Para pesakit artritis gout akut boleh mengalami demam dan ujian darah yang
tidak normal. Ujian darah boleh menunjukkan radang yang aktif. Cecair sendi
akan menunjukkan kristal-kristal gout apabila diteliti melalui mikroskop
polaraiz.

Ujian serum asid urik boleh menunjukkan tahap yang normal walaupun semasa
serangan gout. Ujian sinar-X kadangkala menunjukkan hakisan tulang di
sekitar sendi. Namun ini hanya boleh dilihat di dalam pesakit-pesakit yang
tidak dirawat ataupun yang teruk.

Dua puluh peratus daripada pesakit yang mengalami serangan satu sendi boleh
juga mengalami penglibatan sendi-sendi lain secara serentak. Ini dikenali
sebagai penglibatan poliartikular.

Namun, penglibatan poliartikular ini lebih biasa dialami oleh
pesakit-pesakit leukemia, limfoma dan yang mengambil ubat ciclosporin.
Pemendapan kristal gout di kulit atau "tophi" juga boleh berlaku.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan serangan sendi akut adalah trauma,
pembedahan, kebuluran, diet yang keterlaluan, pengambilan alkohol dan
pengambilan ubat-ubatan yang boleh mempengaruhi tahap asid urik di dalam
darah contohnya, diuretik.

Antara 12 hingga 43 peratus pesakit gout mempunyai tahap asid urik yang
normal ataupun rendah tatkala serangan berlaku. Apabila sesuatu episod
serangan gout itu telah reda, bahagian kulit pada sendi yang terlibat akan
mengelupas.

Tempoh interkritikal gout dan serangan gout berulang

Tempoh interkritikal gout bermaksud tempoh antara serangan. Tempoh ini
berbeza-beza bagi setiap individu. Ia akan menjadi pendek jika seseorang itu
tidak diubati dan jika berlanjutan kerosakan sendi boleh menyebabkan tempoh
ini menjadi lebih singkat. Keadaan ini diikuti oleh kejadian tophi dan
kecacatan sendi yang kekal.

Gout tophacoeus kronik

Kejadian tophi boleh berlaku di cuping telinga, kulit, sendi-sendi mahupun
tulang. Biasanya tophi tidak menyakitkan namun jika inflamasi berlaku pada
sendi yang berdekatan keadaan sebaliknya berlaku.

Sinar-X sendi akan menunjukkan hakisan di kawasan berhampiran sendi. Tempoh
berlakunya serangan gout pertama sehingga pemendapan tophi adalah lima
hingga 40 tahun, berbeza daripada individu kepada individu.

Komplikasi buah pinggang hiperuresemia kronik

Terbahagi kepada batu karang asid urik dan urate nephropathi yang kronik.

Batu karang asid urik adalah komplikasi utama gout meliputi 20 peratus
pesakit gout. Batu karang ini terdiri daripada 80 peratus asid urik dan
selebihnya kalsium oksalat ataupun kalsium fosfat.

Terdapat tiga faktor bagi penghasilan batu karang asid urik iaitu:
Pertambahan pengeluaran asid urik, pengurangan isi padu air kencing dan urin
yang lebih asidik.

Urate nephropathi kronik pula melibatkan kerosakan buah pinggang yang
melibatkan pemendapan asid urik di dalam bahagian medulari interstium buah
pinggang ataupun bahagian tengah buah pinggang. Pemendapan ini mendatangkan
inflamasi, fibrosis ginjal dan kerosakan kekal.
Bagaimanapun, kerosakan buah pinggang pesakit gout turut berkaitan dengan
penyakit diabetis, darah tinggi, kegemukan dan aterosklerosis. Di dalam
individu-individu sedemikian kerosakan buah pinggang disebabkan oleh
pelbagai faktor.

*Baca lain-lain INFO KESIHATAN - KLIK DISINI <http://www.biovco.com/>*
**

Kirim email ke