Oleh
Rosebi Mohd Sah
SUMATERA Barat akan menyediakan lesen bagi pengusaha Singapura yang
berminat melakukan penangkapan ikan di dua kawasan lautan perikanan yang
popular di sana.
Pengusaha itu juga akan diberi keutamaan jika mereka ingin meneroka
memulakan kilang memproses ikan di sana, kata Gabenor Sumatera Barat, Encik
Zainal Bakar.
Beliau juga menawarkan pengusaha Singapura membuka pelbagai kilang di sana,
termasuk memproses atau mengetinkan daging lembu atau ternakan lain kerana
terdapat banyak bekalan lembu dan ternakan lain di sana.
Mereka yang berminat memproses, membuat pakej dan memasarkan hasil
pertanian di sana seperti beras, sayur-sayuran dan buah-buahan setempat juga
dialu-alukan membuat penerokaan perniagaan atau usaha sama dengan peniaga di
sana.
'Bagi pengusaha yang ingin bekerjasama bagi penangkapan ikan, kami akan
menyediakan lesen secara rasmi.
'Ada dua kawasan perairan yang sememangnya terdapat banyak ikan, terutama
ikan tuna, iaitu di kabupaten distrik Pesisir Selatan dan di kepulauan
Mentawi.
'Ia merupakan satu potensi niaga yang sangat baik. Sebelum ini kawasan
perairan di sana digunakan secara haram oleh nelayan. Tetapi sekarang, kami
akan memberi kemudahan bagi pengusaha Singapura memanfaatkan kawasan tersebut
dengan memberi lesen bagi mereka menangkap ikan di sana.
'Malah, mereka juga boleh meneroka membuka kilang di sana sama ada membuka
cold storage atau kilang perikanan atau mengeksport barangan segar daripada
hasil tanaman kami,' kata Encik Zainal Bakar dalam temu bual dengan Ekoniaga
di Hotel Mandarin Jumaat lalu.
Beliau dan rombongannya berada di sini selama empat hari mulai Rabu lalu
atas udangan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Brigedier-Jeneral (Kerahan)
George Yeo.
Rombongan Encik Zainal Bakar yang terdiri beberapa pegawai dan peniaga di
sana antara lain bertujuan meneroka peluang perniagaan dan mencari rakan
perniagaan yang ingin melabur dan melakukan perniagaan di Sumatra
Barat.
Satu lagi bidang sangat berpotensi yang harus dimanfaatkan pengusaha
Singapura ialah pelancongan, katanya.
Ini kerana Sumatera Barat, katanya, destinasi pelancongan ketiga paling
popular di Indonesia, selepas Bali dan Jogjakarta.
Ini terutama apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Ketaping di sana siap
sepenuhnya hujung tahun ini.
Antara bidang khusus yang mempunyai permintaan tinggi dalam pelancongan di
sana termasuk perhotelan, pusat peranginan dan kegiatan melungsur air
(surfing), tambahnya.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Lembaga Perancangan Pembangunan
Serantau Sumatra Barat di e-mel [EMAIL PROTECTED].
__________