Kemegahan tradisional dalam pertabalan Seri Paduka

Oleh Baharom Mahusin
PADA pagi yang penuh sejarah 25 April ini akan berlangsung satu upacara adat-istiadat kerajaan Melayu di Kuala Lumpur, iaitu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII.

Majlis itu diadakan di Istana Negara dengan disaksikan oleh Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri, kerabat-kerabat diraja, orang kenamaan, pembesar-pembesar negara, pemimpin-pemimpin rakyat dan jemputan-jemputan khas dari luar negara.

Pada pagi itu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalulail akan ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat di Istana Negara itu, yang diserikan dengan tiupan nafiri dan paluan nobat diraja, hanya disaksikan oleh kira-kira 1,000 orang tetamu termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tetapi simboliknya begitu besar kepada Malaysia dan 23 juta orang penduduknya.

Sistem monarki yang diamalkan di Malaysia unik dan satu-satunya di dunia.

Ketua negara Malaysia tidak menaiki takhta melalui keturunan dan terus bersemayam sehingga mangkat. Sebaliknya rajanya yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali secara bergilir-gilir oleh Majlis Raja-Raja.

Istiadat yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen itu menandakan satu kegemilangan Melayu yang tidak putus-putus di negara ini.

Para penulis selalu mencadangkan bahawa pertabalan Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan satu pertunjukan tingkah laku politik yang menekankan keperibadian Melayu yang disampaikan dengan penuh kemegahan tradisional.

Sejarah yang dilalui di Malaysia telah mencorakkan beberapa aspek institusi raja Melayu secara evolusi tetapi sehingga kini ia tetap sebuah institusi terpenting.

Ahli-ahli sejarah percaya institusi itu terus unggul kerana keberanian sultan-sultan Melayu pada masa lepas menyesuaikan diri dengan perubahan zaman terutama ketika era penjajahan dan kebangkitan nasionalisme selepas Perang Dunia Kedua.

Institusi raja Melayu bertukar wajah selepas kedatangan British dan kemudian mengalami transformasi daripada sistem beraja mutlak kepada raja berperlembagaan, tetapi raja-raja Melayu terus menjadikan mereka relevan dengan perubahan.

Apabila Malaysia merdeka pada tahun 1957, dalam rangka politik negara ini kedudukan raja-raja Melayu telah disahkan, diperkuatkan martabatnya dan telah diletakkan kuasanya pada tempat yang sewajarnya.

Sistem bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong di kalangan sembilan orang raja Melayu merupakan inovasi Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang mendapati bahawa idea untuk melantik seorang raja bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu adalah tidak praktikal kerana kita mempunyai sembilan orang raja di negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Bagi mengatasi masalah itu, pada akhirnya Tunku memutuskan untuk mengadakan sistem giliran raja di peringkat persekutuan di kalangan sembilan orang raja negeri Melayu.

Sistem ini mengambil contoh penggiliran raja yang pernah berlaku di Perak lebih 100 tahun lalu. Di Perak, kaedah penggiliran diperkenalkan oleh British untuk menyelesaikan pertikaian takhta.

Yang di-Pertuan Agong yang pertama apabila Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 sepatutnya Sultan Pahang ketika itu, iaitu Sultan Abu Bakar, yang merupakan raja yang paling lama memerintah di Tanah Melayu, tetapi kerana masalah tertentu hak tersebut dilepaskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (turunan rajo minang), Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Senarai pertama penggiliran Yang di-Pertuan Agong selepas itu diikuti oleh Sultan Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan tamat dengan pemilihan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong IX pada tahun 1989.

Apabila Sultan Azlan cukup memerintah selama lima tahun pada 1994, senarai kedua pemilihan Yang di-Pertuan Agong digunakan berdasarkan senarai pertama pemilihan Yang di-Pertuan Agong selama 37 tahun dari tahun 1957 hingga 1994.

Selepas Sultan Azlan, Yang di-Pertuan Agong seterusnya ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan diikuti Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Bagaimanapun, Sultan Salahuddin mangkat di atas takhta pada 22 November 2001 pada usia 75 tahun.

Persidangan Majlis Raja-Raja yang diadakan tidak lama selepas Almarhum dimakamkan bersetuju memilih Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Yang di-Pertuan Agong XII.

Tuanku Syed Sirajuddin yang kini berusia 59 tahun akan meneruskan tradisi raja berperlembagaan di Malaysia sebagai kepala negara dan lambang taat setia rakyat Malaysia kepada undang-undang dan perlembagaan.

Seri Paduka akan menjadi orang yang terutama di Malaysia dan selama pemerintahannya Seri Paduka berikrar melindungi institusi-institusi negara.

Sumpah tersebut merupakan acara penting dalam pertabalan Seri Paduka kerana ia akan menjadikan Seri Paduka simbol politik yang sangat dihormati di negara ini.

Pada istiadat pertabalan pada 25 April ini, Tuanku Syed Sirajuddin yang berdiri di atas singgahsana akan menerima keris kerajaan, menghunus, mengucup dan menyarungkan kembali keris itu sebagai tanda penerimaan pemasyhuran Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Seperti juga pertabalan-pertabalan Yang di-Pertuan Agong terdahulu sebelum ini, Seri Paduka akan berikrar ``untuk menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negara serta memelihara dengan sempurna setiap masa agama Islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.''

Apabila selesai ikrar itu dilafazkan, nobat dipalu dan hadirin di Istana Negara akan berseru ``Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku''.

Di luar Istana Negara, tembakan meriam 21 das akan kedengaran sebagai simbolik pemakluman kepada rakyat tentang pemasyhuran raja baru dan bagi menghebahkan kesinambungan satu sistem Melayu yang menyatukan Malaysia.




MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ATAU Kirimkan email Ke/To: [EMAIL PROTECTED] Isi email/Messages, ketik pada baris/kolom pertama: -mendaftar--> subscribe rantau-net [email_anda] -berhenti----> unsubscribe rantau-net [email_anda] Keterangan: [email_anda] = isikan alamat email anda tanpa tanda kurung ===============================================

Kirim email ke