gaya hidup

Kemantapan budaya bantu bina bumiputera

MEMBICARAKAN tentang konteks Melayu bererti satu pandangan terhadap kecenderungan sosial, budaya, pemikiran serta psikologi etnik terbesar di negara ini iaitu Melayu.

Dalam perspektif ini, harus diperlihatkan sejauh mana kedudukan orang Melayu merangkumi semua bidang terutamanya politik, ekonomi, pendidikan dan taraf sosiobudaya mereka berbanding etnik-etnik lain.

Sejarah telah memperlihatkan, bangsa Melayu sendiri pernah mengalami zaman jatuh bangun sejak era kolonial hingga kini sehingga upaya pembinaannya 'tersekat'.

Akhir dekad 60-an misalnya usaha pembinaan bangsa Melayu pernah mengalami kegagalan yang luar biasa dalam usaha melahirkan Malaysia merdeka.

Sekali lagi pada dekad 1970-an, usaha membina bangsa Melayu dan Malaysia dengan menggunakan pendekatan kebudayaan telah diperkenalkan misalnya menerusi Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya.

Di samping itu, penyusunan semula masyarakat Melayu juga dilaksanakan menerusi Revolusi Mental (tahun 70-an) dan Reformasi Kebudayaan (tahun 80-an), bertujuan mengubah secara total kelemahan-kelemahan yang ada.

Ketua I Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein pada Kongres Ekonomi Bumiputera IV di Kuala Lumpur, baru-baru ini menjelaskan, pelaksanaan dasar-dasar ini mencetuskan kepercayaan diri yang luar biasa bangsa Melayu.

Menurutnya, kepercayaan diri ini memungkinkan pembinaan bangsa Melayu untuk turut bersaing dengan etnik-etnik bukan bumiputera dalam semua lapangan terutama perekonomian dan pendidikan.

''Timbulnya kelas menengah dan kelas bisnes Melayu yang gagah pada hari ini adalah hasil daripada dasar-dasar yang bersifat kebudayaan itu.

''Pada alaf baru mendatang, kita akan ada kelas menengah Melayu yang dinamik dan besar, tetapi masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain,'' katanya.

Prof. Ismail berkata, di sinilah pentingnya peranan para budayawan dengan mesej budayanya agar kegagalan bangsa Melayu dekad 60-an tidak berulang. Golongan budayawan harus menjaga dinamika serta kesejahteraan orang Melayu di samping menjaga hubungan yang kreatif lagi proaktif.

Katanya, ini dapat dilakukan hanya dalam bahasa dan kerangka kebudayaan sendiri, bukannya melalui bahasa dan kebudayaan asing bagi memastikan ciri-ciri kemelayuan dapat dikekalkan.

''Aspek yang ditekankan dalam hal ini ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa kerana ia merupakan unsur terpenting dalam kehadiran dan jati diri bangsa Melayu di dunia.

''Bahasa Melayu memberi kemungkinan luas untuk meningkatkan daya ilmu pengetahuan serta kebudayaan tinggi kepada bangsa kita seluruhnya, hal yang tidak mungkin dilakukan oleh bangsa lain,'' tambahnya.

Menurut beliau, bermula pada 1970-an, serentak dengan kedaulatan bahasa dan budaya Melayu pada masa kabinet Tun Abdul Razak, bahasa ini memberi 'sumbangan' yang sangat penting dalam sistem pendidikan dan politik.

Namun, agak mendukacitakan kerana biarpun lebih 20 tahun didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu masih lagi terumbang-ambing meskipun terlalu banyak usaha dilakukan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dilema ini katanya, bertambah besar termasuklah memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dan persoalan untuk menghadapi bahasa Inggeris kerana penggunaan dwibahasa dalam pendidikan kebangsaan begitu ketara.

Beliau mengutarakan agar semua pihak menghadapi realiti dengan positif dan kreatif, tanpa menggadaikan perjuangan dan pencapaian selama ini dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu.

''Ini sesungguhnya merupakan pergelutan psikologi yang kompleks akibat kurangnya pengalaman serta persiapan. Masalah psikologi dapat dikatakan masalah golongan elit yang tidak mempunyai ikatan sejarah dan rasa patriotik yang tinggi.

''Jika golongan ini sensitif terhadap cita-cita kebangsaan dan kreatif, maka pengetahuan dwibahasa tentu memberi manfaat yang hebat kepada bahasa kebangsaan,'' ujarnya.

Justeru, menerusi peningkatan kesedaran bahasa dan kebanggaan Melayu, maka satu pembentukan jati diri Melayu dapat digagaskan, sekali gus membina daya saing masyarakat Melayu.

Jelasnya, dalam menghadapi alaf baru, masyarakat Melayu seluruh Nusantara haruslah membentuk kerjasama yang lebih erat menerusi sarana dan pasarana seperti MABBIM, Sekretariat Melayu Antarabangsa dan sebagainya.

Oleh: AZMAN ISMAIL



MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Tanpa mengembalikan KETERANGAN PENDAFTAR ketika subscribe, anda tidak dapat posting ke Palanta RantauNet ini. Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di: http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ===============================================

Kirim email ke