rencana
 

Memulihkan imej seni silat

SILAT adalah satu seni yang sinonim dengan bangsa Melayu. Ia menggambarkan kecantikkan seni, ketangkasan langkah, kecekalan dan kebolehan orang yang mahir di dalamnya untuk mengawal pancaindera mereka.
Orang Melayu mempunyai sejarah bertulis yang mengatakan bahawa seni silat telah berjaya mengangkat bangsa Melayu ke satu tahap yang begitu tinggi di mata dunia yang mengenali mereka, suatu ketika dulu.
Ketangkasan Laksamana Hang Tuah dan rakan-rakannya mengawal negeri Melaka, telah diwarta dan dimestikan pelajarannya di dalam kurikulum pendidikan rakyat Malaysia.
Di zaman tersebut melalui kebijaksanaan dan seni silat, pahlawan-pahlawan ini telah dikurniakan pangkat, yang secara tidak langsung mengiktiraf silat di dalam pemerintahan negeri Melaka. Tetapi dengan silat juga, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai isu negatif timbul.
Penderhakaan Hang Jebat terasa begitu signifikan dan digeruni disebabkan ilmu silatnya.
Epik sejarah Melayu Melaka juga mengiktiraf kewujudan keris Taming Sari yang dikatakan mempunyai kuasa kebal kepada si pemiliknya.
Malah, Hang Jebat dapat dibunuh hanya selepas Hang Tuah berjaya merampas keris Taming Sari daripada Hang Jebat dan menikamnya dengan keris tersebut.
Filem-filem Melayu yang bermotifkan seni silat pula, turut diselitkan dengan adegan bertapa, kebal atau pendekar yang berkumat-kamit membaca jampi serapah.
Melalui silat dan kuasa mistik, majalah-majalah tabloid laris di pasaran dan dijadikan bahan pengisian minda orang Melayu.
Melalui silat dan pertubuhan Al-Maunah, harga sebilah parang melambung tinggi dan peristiwa Bukit Jenalek menjadi sangat sensasi.
Malangnya, isu sensasi tersebut menunjukkan kepincangan moral dan pegangan Islam sesetengah orang Melayu.
Ini telah menimbulkan imej negatif terhadap seni silat dan orang Melayu sendiri, di mata dunia.
Terdapat juga sesetengah kumpulan Melayu yang mengambil kesempatan untuk menggembar-gemburkan isu tersebut.
Malah ada yang berani memperdayakan rakyat semata-mata untuk memasyhurkan halaman web mereka dengan pelbagai fitnah yang tidak masuk akal dan mempunyai sentimen provokasi kebencian terhadap sistem demokrasi sekarang.
Peristiwa Bukit Jenalek yang telah dipolitikkan ini menyebabkan rakyat menjadi lebih keliru. Malah ia telah menenggelamkan isu-isu pokok akibat peristiwa tersebut, iaitu isu pencerobohan hak kemanusiaan, kepincangan akidah dan ketidakberkesanan pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah permasalahan ini daripada berlaku.
Ke manakah hilangnya kefahaman kita selama ini, mengenai slogan Cegah Sebelum Parah?
Seni silat adalah warisan kebanggaan bangsa Melayu. Seni berzaman ini sepatutnya di kawal keasliannya supaya tidak dicemari oleh ajaran-ajaran sesat dan kefahaman karut.
Cukuplah dengan segala adegan fitnah dan meneguk di air yang keruh oleh kumpulan-kumpulan orang Melayu yang tidak bertanggungjawab ini.
Dengan ini saya berharap agar kita sentiasa sedar, bersikap berkecuali, bersegera dan menyelesaikan isu ini secara bermuzakarah.
Semoga dengan cara ini kita akan dapat mencapai kata sepakat secara kolektif dan diterima oleh seluruh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.
Isu-isu kemanusiaan dan kepincangan agama Islam ini sepatutnya ditangani bersama, tanpa bersempadankan fahaman politik atau kepentingan peribadi. Ia mestilah ditangani berdasarkan ia sebagai khazanah warisan pusaka bangsa. - DR. NOVANDRI HASAN BASRI, Bayan Lepas, Pulau Pinang.


MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Tanpa mengembalikan KETERANGAN PENDAFTAR ketika subscribe, anda tidak dapat posting ke Palanta RantauNet ini. Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di: http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ===============================================

Kirim email ke