Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi - Imam dan khatib Masjid al-Haram Mekah

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERANAN  ulama yang berasal dari dunia Melayu di Masjid al-Haram Mekah
sudah  berjalan  begitu  lama dan bersambung daripada satu generasi ke
generasi  berikutnya.  Sebagai  contoh  ulama dunia Melayu yang pernah
menjadi  imam  dan khatib dalam Mazhab Syafie di Masjid al-Haram Mekah
yang  dapat  diketahui  ada tiga orang, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani.

Lebih   kurang  seratus  tahun  kemudian  ialah  Syeikh  Ahmad  Khatib
al-Minankabawi (lahir Isnin, 6 Zulhijjah 1276 H/26 Jun 1860 M, wafat 9
Jamadilawal  1334 H/13 Mac 1916 M) dan Syeikh Abdul Hamid Muhammad Ali
Kudus  (lahir 1277 H/1860 M, riwayat lain dinyatakan lahir 1280 H/1863
M, wafat 1334 H/1915 M).

Ketiga-tiga  ulama yang tersebut sangat terkenal dalam pelbagai bidang
yang mereka ceburi.

Nama lengkap ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Ahmad Khatib bin
Abdul   Lathif  bin  Abdullah  al-Minankabawi.  Beliau  dilahirkan  di
Minangkabau,  Sumatera  Barat  dan  wafat  di  Mekah  pada tarikh yang
tersebut di atas. Mendapat pendidikan awal memasuki sekolah pemerintah
Belanda  di  Minangkabau  selain  menerima  pendidikan  agama daripada
keluarga sendiri.

Setelah  berada di Mekah barulah beliau mendapat pendidikan agama yang
mendalam daripada ulama Mekah terutama Sayid Bakri Syatha, Sayid Ahmad
bin  Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan
lain-lain.

Dalam  penelitian  yang  saya  lakukan,  didapati  Syeikh Ahmad Khatib
al-Minankabawi  adalah  seorang  ulama  yang  paling  banyak melakukan
polemik  dalam  pelbagai  bidang. Sebagai catatan ringkas di antaranya
ialah  polemik  dengan  golongan  pemegang  adat Minangkabau, terutama
tentang hukum pusaka.

Syeikh  Ahmad Khatib al-Minankabawi menyanggah beberapa pendapat Barat
tentang   kedudukan   bumi,   bulan   dan  matahari,  serta  peredaran
planet-planet lainnya yang beliau anggap bertentangan dengan pemikiran
sains ulama-ulama Islam yang arif dalam bidang itu.

Sehubungan  ini,  Syeikh  Ahmad Khatib al-Minankabawi sangat menentang
ajaran   Kristian   terutama  tentang  `triniti'.  Dalam  permasalahan
mendirikan   masjid   untuk   solat   Jumaat,   Syeikh   Ahmad  Khatib
al-Minankabawi  berkontroversi  dengan Sayid Utsman (Mufti Betawi) dan
beberapa  ulama  yang  berasal  dari  Palembang dan ulama-ulama Betawi
lainnya.

Polemik  yang  paling  hebat  dan  kesan  yang  berkesinambungan ialah
pandangannya  tentang  Thariqat  Naqsyabandiyah.  Syeikh  Ahmad Khatib
al-Minankabawi  telah  disanggah  oleh ramai ulama Minangkabau sendiri
terutama  oleh  seorang  ulama  besar, sahabatnya. Beliau ialah Syeikh
Muhammad Sa'ad Mungka yang berasal dari Mungkar Tua, Minangkabau.

Sehubungan  dengan  sanggahannya terhadap thariqat Syeikh Ahmad Khatib
Minangkabau  menyanggah  pula  teori  `Martabat  Tujuh'  yang  berasal
daripada Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanfuri.

Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau adalah seorang yang berpendirian keras
dan  radikal,  sungguhpun  beliau  menguasai banyak bidang ilmu, namun
beliau  masih  tetap berpegang (taklid) pada Mazhab Syafie dalam fikah
dan  penganut  Ahli  Sunnah  wal Jamaah mengikut Mazhab Imam Abu Hasan
al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam akidah.

Sebagai  contoh,  dalam  pertikaian  dua  orang  muridnya yang berbeza
pendapat. Yang seorang berpihak kepada `Kaum Tua', beliau ialah Syeikh
Hasan  Ma'sum  (1301  H/1884  M-1355 H/1974 M) yang berasal dari Deli,
Sumatera  Utara.  Dan seorang lagi berpihak kepada `Kaum Muda', beliau
ialah Haji Abdul Karim Amrullah (ayah kepada Prof. Dr. Hamka).

Syeikh  Ahmad  Khatib  Minangkabau berpihak kepada Syeikh Hasan Ma'sum
(Kaum  Tua).  Bahkan  dalam  satu  kenyataannya  Syeikh  Ahmad  Khatib
Minangkabau  menolak  sumber  asal  pegangan Haji Abdul Karim Amrullah
(Kaum  Muda)  yang  menurut  beliau telah terpengaruh dengan pemikiran
Ibnu  Taimiyah  (661  H/1263  M  -  728  H/1328  M), yang ditolak oleh
golongan yang berpegang dengan mazhab.

Sanggahan Thariqat

Sungguhpun Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau sangat terkenal menyanggah
thariqat,  namun  dalam  penelitian  saya  didapati bahawa yang beliau
sanggah   ialah   beberapa   perkara   yang  terdapat  dalam  Thariqat
Naqsyabandiyah  al-Khalidiyah.  Belum  ditemui  sanggahannya  terhadap
thariqat  yang lain seumpama Thariqat Syathariyah, Thariqat Qadiriyah,
Thariqat Ahmadiyah dan lainnya.

Mengenai  Thariqat  Naqsyabandiyah al-Khalidiyah, catatan sejarah yang
diperoleh  ternyata  Syeikh  Ahmad Khathib Minangkabau yang mendahului
pertikaian.   Mengenainya   dimulai   sepucuk  surat  yang  menanyakan
kepadanya, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau pun menulis:

``Maka  adalah  pada  tahun  1324  daripada  hijrah  Nabi kita alaihis
shalatu  was  salam  datang  kepada yang faqir Ahmad Khathib bin Abdul
Lathif, Imam Syafie di Mekah, satu masalah dari negeri Jawi menyatakan
beberapa  ehwal  yang  terpakai pada Thariqat Naqsyabandiyah pada masa
kita  ini.  Adakah  baginya asal pada syariat Nabi kita ? Atau tiada ?
Kerana  telah  bersalah-salahan  orang  kita  Jawi padanya. Maka hamba
lihat,  menjawab soal ini ialah terlampau masyaqqah atas hamba, kerana
pekerjaan itu telah menjadi pakaian pada negeri hamba hingga menyangka
mereka  itu  akan bahawasanya segala itu thariqat Nabi kita. Dan orang
yang  mungkir  akan  dia  ialah  memungkiri  akan agama Islam. Padahal
sangka itu adalah tersalah, tiada muthabaqah dengan waqi'...''

Syeikh   Ahmad   Khathib  Minangkabau  menuangkan  sanggahan  terhadap
thariqat.  Beliau  menulis  dalam  kitab yang berjudul Izhharu Zaghlil
Kazibin fi Tasyabbuhihim bish Shadiqin yang selesai ditulis pada malam
Ahad, 4 Rabiulakhir 1324 H/1906 M.

Kitab  tersebut  telah  mengundang kemarahan seluruh penganut Thariqat
Naqsyabandiyah  al-Khalidiyah  dan  penganut-penganut tasawuf daripada
pelbagai  thariqat  yang  lainnya.  Akibatnya,  Syeikh  Muhammad Sa'ad
Mungka  menanggapi  karangan  tersebut  dengan  mengarang sebuah kitab
berjudul  Irghamu  Unufi Muta'annitin fi Inkarihim Rabithatil Washilin
yang beliau selesaikan pada akhir bulan Muharam tahun 1325 H/1907 M.

Kemunculan  kitab  Syeikh  Ahmad  Khathib Minangkabau berjudul Izhharu
Zaghlil  Kazibin  itu  hanya  beberapa  bulan  saja  mendahului  kitab
Mir-atul  A-'ajib  karya  Syeikh  Ahmad al-Fathani menjawab pertanyaan
Sultan Kelantan, iaitu sama-sama dikarang dalam tahun 1324 H/1906 M.

Syeikh  Muhammad  Sa'ad  bin  Tanta'  Mungka itu tidak membantah karya
gurunya  Syeikh  Ahmad  al-Fathani,  tetapi secara serius karya Syeikh
Ahmad Khathib Minangkabau dipandang sangat perlu ditanggapi dan beliau
membantah dengan hujah-hujah berdasarkan al-Quran, hadis dan pandangan
para ulama shufiyah.

Dengan terbitnya kitab Irghamu Unufi Muti'annitin oleh Syeikh Muhammad
Sa'ad  Mungka  itu,  Syeikh  Ahmad  Khathib Minangkabau menyerang lagi
dengan  kitabnya  yang  berjudul  Al-Ayatul  Baiyinat lil Munshifin fi
Izalati Khurafati Ba'dhil Muta'ashshibin.

Kitab  ini  disanggah  pula  oleh  Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka dengan
karyanya  berjudul Tanbihul `Awam `ala Taqrirati Ba'dhil Anam. Sesudah
karya ini tidak terdapat sanggahan Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Penulisan

Karya  Syeikh  Ahmad  Khatib  Minangkabau  yang telah ditemui hanya 17
judul.  Ada yang ditulis dengan bahasa Arab dan ada juga dengan bahasa
Melayu.  Kerana  kekurangan  ruangan,  yang  dapat  disenaraikan dalam
artikel ini hanya lapan judul iaitu:

1. Al-Jauharun Naqiyah fil A'mali Jaibiyah (bahasa Arab), diselesaikan
pada  hari  Isnin, 28 Zulhijjah 1303 H. Kandungannya membicarakan ilmu
miqat. Dicetak oleh Mathba'ah al- Maimuniyah, Mesir, Rejab 1309 H.

2. Hasyiyatun Nafahat `ala Syarhil Waraqat (bahasa Arab), diselesaikan
pada  hari Khamis, 20 Ramadan 1306 H. Kandungannya mengenai ilmu ushul
fiqh. Dicetak oleh Mathba'ah Darul Kutub al-'Arabiyah al-Kubra, Mesir,
1332 H.

3. Raudhatul Hussab fi A'mali `Ilmil Hisab (bahasa Arab), diselesaikan
peringkat  pertama  hari  pada  Ahad,  19  Zulkaedah  1307 H di Mekah.
Kandungannya  mengupas dengan mendalam perkara matematik. Dicetak oleh
Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Zulkaedah 1310 H.

4.  Ad-Da'il  Masmu'  fir  Raddi  `ala  man Yuritsul Ikhwah wa Auladil
Akhawat ma'a Wujudil Ushl wal Furu' (bahasa Melayu). Diselesaikan pada
14  Muharam 1309 H. di Mekah. Kandungannya mengenai pembahagian pusaka
menurut   agama   Islam  dan  membantah  pusaka  menurut  ajaran  adat
Minangkabau.  Dicetak  oleh  Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Zulkaedah
1311  H.  Bahagian  tepi  dicetak  karya  beliau  berjudul Al-Manhajul
Masyru' Tarjamah Kitab Ad-Da'il Masmu' (bahasa Melayu).

5. `Alamul Hussab fi `Ilmil Hisab (bahasa Melayu), diselesaikan pada 6
Jamadilakhir  1310  H. di Mekah. Kandungannya mengupas dengan mendalam
perkara  matematik.  Dicetak  oleh  Mathba'ah  al-'Amirah  al-Miriyah,
Mekah,  akhir  Zulkaedah  1313  H.  Bahagian tepi dicetak karya beliau
berjudul  An-Nukhbatun  Nahiyah Tarjamah Khulashatil Jawahirin Naqiyah
fil  A'malil  Jabiyah  (bahasa  Melayu),  selesai mengarang pada malam
Sabtu, 6 Jamadilakhir 1313 H.

6. Al-Manhajul Masyru' Tarjamah Kitab Ad-Da'il Masmu' (bahasa Melayu),
diselesaikan  pada  hari  Khamis,  26  Jamadilawal  1311  H. di Mekah.
Kandungannya  mengenai  pembahagian  pusaka  menurut  agama  Islam dan
membantah   pusaka  menurut  ajaran  adat  Minangkabau.  Dicetak  oleh
Mathba'ah  al-Maimuniyah,  Mesir,  Zulkaedah  1311  H.  Bahagian  tepi
dicetak  karya  beliau  berjudul  Ad-Da'il  Masmu'  fir Raddi `ala man
Yuritsul Ikhwah wa Auladil Akhawat ma'a Wujudil Ushul wal Furu'.

7.   Dhau-us   Siraj  (bahasa  Melayu),  diselesaikan  pada  malam  27
Rabiulakhir  1312  H.  di  Mekah.  Kandungannya  membicarakan Isra dan
Mikraj. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1325 H.

8.  Shulhul  Jama'atain  bi Jawazi Ta'addudil Jum'atain (bahasa Arab),
diselesaikan   pada   malam   Selasa,  15  Rejab  1312  H.  di  Mekah.
Kandungannya  membicarakan  Jumaat,  merupakan  sanggahan sebuah karya
Habib  `Utsman  Betawi.  Cetakan  pertama  oleh  Mathba'ah  al-Miriyah
al-Kainah, Mekah, 1312 H.

Hanya  lapan  judul  yang  dapat dimuat dalam artikel ini, judul-judul
yang  lain  dapat  dirujuk  dalam  buku  saya  berjudul  Katalog Besar
Persuratan  Melayu  yang  insya-Allah  satu  ketika  nanti  akan dapat
diterbitkan.

http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/syeikh-ahmad-khatib-al-minankabawi.html




--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
Berhenti (unsubscribe), kirim email ke: [EMAIL PROTECTED]

Konfigurasi dan Webmail Mailing List: http://groups.google.com/group/RantauNet
Tapi harus mendaftar dulu di: https://www.google.com/accounts/NewAccount dengan 
email yang terdaftar di mailing list ini.
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke