Apakah Akan Terjadi Apabila Orang Jahat Mendidik Orang Jahat Lebih-Lebih Lagi 
Mendidik Orang Baik   
   
  Di akhir zaman ini di mana-mana di bumi ini ramai manusia rata-rata yang 
sudah tidak beriman. Bagi umat Islam pula telah terlalu lemah imannya. Apabila 
tidak beriman atau lemah iman, kesannya takut dengan Tuhan sudah tiada atau 
takut dengan Neraka sudah tiada atau telah terlalu lemah. 
  Apabila takut dengan Tuhan sudah tiada atau telah menipis dan takut dengan 
Neraka pun telah tercabut dari hati manusia atau kalau ada pun sudah terlalu 
lemah atau nipis. Di waktu itu apa lagilah yang boleh membendung dan menyekat 
manusia daripada melakukan kemungkaran dan maksiat atau daripada melakukan 
kesalahan dan dosa. Lebih-lebih lagi apabila manusia itu melakukan kemungkaran 
dan maksiat atau melakukan kesalahan dan dosa, mereka mendapat keuntungan di 
situ. Seperti mendapat wang dan harta yang banyak, mendapat pangkat yang tinggi 
atau dapat mempertahankan pangkat dan jawatan yang tinggi. Dapat memiliki 
perempuan yang cantik, ramai pula, mendapat kenderaan yang besar lagi canggih, 
mendapat rumah yang tersergam gagah, besar dan indah sudah tentu lebih berani 
dan nekad membuat derhaka dan dosa. 
  
  Di waktu itu, berleluasalah perbuatan penzaliman dan penindasan, pembunuhan, 
penangkapan, salah guna kuasa, mengambil kepentingan, pembohongan, 
pengkhianatan, penipuan, rasuah, pencerobohan, mungkir janji, terlibat dengan 
dadah, pencabulan, perogolan, perzinaan, minum arak, perjudian, pergaulan 
bebas, seks bebas, lesbian, homoseksual, tidak amanah, ponteng kerja, 
pencurian, hasad dengki, dendam, memfitnah, mengumpat, menghina, rompakan, dan 
berbagai-bagai bentuk jenayah lagi. 
  
  Perbuatan-perbuatan yang negatif itu, ia akan berlaku kepada semua golongan 
mengikut peluang dan kesempatan yang ada pada diri masing-masing. Golongan itu 
tidak kira golongan atasan atau orang bawahan, yang berkuasa atau rakyat 
jelata, pihak keselamatan atau pihak yang hendak dijaga keselamatan, orang kaya 
atau orang miskin, pemimpin atau pengikut, guru atau pelajar, orang bandar atau 
orang kampung, pihak pentadbir atau pihak yang kena tadbir, pemuda atau pemudi, 
atau orang tua yang sudah bersara atau yang masih bekerja. Bahkan tidak ada 
golongan yang terkecuali daripada melakukan kemungkaran dan maksiat atau 
kesalahan dan dosa-dosa. 
  
  Dalam keadaan begini, yang mudah melakukannya, yang banyak peluang serta 
mudah dapat perlindungan sudah tentulah golongan yang ada kuasa, pihak atasan, 
golongan pentadbiran, pihak keselamatan, yang berjawatan tinggi dan penting. 
Pihak-pihak lain banyak juga peluang tapi tidak dapat membuat perkara-perkara 
yang besar-besar di samping terdedah kepada tangkapan dan hukuman. Ertinya yang 
akan banyak terhukum adalah golongan yang tiada kuasa dan rakyat jelata, yang 
siapalah yang akan memperlindunginya dan ia akan berlakulah di seluruh dunia. 
  
  Apabila zaman itu berlaku keadaan dan situasi yang digambarkan tadi, akan 
terjadilah satu suasana dan berlakulah di dalam masyarakat manusia itu atau 
lumrah berlaku seperti kita sebutkan di bawah: 
  
  1. Guru tidak mesti lebih baik daripada pelajar-pelajarnya. 
2. Majikan tidak mesti lebih baik daripada buruh-buruhnya. 
3. Orang-orang tua tidak mesti lebih baik daripada orang muda. 
4. Ayah atau ibu tidak mesti lebih baik daripada anak-anaknya. 
5. Orang besar tidak mesti lebih baik daripada orang-orang kecil. 
6. Orang-orang kaya tidak mesti lebih baik daripada orang-orang miskin. 
7. Pihak pentadbir tidak mesti lebih baik daripada pihak yang kena tadbir. 
8. Pihak keselamatan tidak mesti lebih baik daripada pihak yang hendak dijaga 
keselamatannya. 
9. Orang pandai tidak mesti lebih baik daripada orang bodoh. 
10. Pendidik tidak mesti lebih baik daripada orang yang hendak dididik. 
11. Para ulama tidak mesti lebih baik daripada orang yang bukan ulama. 
12. Orang yang hendak membaiki tidak mesti lebih baik daripada orang yang 
hendak dibaiki. 
13. Pemimpin tidak mesti lebih baik daripada pengikut. 
14. Orang yang hendak memulihkan tidak mesti lebih baik daripada orang yang 
hendak dipulihkan. 
15. Orang yang berkuasa tidak mesti lebih baik daripda rakyat jelata. 
16. Pendakwah tidak mesti lebih baik daripada orang yang kena dakwah. 
17. Pemerintah tidak mesti lebih baik daripada orang yang kena perintah. 
18. Orang yang menangkap tidak mesti lebih baik daripada orang yang kena 
tangkap. 
  
  Begitulah seterusnya akan berlaku kepada golongan manusia jika kita mahu 
senaraikan yang lebih detail dan menyeluruh. Apa yang kita senaraikan di atas 
adalah secara rambang dan mewakili umum. 
  
  Sekiranya berlakulah gambaran golongan manusia yang melakukan kejahatan dan 
kemungkaran di zaman ini, saya rasa ianya sedang berlaku di seluruh dunia, 
siapakah yang akan membaiki masyarakat? 
  Siapakah yang akan memikirkan kemungkaran dan kejahatan? 
  Siapakah yang akan menumpaskan penzaliman dan penindasan? 
  Siapakah yang akan menjaga keselamatan? 
  Siapakah yang akan menumpaskan pencerobohan? 
  Siapakah yang akan menumpaskan penipuan? 
  Siapakah yang akan membaiki orang-orang jahat yang berbagai-bagai golongan 
dan bentuknya? 
  
  Sudah tentulah akan berlaku di waktu itu bahawa kalaupun tidak menyeluruh 
tapi hampir menyeluruh berlaku di dunia ini orang jahat akan memikirkan orang 
jahat. Penzaliman dan penindasan akan difikirkan oleh orang yang zalim dan 
menindas. Kaki tipu akan membendung golongan penipu. 
Orang-orang jahatlah yang akan mendidik orang jahat. Orang yang belum pulih 
aqidahnya akan memulihkan orang yang belum pulih. Orang yang tidak berakhlaklah 
yang akan berusaha membaiki akhlak orang yang tidak berakhlak. 
Penjahat-penjahatlah yang akan memikirkan orang-orang jahat. Orang jahatlah 
yang akan menangkap orang-orang jahat. Orang jahat yang akan menghukum 
orang-orang jahat. 
  Yang paling malang ialah orang jahat yang hendak mendidik orang baik. Orang 
jahat yang hendak memimpin orang baik. Orang yang jahat hendak memulihkan orang 
yang baik. Orang yang zalim yang hendak menumpaskan orang adil. Orang yang 
rosak akhlak yang hendak membaiki orang yang baik akhlak. Orang yang tidak 
beraqidah atau lemah aqidah yang hendak membaiki aqidah orang yang sudah baik 
aqidahnya. Orang jahatlah konon yang hendak membaiki orang yang sudah baik. 
Orang jahatlah yang akan memerangi orang yang baik. Orang jahatlah yang akan 
menghukum orang baik. 
  
  Kalau berlakulah di bumi Tuhan ini masyarakat yang macam ini, saya rasa ia 
sedang berlaku, apakah yang akan terjadi? Maka akan terjadilah orang baik yang 
banyak teraniaya. Orang jujur akan dimusuhi, orang yang benar akan 
dipersalahkan. Orang yang ikhlas dipandang serong. Orang yang jujur tidak 
disukai. Orang yang berkorban akan terkorban. Orang yang hendak mencari 
kedamaian dan keamanan dianggap yang hendak menggugat keselamatan. Orang yang 
hendak bersatu dianggap pemecah-belah. Orang yang berakhlak mulia dimusuhi. 
Orang yang pemurah tidak digemari. Orang yang memperjuangkan kebenaran dianggap 
perosak dan pengkhianat. Siapa yang bersih hidupnya akan tersisih dan 
terpencil. 
  
  Di waktu itulah orang-orang jahat mendapat tempat. Orang-orang jahatlah yang 
akan menjadi kaya. Orang-orang jahatlah yang akan berkuasa. Orang-orang 
jahatlah yang akan berilmu. Orang-orang jahatlah yang akan tertonjol. 
Orang-orang jahatlah yang akan dimuliakan. Orang-orang jahatlah yang akan 
diberi orang anugerah. Orang-orang jahatlah yang akan senang. 
Orang-orang jahatlah yang akan disanjung. Orang-orang jahatlah yang akan 
mentadbir. Orang-orang jahatlah yang akan membangun. Orang-orang jahatlah yang 
akan menguasai dunia. Akhirnya keturunan orang-orang baik-baik jangka panjang 
menjadi jahat pula kerana terpengaruh dengan orang jahat. Kalau tidak berbuat 
begitu tidak boleh hidup dan senang. 



       
---------------------------------

Search. browse and book your hotels and flights through Yahoo! Travel

Kirim email ke