Mau'izhatul Mu'minin min IHYA' ULUMIDDIN
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) ...

--
* Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat dan jangan lupa
sertakan sekali maklumat sumber.

---------

*Ketiga:* Hendaklah suami menambah atas sikap kurang pertimbangan dari
isteri itu dengan bersenda gurau, memuji-muji serta bermain-main dengannya,
kerana semua itu akan melembutkan hati kaum wanita. Rasulullah
s.a.wseringkali bersenda gurau dengan isteri-isterinya dan menuruti
kehendak-kehendak mereka, sesuai dengan kadar akal fikiran mereka dalam
segala macam perbuatan dan perilakunya. Sekali peristiwa pernah baginda
Rasul mengajak Siti Aisyah r.a. melihat permainan orang-orang habsyi di
kawasan masjid dan berdirilah baginda di situ menemaninya sebegitu lama
sehingga baginda berkata: Sudah puasa?

Bersabda Rasulullah s.a.w.:



*"Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik sekali terhadap isterinya
dan aku adalah orang yang terbaik sekali di antar kamu terhadap isteriku."*

* *

Berkata Rasulullah s.a.w kepada Jabir:



*"Mengapa tidak perawan yang boleh engkau bermain-main dengannya dan ia
bermain-main denganmu?"*



Seorang wanita dusun telah mensifatkan suaminya yang telah meninggal dunia
dengan berkata: Demi Allah, sebenarnya suamiku itu seorang yang sering
ketawa ketika di rumah, pendiam ketika di luar rumah, ia makan apa saja yang
aku hidangkan (tidak cerewet), tidak pernah bertanya bila sesuatu tidak ada.

* *

*Keempat:* Janganlah sang suami melampaui batas dalam persenda-gurauannya
dengan isteri, ataupun bersikap terlampau baik sekali sehingga isteri naik
muka dengan memaksa suami menurutkan segala kehendak hawa nafsunya sehingga
ke batasan merosakkan akhlak dan kelakuan si isteri. Dengan itu terjatuhlah
maruah suami di hadapan khalayak ramai. Tetapi yang dianjurkan ialah
bersikap sederhana pada segala keadaan. Jika dilihat sesuatu kemungkaran
yang dilakukan oleh isteri. Hendaklah suami jangan berdiam diri saja, bahkan
menegahnya dan membuktikan kejantanannya sebagai seorang suami ke atasa
isteri. Begitu juga jangan sampai dia yang mula membuka peluang bagi isteri
untuk melakukan berbaga-bagai kemungkaran, malah bila dilihat isterinya
berani membuat sesuatu yang melanggar hukum syara' atau hukum adat dan
maruah, hendaklah ia menunjukkan kemarahannya dan ketidak-senangnya terhadap
perkara itu.



Ingatlah bahawa segala terisi di dalam petala langit dan bumi itu diciptakan
Tuhan dengan keadilan meka segala yang melampaui had atau batasan keadilan
akan terlungkup dengan lawannya.



Sewajarnyalah suami mengambil jalan tengah atau ekonomi, baik dalam menuruti
atau menolak kehendak isteri. Hendaklah ia menegakkan kebenaran yang hak
pada segala keputusannya, sehingga ia terselamat dari bencana isterinya.
Sebab pada kebanyakkan hal, kaum wanita selalu suka berkelakuan buruk, dan
sifat tersebut tidak akan terhindar dari mereka, melainkan dengan secara
lemah-lembut yang diiringi dengan kebijaksanaan. Oleh itu adalah menjadi
suatu tugas utama bagi sang suami memerhati dan meneliti kelakuan isterinya,
bermula dengan berbagai percubaan, kemudian mencuba pula meluruskan semua
kelakuan yang bengkok itu, sebagaimana yang diharuskan oleh keadaan dan
peri-kerukunan rumahtangga.

* *

*Kelima*: Kalaupun suami cemburu, hendaklah bersikap sederhana; iaitu jangan
sampai ia melalaikan pokok-pokok persoalan yang akan menimbulkan
berbagai-bagai bencana yang tidak diingini di dalam rumahtangga. Tidak
sewajnyalah suami bersikap pelampau dalam perkara melemparkan buruk-sangka
terhadap isteri, atau menunjukkan kekerasan atau mengintip rahsia-rahsianya,
sebab Rasulullah s.a.w pernah melarang mengikuti aurat-aurat (rahsia-rahsia)
kaum wanita. Pada riwayat yang lain baginda melarang menyerempak kaum wanita
pada gerak-lakunya.



Sekali peristiwa, apabila Rasulullah s.a.w kembali pelayaran di waktu malam,
baginda menyeru para sahabatnya sebelum masuk kawasan negeri Madinah;
Janganlah kamu mengetuk rumah isteri-isteri kamu di waktu malam, maksudnya
jangan mendapatkan mereka di waktu malam begitu; malah hendaklah mereka
bersabar sehingga tiba waktu siang. Malangnya ada dua orang di atara mereka
melanggar nasihat Rasulullah s.a.w itu, Mereka terus kembali pada malam itu
juga, lalu mereka mendapati perkara-perkara yang tiada diingini telah
berlaku di rumah masing-masing.



Dalam sebuah Hadis lain: Sesungguhnya di antara berbagai-bagai cemburu,
ialah cemburu yang dibenci oleh Allah azzawajalla; iaitu cemburu seorang
lelaki terhadap isterinya tanpa sebab. Kerana sifat itu timbul dari perasaan
buruk sangka dari dalam diri, yang mana kita di larang keras bersifat
demikian. Adapun cemburu yang memang kena pada tempanya, maka itu adalah
memang semestinya ada dalam diri seseorang dan ia termasuk sifat yang
terpuji; iaitu sifat cemburu yang bersebab.



Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kaum wanita pergi ke masjid terutama
sekali untuk menunaikan dua sembahyang Hari Raya. Keluar ke masjid kaum
wanita yang sopan adalah harus hukumnya, tetapi dengan syarat redha
suaminya. Walau bagaimanapun meninggalkannya atau tidak menghadirinya lebih
terselamat dari fitnah. Sewajarnyalah kaum wanita tidak keluar dari rumahnya
melainkan bila ada hal-hal yang penting. Jika keluar untuk bersiar-siar atau
kerana perkara-perkara yang tidak perlu akan mencemarkan maruah atau nama
baik mereka, dan tidak mustahil pula boleh menarik kepada keburukan. Tetapi
kalau mesti keluar juga, maka hendaklah ia memalingkan pemandangannya dari
kaum lelaki. Kita tidak mengatakan bahawa wajah lelaki itu dikira aurat pada
kaum wanita, sebagaimana wajah wanita dikira aurat pada kaum lelaki, bahkan
lebih dari itu; iaitu sebagaimana wajah anak muda Amrad (anak muda yang yang
segak cantik dan putih pula kulitnya – pent) yang dikira haram dipandang
oleh kaum lelaki dalam keadaan ditakuti berlaku fitnah. Andaikata tiada
ditakuti fitnah, maka tiadalah haram hukumnya melihat wajah Amrad itu, sebab
pada lazimnya kaum lelaki terbuka wajahnya di sepanjang masa. Kaum wanita
pula bila keluar rumah sememangnya dalam keadaan berselubung. Andaikata
wajah kaum lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, nescaya mereka juga
akan diperintahkan untuk menyelubungi seluruh anggotanya seperti wanita,
ataupun kaum wanita itu akan dilarang untuk keluar rumah sama sekali,
melainkan kerana urusan–urusan dharurat saja.

* *

*Keenam*: Berlaku sederhana dalam memberikan nafkah. Jangan terlalu lokek
memberikan nafkah kepada isteri, dan jangan pula terlalu boros, maka
hendaklah memilih jalan tengah; iaitu secara berekonomi.

Allah berfirman:



*"Makan dan minumlah dan jangan berlaku boros."*          (al-A'raf: 31)



Ibnu Sirin berkata: Sunnat bagi suami menghidangkan untuk isterinya
manis-manisan seminggu sekali pada hari Jumaat. (yakni dibelinya dari pasar
--- pent)



Suami hendaklah menyuruh isterinya supaya mensedekahkan makanan-makanan yang
lebih-lebih yang tidak diperlukan lagi, ataupun makanan-makanan yang kalau
disimpan lama nescaya akan rosak. Ini pun dikira sebagai darjat yang paling
rendah dari kebaikan. Si isteri juga boleh melakukan serupa itu dengan hukum
keadaaan, tanpa mendapat izin atau persetujuan dari suaminya terlebih dulu.
Janganlah hendaknya si suami itu mementingkan dirinya saja dengan makanan
yang sedap-sedap tanpa dibahagikan kepada isteri juga, kerana kelakuan yang
demikian akan menimbulkan rasa tidak senang di dalam hati isteri, yang
berkesudahan akan menghasilkan perhubungan yang tidak mesra di antara
keduanya. Seterusnya jangan pula menceritakan kepada keluarganya tentang
makan-minum yang ia tidak akan mahu menyediakannnya untuk mereka. Jika ia
makan hendaklah ia mengajak anak-isteri makan bersama-sama dalam suatu
hidangan yang sama.



Di antara yang terpenting sekali dalam perkara memberi nafkah atau belanja
ini ialah menjaga nafkah atau belanja itu supaya datang dari jurusan yang
halal; dan jangan pula kerana tuntutan isteri, ia sampai mencampur-adukkan
nafkah itu dengan kerja-kerja yang kotor atau tak baik. Sebab yang demikian
itu adalah suatu jenayah terhadap si isteri dan tidak boleh dikatakan untuk
memelihara hatinya.

* *

*Ketujuh*: Seorang yang ingin berkahwin, hendaklah terlebih dulu mempelajari
hal-hal kaum wanita datang haidh dan hukumnya sekadar termampu, untuk
mengetahui hukum wajibnya saja, kemudian hendaklah ia mengajar isterinya
cara-cara bersembahyang dan hukumnya serta mengingatkannya tentang kemurkaan
Allah Ta'ala jika ia tidak mengambil berat tentang perkara-perkara agamanya.
Andaikata suami juga kurang pengetahuan dalam urusan agamanya, tetapi di
aberusaha pergi bertanyakan orang-orang yang alim, lalu kembali
menunjuk-ajar kepada isteri, maka dalam hal ini juga tidak patut isteri
keluar keraana maksudnya bertanya. Tetapi jika suami tidak pedulikan juga,
bolehlah isteri keluar kerana maksud bertanya. Tetapi jika suami pedulikan
juga, bolehlah keluar itu, meskipun suami tidak membenarkan dan harus
baginya melanggar larangan suaminya.

* *

*Kedelapan*: Jika suami mempunyai beberapa isteri, maka hendaklah ia
bersikap adil terhadap sekalian isteri-isterinya itu, dan tidak boleh ia
melebihkan yang satu dari yang lain. Jika ia ingin keluar negeri dan mahu
membawa seorang isteri bersamanya, maka hendaklah ia mengundi antara mereka.
Dalam hal suami telah menzalimi seseorang isteri tentang gilirannya, maka
sayugialah ia mengqadha'kan harinya, sebab qadha' itu wajib. Wajib yang lain
ialah adil dalam pemberian dan giliran tidur dan tidak wajib baginya untuk
menyamaratakan kasih sayang dan persetubuhan, sebab itu tiada termasuk dalam
kuasa pilihannya.



Rasulullah s.a.w. ketika dalam masa sakitnya diusung setiap hari dan setiap
malam antara isteri-isterinya bila sampai giliran masing-masing. Baginda
tetap tidur di rumah salah seorang isterinya di mana jatuh giliran
masing-masing, tetapi jika ada di antara mereka yang mengalaah untuk
rakannya, maka baginda akan bermalam di situ pula.

* *

*Kesembilan*: Dalam keadaan isteri bermusyuz (menentang suami), hendaklah
suami cuba mengajarnya dengan baik supaya ia kembali taat kepada suami.
Apabila berlaku perselisihan antara suami-isteri dan perkaranya tidak dapat
diselesaikan sendiri, maka jika perselisihan itu berpunca dari kedua belah
pihak, ataupun yang ternyata perselisihan itu berpunca dari pihak suami,
sedengkan isteri tidak berupaya untuk menenangkan suaminya, ataupun suami
tidak dapat berbuat sesuatu untuk membetulkan semula isterinya; dalam
keadaan serupa ini mestilah di cari dua orang hakam sebagai orang tengah.
Seorang dari pihak suami dan seorang yang lain dari pihak isteri untuk
mengadili perkara keduanya dan cuba menyelesaikan perselisihan itu secara
damai, sesuai dengan semangat firman Allah Ta'ala:



*"Jika keduanya memang mahukan perdamaian, nescaya Allah akan memberikan
taufiq antara mereka."* (an-Nisa': 35)



Tetapi jika nusyuz itu berpunca dari pihak isteri semata-mata, maka Allah
telah pun berfirman di dalam al-Quran al-Karim:



*"Pihak lelaki itu lebih mampu meluruskan kaum wanita."* (an-Nisa':34)



Suami tentu sekali mampu mendidik isteri dan membimbingnya ke jalan mentaati
suami secara paksaan. Dalam cara membimbingnya, haruslah diambil jaln secara
berperingkat-pringkat; iaitu mula-mula dengan menasihati isterinya secara
lemah-lembut dan mengingatkannya akan hak isteri terhadap suami dan
mengancamnya bahawa perbuatannya itu akan dikutuki oleh Allah, jika ia
ingkar. Kalau ini tidak memberikan kesan dikutuki oleh Allah, jika ia
ingkar. Kalau ini tidak kesan, maka hendaklah ia membelakanginya di tempat
tidur sendirian meskipun ia masih tinggal bersama-sama dalam sebuah rumah.
Hal serupa ini ditempohkan hingga tiga malam berturut-turut. Jika tidak
berjaya juga untuk meluruskannya, maka syara' dalam peringkat ini
membolehkan suami memukul isteri dengan pukulan yang tidak mencederakan.
Bila memukul jangan ditujukan di muka, kerana yang demikian adalah ditegah
dengan keras.



bersambung ...

Kirim email ke