Mau'izhatul Mu'minin min IHYA' ULUMIDDIN
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) ...

--
*  Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat.

-----------------

*
*

*Peringkat-peringkat syubhat *



Bersabda Rasulullah s.a.w.



"Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di
antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan, yang kebanyakan orang
ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari
perkara-perkara yang syubhat itu samalah seperti orang yang telah melindungi
agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara
yang syubhat itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana
seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan ,
akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu."



Hadis tersebut merupakan suatu nas yang menunjukkan tiga bahagian dari
peringkat-peringkat hukum, iaitu:



(1)               Perkara syubhat, iaitu peringkat yang paling rumit sekali
antara tiga bahagian itu. Perkara syubhat ini biasanya banyak orang ramai
tidak mengetahui, oleh itu haruslah ia diberikan penerangan seluas-luasnya,
sebab perkara yang tiada diketahui pula orang sedikit, jadi patutlah ia
dijelaskan kepada orang ramai.



(2)               Perkara halal mutlak, atau halal yang sudah jelas hukumnya
iaitu perkara yang telah sunyi zatnya (bendanya) dari segala sifat yang
menyebabkan pengharaman pada benda itu, dan ia terlepas dari sebab-sebab
yang menghukumkan pengharaman atau kemakhruhannya.



(3)               Perkara haram mahadh, atau haram yang sudah jelas
hukumnya; iaitu perkara yang ada padanya sifat yang mengharamkan yang sudah
tidak payah diragukan lagi, seperti arak kerana terlalu berat pengaruhnya
terhadap diri, atau air kencing kerana sudah terang kenajisannya. Ataupun
yang diperolehi dengan cara-cara yang terlarang sama sekali oleh agama,
seperti penghasilan sesuatu dengan jalan penganiayaan atau riba atau yang
seumpamanya.



Dua perkara yang halal dan yang haram itu telah jelas hukumnya. Kemudian
akan dimasukkan ke dalam dua kategori ini man yang telah ternyata
perkaranya, tetapi besar kemungkinan berubah keadaannya kelak, dan
kemungkinan perubahannya tidak ada sebab-sebab yang tertentu yang boleh
menunjukkan kepada perubahan itu. Kemungkinan yang tiada dapat dicarikan
dalilnya, sama seperti kemungkinan yang tiada pada bendanya.



Ada pun perkara syubhat itu ialah segala sesuatu yang belum jelasnya
perkaranya, umpamanya dua keyakinan yang timbul dari dua sebab yang
berkaitan dengan kedua-dua keyakinannya tadi.

Dalam persoalan syubhat ini ada beberapa hal yang harus diperhatikan, iaitu:

* *

*Pertama:* Adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang
mengharamkan. Kiranya kedua-dua kemungkinan halal dan haramnya itu sama,
maka hukumnya dikembalikan kepada hukum yang telah ada sebelumnya, dan hukum
inilah yang harus dipegang, dan tidak boleh ditinggalkan perkaranya terbiar
di dalam keraguan terus-menerus. Kemudian andaikata suatu kemungkinan baru
ditimbulkan, mengalahkan (mengatasi) kemungkinan yang telah ada serta
dibuktikan dengan dalil-dalil yang kuat dan mu'tabar (sah), maka hendaklah
dihukumkan menurut kemungkinan yang baru yang telah mengatasinya itu.



Perkara-perkara serupa ini tidak akan jelas melainkan dengan contoh-contoh
dan dalil-dalil yang terang, maka oleh itu kami bahagikan kepada empat
bahagian:



(1)               Perkara yang telah nyata pengharamannya sebelum itu,
kemudian timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk menghalalkannya.
Perkara serupa inilah yang dikatakan syubhat yang harus dijauhi dan
diharamkan memberanikan diri untuk menghalalkannya.



(2)               Perkara yang sudah diketahui penghalalannya lalu timbullah
keraguan dalam dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Maka hukumnya yang
diberatkan ialah halal dan harus dipegang dengan hukum yang tersebut.



(3)               Perkara yang asalnya sudah jelas haram, akan tetapi
timbullah sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal dengan
suatu sangkaan yang kuat, sedangkan perkara itu masih juga dalam keraguan,
hanya yang patut diberatkan ialah penghalalannya. Dalam perkara serupa ini
haruslah diperhatikan sebabnya terlebih dulu. Kiranya kemungkinan
penghalalannya bersandar kepada suatu sebab yang mu'tabar dalam hukum
syariat, maka hukum yang dipilih untuknya ialah halal, hanya menjauhinya
dikira suatu kewara'an. Misalnya: Seseorang pemburu memanah seekor buruan,
tetapi binatang itu dapat melarikan diri sehingga bila ditemui di dapati
binatang itu sdudah mati, dan tidak ada tanda-tanda lain pada badan binatang
itu  hanya anak panah pemburu itu saja, padahal berkemungkinan sekali bahwa
binatang itu mati kerana jatuh terhempas atau kerana sebab-sebab lain, bukan
kerana anak panah pemburu tadi. Maka dalam hal yang serupa ini, hukum yang
dipilih oleh syariat ialah halal, kerana luka tersebab anak panah tadi
adalah sebab yang lahir yang menjadikan binatang itu mati, dan yng demikian
itu telah terbukti. Jadi diberatkan hukum matinya binatang itu kerana
terkena anak panah, dan bukan kerana sebab-sebab yang lain, dan kemungkinan
matinya oleh sebab-sebab yang lain itu masih diragukan dan tidak ada
buktinya. Dalam istilah hukum syariat, sesuatu yang telah ditentukan
keyakinannya tidak boleh ditolak dengan lahirnya keraguan yang belum tentu
betul.



(4)               Perkara yang sudah diketahui penghalalannya akan tetapi
timbul sesuatu yang baru dalam kemungkinan yang memberatkan pengharamannya,
bergantung atas sebab yang mu'tabar dalam syariat, maka hendaklah ditolak
hukum asalnya yang halal dan dihukumkan haram. Misalnya: Seorang yang
meneliti keadaan dua bejana, lalu dengan ijtihadnya bersandarkan kepada
sesuatu tanda yang tertentu, dia dapat menentukan kemungkinan salah satu
dari dua bejana itu mengandungi najis, maka dalam hal serupa ini hendaklah
dihukumkan haram meminum air dari bejana itu, sepertimana diharamkan
mengambil wudhu' dari air tersebut.

* *

*Kedua:* Syubhat yang timbul kerana adanya percampur adukan antara yang
halal dengan yang haram, sedangkan perkaranya tidak boleh diperbedakan,
ataupun dipisahkan antara satu dengan yang lain.



Percampuran itu ada bermacam-macam contohnya:



(1)   Percampuran yang berlaku dengan bilangan yang tertentu, misalnya
seekor bangkai yang bercampur aduk dengan seekor binatang yang disembelih,
ataupun bercampur aduk dengan sepuluh ekor binatang yang disembelih.
Misalannya yang lain: Seorang saudara perempuan sesusuan bercampur aduk
dengan sepuluh orang wanita lain (yang tiada dikenali mana satu). Inilah
syubhat yang wajib dijauhi menurut ijma' para ulama, kerana amat sukar dan
tidak ada jalan sama sekali untuk menyiasat atau berijjtihad lagi, apatah
lagi jika tanda-tandanya tidak dapat dikenali.



Menurut dasar hukum, yang bercampur aduk dengan bilangan yang tertentu
(kecil) jadilah ia seperti benda yang satu, dan kemungkinan keyakinan
penghalalanya dan pengharamannya sama sedarjat. Dengan itu hujah untuk
memberatkan penghalalannya menjadi lemah, sedangkan wajah laranngannya
dianggap lebih berat dalam kacamata syariat Islam, maka oleh itu hukum
larangannya lebih diberatkan.



(2)               Percampuran haram yang desikit dengan halal yang banyak.
Misalnya: Jika bercampur seorang saudara perempuan sesusuan atau sepuluh
saudara perempuan sesusuan dengan sekelian penduduk wanita sebuah negeri
yang luas. Maka hukumnya tiadalah dilarang ia untuk berkahwin dengan sesiapa
saja yang dipilihnya dari wanita-wanita negeri itu. Alasannya ialah
kemungkinan halalnya lebih berat, dan keperluan kepada perkahwinan pula
tidak boleh ditahan. Seorang yang kehilangan saudara sesusuannya atau adik
beradiknya, atau mahramnya kerana sebab beripar-ipar, ataupun kerana
sebab-sebab lain, tiadalah wajar untuk ditutup kepadanya pintu perkahwinan.



Begitulah pula, jika ia meyakini bahwa semua harta kekayaan dunia ini telah
bercampur aduk dengan yang haram, tidaklah wajib baginya meninggalkan
membeli barang atau memakan sesuatu, kerana yang demikian itu akan
menimbulkan kesukaran pada jiwa dan diri.



Firman Allah Ta'ala:



*"Allah tiada membuat kesukaran ke atas kamu dalam perkara agama." *


(al-Haj: 78)



Perihal semacam ini pernah berlaku dalam zaman Rasulullah s.a.w. iaitu
pernah dicuri perisai dalam zamannya ataupun pernah digelapkan sehelai baju
'aba'ah dari harta rampasan perang, maka tiada seorang pun yang menahan
dirinya dari membeli perisai atau baju 'aba'ah dalam dunia. Begitu pula
halnya kepada segala barang-barang curian yang lain. Demikianlah halnya
dengan keadaan Rasulullah s.a.w., baginda mengetahui adanya orang yang ber
mu'amalah dengan riba (bunga) pada hartanya, dirhamnya atau dinarnya tetapi
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak ernah meninggalkan penggunaan
dirham datu dinar sekali.



Adapun jika bercampur antara haram yang banyak dengan halal yang banyak yang
tak dapat dihitung banyaknya, iaitu sebagaimana yang berlaku pada zaman kita
ini, maka hukumnya tiadalah terlarang menggunakan sesuatu hanya semata-mata
disebabkan percampuran itu, sama ada berkemungkinan ia dari yang haram
ataupun yang halal, sehingga dapat dikesan atau terbukti pada benda itu
tanda-tanda yang menunjukkan ia itu haram.



Jika ada oarng yang mendakwa, bahwa kebanyakann harta kekayaan pada zaman
kita ini haram, maka itu adalah suatu dakwaan yang salah dan keliru. Mungkin
dakwaan itu timbul kerana kebanyakkan manusia hari ini telah rosak moralnya,
dan mereka membanggakan keadaan itu, sekalipun perkara ini, jarang-jarang
berlaku pada sesuatu tempat yang tertentu. Mungkin sekali kerana ia
menganggap bahwa penzina-penzina dan peminum-peminum arak telah berleluasa
di mana-maa tempat, sebagaimana berleluasanya perbuatan perkara-perkara
haram yang lain, sehingga ia mengira orang-orang yang membuat kesalahan ini
lebih banyak dari yang lainnya. Ternyata sangkaan serupa ini adalah salah,
kerana mereka ini adalah sedikit bilangannya, jika dibandingkan dengan yang
lain-lainnya, meskipun jumlahnya semakin bertambah.



Kesimpulannya, sesuatu benda itu dihukumkan halal selagi tidak ada padanya
tanda-tanda yang tertentu yang menunjukkan bahwa ia itu haram.



Ketiga: Syubhat yang sebab penghalalannya berkait dengan maksiat, iaitu
seperti berjual beli di waktu azan sembahyang Jum'at, atau menyembelih
bintang dengan pisau yang dirampas atau dicuri, atau berjual beli ke atas
barang yang sudah dibeli atau dijual kepada orang lain, ataupun menawarkan
harga yang lebih atas harga yang ditawar oleh orang ramai. Semua ini adalah
terlarang dalam cara berakad jual beli, meskipun akad jual beli itu tidak
rosak, yakni tetap sah. Hanya larangan melakukan seumpama ini dikira
sebahagian dari hukum wara' saja, sebab mendapatkan keuntungan dengan
melakukan perkara-perkara seumpama ini adalah makruh, sedangkan maksruh itu
hampir dekat dengan haram.



Misal yang lain ialah umpamanya membuat sesuatu yang boleh menarik kepada
maksiat, seperti menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata
kepada perompak atau lanun.

Para ulama bertelingkah pendapat dalam perkara mengesahkan penjualan serupa
itu, dan pada menentukan halalnya harga yang diterima dari penjualan itu.
Tetapi kias yang diberatkan, ialah penjualan itu saha dan harganya halal,
hanya orang yang melakukannya dikira menderhakanya orang yang menyembelih
dengan pisau yang dirampas atau dicuri, maka penyembelihan itu tetap dikira
halal. Walau bagaimanapun, si penjual itu tetap dihukumkan menderhaka kerana
di atelah menolong orang lain untuk melakukan maksiat. Perbuatannya itu
tiada bergantung sama sekali dengan akad jual beli itu sendiri, manakala
harga yang diterimanya itu dihukumkan makruh secara berat sekali.
Meninggalkan melakukan serupa ini, dikira suatu tanda kewara'an.


--
*  Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat.

Kirim email ke