Mau'izhatul Mu'minin min IHYA' ULUMIDDIN
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) ...


=====================

*
*

*Suatu peringatan *



Tiada harus seseorang itu mementingkan persoalan-persoalan kewara'an,
melainkan dengan bimbingan seorang alim yang teliti. Sebab kiranya ia
melampaui batas yang ditentukan, lalu membuat sesuka hati tanpa berpandukan
kepada arahan-arahan yang tertentu, niscaya akan timbul perkara-perkara yang
membaikkan.



Orang-orang yang berlebihan-lebihan dalam kewara'an dikhuatirkan akan
termasuk ke dalam golongan mereka yang disifatkan oleh Allah Ta'ala dalam
firmanNya:



         *"Mereka itulah orang-orang yang sesat perjalanannya dalam
kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawasanya mereka melakukan
sesuatu perkara yang baik."  *
                            (al-Kahf: 104)



Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:



         *"Keutamaan orang alim ke atas orang 'abid (banyak ibadatnya)
seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku." *



*Perbahasan lanjut tentang haram dan halal. *



Ketahuilah bahawasanya setiap orang yang ingin memberikan kepada anda
makanan atau hadiah, ataupun anda ingin membeli sesuatu daripadanya atau
hendak memberikan sesuatu kepadanya, tidak perlulah anda memeriksa terlebih
dulu, ataupun bertanyakan latar belakangnya, atau anda berkata pada diri
sendiri: Ini antara hal yang belum aku meyakini penghalalannya, tak patut
aku menerima sekarang, bahkan aku harus memeriksanya terlebih dulu.



Dalam pada itu, bukanlah dalam semua hal harus mengambil sikap seperti di
atas tadi, bahkan pada setengah-setengah persoalan harus menyelidiki dan
bertanya, terutama sekali dalam perkara syubhat yang masih diragukan. Punca
keraguan itu harus ditujukan kepada orang yang mempunyai harta itu, sama ada
peribadinya masih diragukan, ataupun kejujurannya memang sudah terkenal
dengan adanya sangkaan yang bersandarkan kepada bukti-bukti yang tertentu.
Kemudian kepada harta bendanya pula, adakah percampuran yang haram dengan
yang halal, ataupun yang haram lebih banyak dengan adanya bukti-bukti yang
sah. Andaikata yang haram lebih sedikit, ataupun pada sangkaannya memang
tidak mungkin ada yang haram pada hartanya ketika itu, maka memakan dari
hidangannya tidaklah haram hukumnya. Tetapi sewarnya ia menyiasat untuk
meyakinkan dirinya dan kalau boleh ditinggalkan lebih baik sebagai tanda
kewara'an.



Pertanyaan boleh diajukan kepada tuan punya harta itu, kiranya ia tiada
terkira curang dalam usahanya. Tetapi kiranya ia memang terkenal curang,
umpamanya ia tiada mengenal jalan halal dalam mengusahakan kekayaan, ataupun
kata-katanya memang tidak dapat dipercayai, ataupun amanahnya masih
dicurigai, maka hendaklah diajukan pertanyaan itu kepada orang lain. Apabila
perkaranya diberitahu oleh seorang yang dipercayai sekalipun seorang saja,
maka berita itu harus diterima dan dipercayai. Begitu pula, jika perkaranya
diberitahu oleh orang fasik yang kebenarannya tidak dapat disangsikan,
kerana tidak ada maslahat sampai ia boleh berbohong, maka boleh juga berita
itu diterima dan dipercayai. Sebab maksud utama berita itu, ialah keyakinan
dalam diri, dan dalam perkara serupa ini tempat yang menentukan ialah hati.
Manakala hati pula mempunyai perhatian terhadap semua gerak-geri yang
tersembunyi yang tidak dapat dijangkau oleh kuasa renungan lahiriah. Oleh
itu hendaklah diperhatikan perkara ini dengan sehalus-halusnya. Apabila hati
merasa tenang puas, maka menghindarkan diri dari perkara-perkara yang tidak
suci menjadi suatu kewajiban yang mesti.



*Cara membersihkan diri dari penganiayaan kewangan. *

*  *

Ketahuilah, bahwa setiap orang yang bertaubat sedang dalam tangannya masih
ada lagi harta yang bercampur aduk dengan yang haram, maka tugas utamanya
ialah membedakan yang haram dan memisahkannya tersendiri. Sesudah itu, ada
suatu tugas lain, iaitu mengeluarkannya dan membelanjakannya. Kedua perkara
ini harus diperhatikan oleh orang itu.



*PERTAMA: CARA MEMISAHKAN HARTA YANG HARAM *



Seorang yang bertaubat, dan dalam simpanannya ada sesuatu barang haram yang
sudah tertentu bendanya, seperti yang diambilnya dari rampasan atau yang
diamanahkan kepadanya ata sebagainya, maka perkaranya senang sekali; iaitu
hendaklah ia memisahkan benda haram itu berasingan dan kembalikan kepada
pemiliknya atau warisnya.



Sekiranya benda itu telah bercampur aduk, ataupun tidak dapat dipisahkan,
misalnya benda yang serupa bentuknya seperti biji-bijian, mata wang, minyak;
ataupun benda-benda yang boleh ditentukan seperti rumah atau pakaian,
ataupun benda-benda yang serupa jenisnya dan yang biasa berlaku pada harta
kekayaan, seperti seorang yang mendapat wang menerusi perniagaan tetapi dia
pernah berbohong dalam setengah perniagaannya ataupun seperti seorang yang
mncuri minyak lalu ia mencampurkan minyak itu dengan minyak yang
dipunyainya, demikian pula jika dia melakukan yang sama pada biji-bijian,
atau wangnya. Hukumnya jika benda yang dicampurkan itu diketahui kadarnya,
seperti dia mengetahui bahwa separuh dari jumlah hartanya itu adalah haram,
maka wajiblah ia memisahkan kadar yang separuh lagi.





Tetapi jika ia terkeliru, maka baginya ada dua jalan:

(1)              Berpegang kepada apa yang diyakininya.

(2)              Berpegang kepada yang lebih diberatkan oleh sangkaanya.



Mengambil sikap yang pertama lebih utama dari segi kewara'an, iaitu dengan
memiliki hanya kadar yang sudah diyakini oleh dirinya sebagai halal saja.



Masalah: Barangsiapa mewarisi harta pusaka, sedang ia tiada mengetahui dari
mana harta itu diperolehi oleh orang yang mewariskannya (orang mati itu);
apakah dari usaha yang halal ataupun dari usaha yang haram dan tiada pula
tanda-tanda yang menentukan perkara sebenar tentang harta itu, maka para
ulama sepakat menghukumkan bahwa harta itu halal. Tetapi jika ia mengetahui
bahwa harta itu bercampur dengan yang haram, malangnya ia tiada mengetahui
berapa kadarnya; maka dalam misal seumpama ini hendaklah ia mengeluarkan
kadar yang disangsikan haram itu setelah ia menghalusi perkara itu.
Sekiranya ia mengetahui, bahwa sebahagian dari hartanya diperolehi secara
penganiyaan, maka wajiblah ia mengeluarkan kadar yang disangsikan itu dengan
berijtihad.



Ada pula setengah ulama mengatakan, tidak wajib ia mengeluarkan bahagian
itu, dan dosanya tertimpa atas orang yang mewariskan harta itu.



*KEDUA: CARA MEMBELANJAKAN HARTA YANG HARAM *



Ada tiga cara dalam membelanjakan harta yang haram iaitu:



(1)               Jika harta itu ada pemiliknya yang tertentu, maka
hendaklah ia diserahkan kepadanya. Jika ia sudah mati hendaklah diserahkan
kepada ali warisnya. Jika ia tidak ada di dalam negeri (ghaib), maka
hendaklah ditunggu kembalinya, ataupun dikirimkan harta itu kepadanya.
Begitu pula jika harta itu bertambah atau ada hasilnya, maka hendaklah ia
menyimpan segala faedah-faedah harta itu, sehingga pemiliknya kembali semula
ke negeri itu, di mana harta itu harus diserahkan kepadanya.



(2)               Jika harta itu tidak diketahui pemiliknya yang tertentu,
dan setelah dcari tiada ditemui pula, dan tiada juga diketahui sama ada ia
telah mati atau telah meninggalkan waris-waris yang tertentu. Dalam hal ini
tiada boleh dikembalikan kepada pemiliknya, malah ditahan harta itu sehingga
ternyata perkaranya. Atau mungkin juga tiada boleh dikembalikan disebabkan
orang yang mendakwa menjadi pemiliknya amat banyak bilangannya, sehingga
sukar hendak ditentukan yang mana satu. Dalam misal-misal yang tersebut,
sewajarnyalah harta itu disedekahkan, sehingga tiada terbiar begitu saja,
dan lenyap manfaatnya kepada pemilik mahupun orang lain. Se-kiranya ia
sendiri seorang fakir yang berhak menerima sedekah untuk dibelanjakan atas
dirinya dan atas tanggungannya.



(3)               Jika harta itu berasal dari rampasan perang, ataupun
daripada milik badan-badan yang menguruskan kepentingan kaum Muslimin, maka
hendaklah ia dibelanjakan kepada maslahat umu, seperti membinja
jamabatn-jambatan, masjid-masjid, sekolah-sekolah agama dan jalan-jalan yang
menyampaikan orang ramai ke Makkah al-Mukareamah, ataupun yang seumpamanya,
yang mana manfaatnya dapat dirasakan oleh seumum kaum Muslimin bersama.


--
*  Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat dan jangan lupa
sertakan sekali maklumat sumber, melainkan anda ingin bertanggungjawab ke
atas apa yang disebarkan.

Kirim email ke