Mau'izhatul Mu'minin min IHYA' ULUMIDDIN
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) ...
Menentukan cinta kerana Allah
* *
* *Cinta yang hakiki yang didasarkan kerana Allah semata-mata,
ialah bila anda mencintai seseorang bukan kerana peribadinya, malah kerana
kelebihan-kelebihannya yang bergantung dengan keakhiratannya. Misal cinta
itu ialah: Seseorang yang mencintai gurunya sebab menerusi guru itu ia akan
memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memperbaiki amalannya. Sedang tujuan
utama dari menuntut ilmu pengetahuan dan amalan yang baik itu, ialah
keselamatan diri di Hari Akhirat. Inilah yang dikatakan antara contoh-contoh
cinta kerana Allah semata-mata.
Misal yang lain ialah: Seorang guru mencintai muridnya, sebab
kepadanya guru itu dapat menurunkan ilmu pengetahuan dan dengan sebab itu
pula guru itu memperoleh pangkat seorang pendidik atau guru. Orang ini juga,
dikira cintanya kerana Allah semata-mata. Begitu pula orang yang bersedekah
dengan harta bendanya kerana menuntut keredhaan Allah, atau orang yang suka
mengundang tetamu di rumahnya, lalu menghidangkan berbagai-bagai makanan
yang lazat, semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.
Kemudian lahirlah dalam diri orang itu perasaan sayang dan kasih terhadap
tukang masaknya, kerana kemahirannya untuk menyediakan makanan-makanan yang
lazat; cinta ini juga dikira sebagai cinta kerana Allah.
Misal lain lagi ialah misal seorang yang suka menyampaikan
sedekah kepada orang-orang yang memerlukannya, maka perilakunya itu dikira
sebagai cinta kerana Allah juga. Ataupun orang yang mencintai pekerja yang
membantu mencuci pakaiannya, membersihkan rumahnya, dan memasak makanannya,
yang mana dengan terlepasnya ia dari tugas-tugas ini, senanglah ia dapat
menuntut ilmu atau membuat pekerjaan yang lain, sedang tujuan utama dari
mempekerjakan orang itu semata-mata kerana melapangkan diri untuk
memperbanyakkan ibadat, maka ia juga terkira pencinta kerana Allah.
Begitu juga ia mencintai seorang kerana orang itu mencukupkan
keperluannya dari wang dan pakaian, makanan dan rumah dan lain-lain
keperluan yang mesti untuk kehidupan di dunia, sedang maksud orang yang
menderma itu ialah supaya ia dapat melapangkan diri untuk menuntut ilmu
pengetahuan yang berguna, sambil melakukan amalan-amalan yang mendekatkan
diri kepada Allah Ta'ala maka cintanya itu dikira kerana Allah Ta'ala jua.
Segolongan para Salaf Saleh yang terdahulu, sering segala
keperluannya ditanggung oleh hartawan-hartawan yang murah hati. Jadi dalam
hal ini, kedua-dua pihak tergolong pencinta-pencinta yang mencari keredhaan
Allah Ta'ala.
Juga, jika seseorang itu menikahi seorang wanita yang salehah
untuk melindungi dari godaan syaitan, serta memelihara agamanya, atau untuk
menginginkan seorang anak yang saleh dari pernikahan itu, ataupun dia
mencintai isterinya kerana menerusinya ia dapat sampai kepada tujuan-tujuan
yang suci, seperti misal-misal yang disebutkan di atas tadi, maka ia adalah
seorang pencinta kerana Allah Ta'ala.
Demikian pula, jika seseorang itu dalam hatinya tersemat cinta
kerana Allah dan dunia, seperti seorang yang mencintai guru yang
mendidiknya, lalu ia pun mencukupkan segala keperluan guru itu di dunia
dengan wang dan sebagainya, maka ia dikira orang yang mencintai kerana
Allah.
Seterusnya, bukanlah dari syarat-syarat cinta kerna Allah Ta'ala
itu, ia mesti tinggalkan semua nasibnya dari harta kekayaan dunia sama
sekali, sebab para Nabi salawatullahi alaihim sering menyeru kita berdoa,
agar Allah s.w.t. mencukupkan kedua-dua keperluan dunia dan akhirat.
"*Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan
kebaikan di akhirat." *(al-Baqarah: 201)
Juga dalam doa yang ma'tsur berbunyi:
*"Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon daripadaMu
kerahmatan yang dengannya aku boleh memperoleh pangkat kehormatanMu di dunia
dan di akhirat." *
Bila kecintaan seseorang kepada Allah telah menjadi kukuh, niscaya akan
muncul wataknya perasaan suka membantu dan menolong serta mengutamakan orang
lain dari diri sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya
dari harta, jiwa dan nasihat yang baik.
Dalam hal ini manusia adalah berbeda menurut perbedaan darjat
kecintaannya terhadap Allah azzawajalla. Ia akan dicuba dalam kecintaannya
itu dengan berbagai-bagai percubaan yang bertalian dengan
kepentingan-kepentingan dirinya, sehingga ada kalanya semua kepentingan itu
sudah tidak ada yang tinggal lagi, semuanya telah dibelanjakan bagi
kepentingan orang yang dicintainya itu, Terkadang-kadang ditentukan
sebahagian untuk diri sendiri, manakala yang lain diberikan kepada
orang-orang yang dicintainya.
Tidak kurang juga, orang yang membahagikan harta kekayaannya
kepada dua, satu bahagian untuk dirinya dan satu bahagian lagi untuk
kekasihnya, ada yang memberikan sepertiga dari harta kekayaan, dan ada
sepersepuluh dan seterusnya. Banyak atau sedikit wang yang dibelanjakan itu
bergantung pada rasa cintanya terhadap orang itu, sebab tidak dapat
ditentukan darjat cinta itu, melainkan dengan kadar harta yang dibelanjakan
kepada para kekasihnya. Maka barangsiapa hatinya telah dipenuhi oleh rasq
cinta kerana Allah, tidak ada benda-benda lain yang masih dicintakan lagi,
selain dari cintanya kepada Allah semata-mata. Ketika itu tidak akan
meninggalkan sesuatu benda pun dari harta kekayaannya, melainkan semuanya
dibelanjakan kerana Allah s.w.t.
Contoh dalam misal ini, ialah Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq
(Khalifah Islam pertama), beliau telah menyerahkan puterinya Aisyah (untuk
dikahwinkan kepada Rasulullah s.a.w. – pent), sedangkan aisyah itu cahaya
matanya kemudian dibelanjakan semua harta bendanya kerana Allah s.w.t.
Dengan itu disimpulkan, bahwasanya sesiapa yang mencintai seorang
alim atau' abid, ataupun dia mencintai penuntut ilmu pengetahuan atau orang
yang sepanjang masanya beribadat atau membuat kebaikan, maka yakinlah
bahawasanya ia mencintainya itu kerana Allah dan untuk Allah dan tentulah ia
akan mendapat ganjaran pahala dan kurnia dari Allah Ta'ala menurut kadar
kekuatan cintanya itu.
--
* Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat dan jangan lupa
sertakan sekali maklumat sumber, melainkan anda ingin bertanggungjawab ke
atas apa yang disebarkan.