Kelantan kekal di tangan PAS - Dr Mahathir
Oleh Siasahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yakin,
PAS akan terus menguasai Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang di
samping Umno dan BN akan terus menguasai lain-lain negeri.
Beliau juga berkata bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bermimpi
sahaja untuk menjadi Perdana Menteri.
Dr Mahathir berkata demikian dalam wawancara khas dengan Siasah baru-baru ini.
Kata Tun, orang-orang Melayu PAS akan terus memberikan undi kepada PAS dalam
pilihan raya akan datang.
Beliau meramalkan, PAS akan menambah bilangan kerusi yang diperolehinya di
Terengganu tetapi untuk mengatakan PAS akan menawan kembali negeri itu, ia
sukar diramalkan.
Ketika ini BN menguasai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kesemua lapan
kerusi Parlimen di Terengganu.
PAS pula hanya tinggal empat kerusi DUN, iaitu di Batu Burok, Manir, Rhu
Rendang dan Wakaf Mempelam.
Ia masing-masing diwakili Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, Datuk Harun Taib,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mohd Abdul Wahid Endut.
Sebelum itu, beberapa pemimpin PAS termasuk Abdul Hadi, Pesuruhjaya PAS negeri,
Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda PAS negeri, Azman Shapawi Abdul Rani
menyuarakan keyakinan masing-masing bahawa partinya akan membuat kejutan dalam
pilihan raya nanti.
PAS Terengganu disifatkan oleh pemimpin BN Terengganu bermimpi di siang hari
apabila berhasrat merampas semula pemerintahan negeri itu daripada Barisan
Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya, empat kerusi milik parti itu sekarang didakwa tidak selamat dan
bakal ditawan BN.
Sementara itu, kata Tun Dr Mahathir, Para penyokong Umno pula, katanya, akan
terus memberikan sokongan kepada Umno walaupun calonnya adalah tunggul kayu
sahaja.
Beliau juga berkata, jika berlakupun kekurangan undi yang diperolehi oleh Umno
ianya adalah kerana kekecewaan peribadi kerana tidak mendapat sesuatu yang
dikehendaki.
Wawancara penuh dengan Tun Dr Mahathir dalam Siasah versi cetak Ahad ini
____________________________________________________________________________________
Got a little couch potato?
Check out fun summer activities for kids.
http://search.yahoo.com/search?fr=oni_on_mail&p=summer+activities+for+kids&cs=bz