"Ya Tuhan, Jika aku menyembah Mu kerana takutkan neraka, maka bakarlah aku di dalam neraka. Jika aku menyembah Mu kerana mengharapkan syurga, sisihkanlah aku dari syurga Mu; Tetapi jika aku menyembah Mu kerana diri Mu, janganlah Engkau sembunyikan kecantikan Mu yang abadi." Rabiah, penyair Islam kurun 8
Aku benar-benar terkesan dengan kata-kata sufi dan penyair Islam ini. Dan apa yang dikatakannya benar. Bahawa apa yang kita buat sebenarnya bukan untuk mengharapkan ganjaran semata-mata, tetapi kerana cinta kita pada Dia Yang Satu. Itulah yang paling utama; cinta yang agung. Dan cinta agung itu lebih bernilai dari segala-galanya. Segala-galanya untuk Allah. Jika kata-kata ini diaplikasikan kepada penulis dan penulisan mereka, maka ia akan jadi sesuatu yang lebih penting lagi. Ya, yang lebih utama kerana penulisan itu adalah tunjang di dalam pembentukan siasah masyarakat dan negara itu sendiri. Penulisan yang sia-sia akan jadi sesuatu yang tidak ada guna. Sekadar jadi gula-gula manis yang sedap tetapi merosakkan gigi yang sememangnya sudah semakin sakit di akhir zaman ini. Perlu ada `essence' dan `substance' di dalam penulisan itu sendiri agar para pembaca tidak hanya terbuai dengan angan yang tidak sudah. Pembaca harus dikejutkan untuk berfikir (sambil berhibur). Sudah tiba masanya penulisan di Malaysia berubah. Dan aku tahu sudah semakin ramai pembaca-pembaca di Malaysia yang mahukan pembacaan-pembacaan novel yang lebih konstruktif. Bukan lagi novel meleweh-leweh. Tetapi novel-novel yang dapat mengingatkan kita kepada siapa diri kita dan tanggungjawab kita yang sebenarnya di bumi Tuhan ini. Dan sebagai seorang penulis, pengkarya dan penyampai idea, tidak dapat tidak itulah yang perlu aku lakukan. Perlu aku cuba. Mungkin langkah ku masih lagi pincang. Dan banyak yang harus ku lakukan dan tempuhi. Tetapi jika aku tidak mengambil langkah mula, ah! Bila lagi? Supaya mereka yang membaca karya-karya ku akan mengingati Allah bila mereka menutup lembaran terakhir novel ku dan mendapat manfaat di hari kemudian. Atau sekurang-kurang membuatkan mereka terdetik untuk melakukan perubahan kecil ke arah yang lebih positif. Atau sekurang-kurangnya bangun keesokan harinya dan berasa syukur di atas apa yang mereka dapat dari Tuhan. Kawan, penulisan itu adalah sesuatu yang mulia. Sesuatu yang dapat menggoncang dunia. Seandainya yang mulia itu dikotori dengan tujuan mendapatkan lebih banyak untung semata-mata, dan tanpa mengira baik atau buruk yang kita tulis, maka tidak perlu menulis! Ah, itu cara kapitalis, kawan... adakah kau juga mahu dipanggil tali barut kapitalis? John Norafizan http://www.johnnorafizan.com <http://www.johnnorafizan.com/> John Norafizan adalah penulis novel: Sempadan Tanpa Seri (Creative Enterprise, 2003) Tunjukkan Aku Satu Bintang (Creative Enterprise, 2005) Cinderella Cinta (Creative Enterprise, 2007) Garis-Garis Deja Vu (SUDAH terbit 15 MAC 2008, terbitan Jemari Seni) http://www.johnnorafizan.com <http://www.johnnorafizan.com/>
