Raja Rempit dicekup Oleh Zainal Zawawi Mohamed - [EMAIL PROTECTED] KUALA LUMPUR: Seorang lelaki digelar Raja Rempit yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan seorang Mat Rempit di Bukit Damansara di sini, 8 Oktober lalu, cuba terjun dari tingkat satu rumah neneknya sebaik menyedari kediaman itu diserbu polis di Selama, Perak, pagi kelmarin. Bagaimanapun, Raja Rempit itu yang mengetuai sekumpulan Mat Rempit di sekitar ibu negara gagal meloloskan diri, sebaliknya dia diberkas sepasukan anggota polis yang mengepung rumah berkenaan, kira-kira jam 7 pagi. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata polis mengesan suspek utama kes bunuh itu selepas menahan seorang rakan karibnya. Katanya, suspek utama yang ditahan itu berusia 22 tahun dan bersembunyi di rumah neneknya sejak tujuh hari lalu selepas terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan Mat Rempit sehingga mengorbankan seorang daripada mereka. Pada mulanya, polis menahan seorang rakan karib suspek utama itu di sebuah pangsapuri di Batu 9 Cheras di sini, pagi Jumaat lalu hasil maklumat orang ramai. Hasil soal siasat dijalankan, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields melakukan intipan di sebuah rumah di Selama, Perak, yang menjadi tempat persembunyian suspek utama itu, katanya di sini, semalam. Menurutnya, ketika intipan dilakukan, polis menemui motosikal suspek utama di rumah berkenaan dan terus meminta bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama. Mohd Dzuraidi berkata, ketika serbuan, lelaki terbabit enggan bekerjasama, sebaliknya terjun dari tingkat satu rumah neneknya tetapi suspek berjaya diberkas berikutan rumah itu dikepung polis. Suspek utama itu dibawa dari Selama, Perak ke IPD Brickfielkds kira-kira jam 12 tengah hari dan ditahan reman untuk membantu siasatan, katanya. Beliau berkata, setakat ini polis sudah menahan 14 Mat Rempit yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan sehingga mengorbankan seorang daripada pelumba haram. Mohd Dzuraidi berkata, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil memberi keterangan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi talian Rakan Cop 03-21159999. Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua kumpulan Mat Rempit yang gemar bersaing sesama sendiri bertempur sehingga mengorbankan seorang daripada mereka akibat ditikam dalam pergaduhan. Pada mulanya, kedua-dua kumpulan berkenaan, masing-masing empat Mat Rempit dari Hulu Langat dan 40 Mat Rempit dari Kampung Pandan, terbabit dalam kemalangan kecil di Bukit Damansara kira-kira jam 2.30 pagi 8 oktober lalu. Pada mulanya mereka cuba berunding bagi menyelesaikan pertikaian itu tetapi gagal mencapai kata sepakat menyebabkan tercetus pergaduhan. Dalam pergaduhan itu, Mat Rempit dari Hulu Langat, Agus Asrafi Sumarji, 21, ditikam dengan pisau dan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala dua rakannya cedera. --------------------- Rempuh rakan elak Ops polis Oleh Ibrahim Isa - [EMAIL PROTECTED] JOHOR BAHRU: Cubaan dua Mat Rempit melarikan diri daripada operasi polis dengan menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Tun Abdul Razak di sini, akhirnya mengundang padah apabila mereka bertembung sesama sendiri, awal pagi semalam. Mat Rempit terbabit bagaimanapun hanya cedera ringan dan ditahan polis selepas kedua-duanya terjatuh. Dua Mat Rempit itu antara 120 penunggang motosikal yang ditahan polis trafik dalam operasi besar-besaran membanteras kegiatan perlumbaan motosikal haram di sekitar bandar raya ini. Dalam operasi itu polis turut mengeluarkan 201 saman terhadap Mat Rempit selepas mereka melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ketua Trafik negeri, Superintendan Abdul Halim Abdullah, berkata cubaan nekad dua penunggang motosikal itu untuk mengelak ditahan polis mengundang padah. Menurutnya, pihaknya melakukan operasi di dua lokasi tumpuan Mat Rempit untuk berlumba haram iaitu di Jalan Tun Abdul Razak berhampiran persimpangan jejantas Larkin dan Jalan Pantai Lido. Katanya, dua penunggang yang cedera dalam kemalangan itu sudah membuat laporan polis semalam. Operasi itu membabitkan 50 pegawai dan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Johor Bahru Selatan, Unit Kereta Peronda serta 15 anggota Rela. Dalam operasi di Jalan Pantai Lido, Halim berkata, sebanyak 70 motosikal yang ditunggang Mat Rempit cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun usaha mereka gagal berikutan kereta peronda menyekat semua laluan. Sementara itu, Ketua Polis Trafik Johor Bahru Utara, Asisten Superintendan Bakri Zainal Abidin, berkata, tiga Mat Rempit ditahan manakala 25 motosikal disita dalam satu operasi berasingan di Taman Universiti, Skudai, di sini. Menurutnya, operasi selama lima jam berakhir jam 5 pagi itu dikendalikan empat pegawai dan 60 anggota polis trafik. "Tiga lelaki yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 20 tahun kerana didapati terbabit dalam perlumbaan haram dan mereka kini ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Seramai 40 penonton yang menyaksikan perlumbaan haram itu turut ditahan, manakala 25 motosikal disita kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya. -------------------- Rampas motor Mat Rempit Oleh Mohd Sabran Md Sani - [EMAIL PROTECTED] KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menguatkuasakan sepenuhnya hukuman terhadap pelumba haram atau Mat Rempit dengan mengambil beberapa tindakan tegas termasuk merampas motosikal, menggantung lesen dan denda. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata tindakan keras itu bagi memberi kesedaran kepada golongan terbabit supaya jangan memandang remeh terhadap undang-undang negara. Kabinet sudah meminta Kementerian Pengangkutan mengkaji undang-undang sedia ada mengenai kegiatan atau aktiviti lumba haram. Ia termasuk mengetatkan undang-undang sedia ada, selain merampas motosikal, menggantung lesen dan denda yang berat. Selain itu, tindakan setimpal sedia menanti individu atau pihak tertentu yang menaja perlumbaan haram, katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya, di Hentian Jalan Duta, di sini, semalam. Kempen bertemakan Pandu, Tunggang dan Jalan dengan Selamat dan Penggunaan Pengangkutan Awam Mengurangkan Kemalangan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai ketika memandu di jalan raya sempena perayaan Deepavali dan Aidilfitri. Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Emran Kadir; dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Surat Singh. Menurutnya, semua tindakan itu adalah antara cadangan yang akan dimasukkan dalam pindaan undang-undang berkaitan dan kini dalam proses penelitian oleh Kementerian Pengangkutan sebelum dibentangkan kepada Kabinet serta Parlimen. Sementara itu, dalam ucapannya Najib berkata, sikap pengguna yang mementingkan diri sendiri, selain mengabaikan peraturan jalan raya, akan meningkatkan kadar kemalangan maut sehingga dua kali ganda terutama pada musim perayaan. Kenyataan itu disokong statistik purata kemalangan jalan raya di negara ini melebihi 6,000 orang setahun dan jumlahnya semakin ketara berikutan pertambahan bilangan kenderaan dengan kadar kemalangan meningkat 3.5 peratus peratus pada tahun lalu. Semua orang mesti sedar untuk mencapai paras kemalangan yang lebih rendah dan menguntungkan semua pihak, kita mesti mengikut segala peraturan ditetapkan dengan menyanjung tinggi serta m empertahankan sistem sedia ada.
--------------------------------- What is the internet to you? Contribute to the Yahoo! Time Capsule and be a part of internet history. [Non-text portions of this message have been removed] Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif (BA) unless otherwise stated Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED] To Sub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] To Unsub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/ <*> Your email settings: Individual Email | Traditional <*> To change settings online go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/join (Yahoo! ID required) <*> To change settings via email: mailto:[EMAIL PROTECTED] mailto:[EMAIL PROTECTED] <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/