PERSONALITI - BERITA HARIAN
Pejuang bahasa Melayu
Oleh Mohd Azis Ngah 
a...@bharian.com.my





DI bilik bacaan peribadi di rumahnya bersama koleksi buku.


Bagi Baha Zain tiada istilah bersara daripada menulis, menyampaikan pandangan, 
berkongsi pendapat dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan 

KETIKA melayari blog milik bahazain (Datuk Baharudin Zainal), penulis tertarik 
dengan perenggan akhir pada muka utama yang memetik kata-kata Prof A Rahman 
Shaari, 'Baharuddin Zainal Pengkritik Sastera dan Penyair,' dalam Esei & Puisi 
Baha Zain (2000). 

Katanya, '....Baharuddin Zainal ialah pengkritik sastera yang cukup berjaya. Ia 
sebenarnya berjaya akibat daripada sikap berhati-hati yang ada padanya dan 
sikap itu sentiasa dipeliharanya. Sikap berhati-hati itu menyebabkan 
kritikannya kerap kali mengandungi isi yang bernas, dan isi itu disampaikan 
melalui bahasa yang kreatif. Elok saya tegaskan, bahawa tidak besar jumlah 
pengkritik sastera yang berkeupayaan membina bahasa yang kreatif'. 



Jika diamati, memang ada kebenarannya, cakapnya memang berhati-hati tetapi 
tegas dengan pendirian dalam menyatakan pandangan, kritikan serta cadangan 
mengenai pelbagai isu yang diaju dan dipersoalkan kepadanya. 

Usianya akan mencecah 70 tahun menjelang 2009, namun ingatan, kritikan ke atas 
isu semasa tetap bagus kerana beliau sentiasa mengamalkan budaya mencari ilmu, 
mengikuti perkembangan semasa di dunia luar walaupun kini hidup di alam 
persaraan. 

Baginya, tiada istilah bersara daripada menulis, menyampaikan pandangan, 
berkongsi pendapat terutama dalam bidang persuratan khususnya memperjuangkan 
martabat bahasa kebangsaan. 






Antara buku terbaru tulisan Baha Zain.


"Saya tiada kemahiran lain selain menulis, ini sudah saya lakukan sejak zaman 
persekolahan dan akan teruskan selagi terdaya. Semangat memartabatkan bahasa 
ini tidak akan luntur sampai bila-bila dan berharap generasi muda akan teruskan 
usaha murni ini. 

"Sejak zaman kebangkitan perjuangan Bahasa Melayu sekitar 1957 hingga 1959 saya 
sudah merasai bahangnya dan cukup bersemangat untuk turut berjuang. Pada 
peringkat sekolah, kami tubuhkan Persatuan Peminat Bahasa Kebangsaan Sekolah 
Anderson, Perak. 

"Saya dilantik sebagai pengerusi pertama dan kami menerbitkan majalah dalam 
bahasa kebangsaan pada 1958 dan 1959. Kami adakan aktiviti drama, teater untuk 
menyokong gerakan mengembalikan maruah bahasa Melayu. 

"Guru-guru resah melihat gerakan mengembalikan maruah bahasa Melayu kerana 
mereka berpendidikan kolonial dan tidak begitu senang dengan kegiatan kami," 
katanya. 
Semangat perjuangan bahasa itu juga membawa kepada penubuhan Dewan Bahasa dan 
Pustaka pada 1956 dan dua tahun berikutnya, digerakkan bahasa kebangsaan. 

Semangat perjuangan meningkat maruah itu diteruskan ketika menyambung pengajian 
di Universiti Malaya (UM) pada 1960. Sewaktu cuti semester, beliau turut 
bekerja sambilan di DBP disebabkan minat mendalam dalam usaha menjadikan bahasa 
sebagai satu perjuangan. 

Sebaik saja menamatkan pengajian di UM, Baharudin terus diterima berkhidmat 
sebagai Penolong Pegawai Penyelidik DBP sekali gus memberi ruang kepadanya 
untuk meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan. 

"Sejak kerja di DBP sampai ke hari ini, saya tak reti buat kerja lain, menulis 
saja. Menulis pun dalam bahasa Melayu, bukan saya tak boleh tulis dalam bahasa 
Inggeris, tetapi lebih selesa dengan bahasa ibunda. Itu sudah saya amalkan 
sejak sekian lama, bermula menulis puisi dan karangan di sekolah. 

"Memang dari dulu saya nak membina bahasa Melayu. Apabila kerajaan lancarkan 
penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, saya 
tentang habis-habisan, itu pendirian saya. 

Saya jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) dan Datuk Seri 
Abdullah Ahmad Badawi. 

"Dua kali saya jumpa Pak Lah, saya cakap jelas-jelas, bukan emosional, tetapi 
ikut rasional. Saya katakan sejak dulu, saya memang konsisten, bukan ini tidak 
bermakna saya tak suka bahasa Inggeris, anak-anak saya pun belajar bahasa 
Inggeris, tetapi kena utamakan bahasa ibunda. 

"Perjuangan saya cukup jelas, walaupun saya bukan orang politik. Untuk 
perjuangan bangsa, tak semestinya jadi orang politik. Masing-masing ada peranan 
dalam perjuangan seluruh kehidupan kita, mesti maju dalam semua bidang. "Kita 
perlukan peniaga, tukang kebun yang baik, barangkali pemandu teksi yang jujur 
juga penting untuk negara kita, bukan hanya menteri, ahli sukan pun sama, macam 
Datuk Nicol David (skuasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton)," katanya. 

Disebabkan itulah, walaupun sudah bersara, beliau tetap meneruskan agenda 
perjuangannya dan segala pandangan, komen mengenai isu semasa, perbahasan di 
Dewan Rakyat akan dikupas, diulas melalui blog miliknya. 

Melalui cara itu, beliau cukup yakin masyarakat terutama generasi muda akan 
mendapat pandangan alternatif dan maklumat selain melalui pelbagai buku hasil 
tulisannya yang menggambarkan pendiriannya sejak sekian lama. 

PROFIL: Datuk Baharudin Zainal 

Tarikh lahir: 1939 

Isteri: Datin Rusiah Abdullah, 60, 

Anak: Rosihan Adi, 40, Rosihan Juara, 38, Rosiha Zain, 35, 

Ibu: Allahyarhamah Teh Maarof. 

Asal: Sabak Bernam, Selangor 

Adik beradik: Anak bongsu daripada tiga beradik 

Pendidikan: 


1946: Sekolah Melayu Sabak Bernam, Selangor. 


1949: Ujian khas memasuki sekolah aliran Inggeris. Ditawarkan ke Kolej Melayu 
Kuala Kangsar tetapi menolak disebabkan jarak terlalu jauh. 


195-1957: Sekolah Cina Anglo, Teluk Anson, Perak. 


1957: Menduduki Sijil Peperiksaan Cambridge. 


1958 - 1959: Sekolah Menengah Anderson, Perak 


1960: Universiti Malaya (UM), 

Kerjaya: 


Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa Pustaka (berkhidmat selama 22 tahun bermula 
1963-1985) 


Jawatan terakhir di DBP ialah Timbalan Ketua Pengarah 


Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Negara (1993-2007) 


Persatuan Penulis Nasional (Pena) - Timbalan Presiden 

Cetak artikel  |  Hantar pada kawan






      Menambah banyak teman sangatlah mudah dan cepat. Undang teman dari 
Hotmail, Gmail ke Yahoo! Messenger sekarang! 
http://id.messenger.yahoo.com/invite/

Kirim email ke