BERITA HARIAN
                       
    Lima penggiat budaya diiktiraf warisan hidup
    Oleh Rafidah Mat Ruzki
[EMAIL PROTECTED]



    
                       
    KLANG:
Lima penggiat seni budaya diisytiharkan Warisan Orang Hidup bagi
menghargai jasa dan kepakaran mereka memartabatkan kesenian dan
kebudayaan negara.


 Mereka adalah Ali Badron Sabor, 75, atau Pak Ali Badron,
penglipur lara yang berpengalaman dalam bidang sastera lisan sejak
1960-an; Abu Bakar Jaafar, 83, atau Pak Kan di Pulau Pinang adalah
penggiat boria terkenal di negeri itu.


 Losimin Majanil, 83, pula seorang `bobohizan' atau pawang
wanita untuk masyarakat Kadazan Dusun yang terkenal di Sabah sehingga
menjadi rujukan masyarakatnya, selain masih aktif dalam perayaan
Kaamatan.

        




    


     Tan Hoo Song, 61, yang terbabit dalam seni gendang
dan pernah mendapat pengiktirafan masyarakat Cina sebagai Bapa Gendang
Tradisi berikutan kejayaannya mencipta kesenian gendang yang mempunyai
ciri-ciri Malaysia, dinamakan Gendang 24 Perayaan.


 Seorang lagi adalah Vatsala Sivadas, 66, penari dan pereka
tari tarian klasik India, Bharathanatyam yang pernah membuat
persembahan di dalam dan luar negara termasuk persembahan Shakuntala,
iaitu karya legenda klasik Kalidasa digarap dengan variasi tempatan.


 Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal, ketika mengumumkannya semalam berkata gelaran
Warisan Orang Hidup adalah pengiktirafan kerajaan terhadap jasa mereka
kepada bidang seni dan kebudayaan negara.

  

    
                        

    
Sebelum ini, hanya seorang penggiat bangsawan, Mohd Bahroodin Ahmad,
64, menerima gelaran sama pada 2005, tetapi meninggal dunia, bulan
lalu.


 Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie meminta pemilik bangunan
lama yang mempunyai unsur seni bina lama dan bersejarah menghubungi
Jabatan Warisan Negara untuk mendapatkan bantuan jika tidak mampu
menyelenggaranya.



      

Kirim email ke