Berita Harian, 16 Jun 2006

Datuk Kamal Mohamad

MAKKAH mula dibina pada zaman Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail.


Ketika Nabi Ismail dan ibunya Hajar ditinggalkan di situ, Makkah hanya sebuah lembah yang gersang, padang pasir tandus dan hanya ditumbuhi oleh pohon renek.

Ia adalah sebuah kawasan yang tiada berpenghuni dan antara laluan kafilah dagangan. Bagaimanapun, ada satu kabilah yang menetap di kawasan sekitarnya iaitu Kabilah 'Amaliq.

Apabila wujudnya telaga zamzam di Makkah, kafilah suku Jurhum yang kebetulannya melalui kawasan itu memohon keizinan daripada Hajar untuk menetap berdekatan telaga itu. Maka, bermulalah sebuah penempatan kecil di bumi Makkah dengan pekerjaan utama penduduknya, berburu haiwan.

Setelah Nabi Ismail dewasa, baginda dijodohkan dengan anak gadis suku kaum Jurhum. Perkahwinan itu membawa kepada penyatuan dua keturunan, yang akhirnya membolehkan keturunan suku Jurhum menjadi ketua (penguasa) kepada kabilah itu dan lainnya yang tinggal di sekitar mereka.

Penguasaan suku Jurhum sebagai Ketua Makkah dan penjaga Kaabah berterusan selama dua abad. Mereka menjadi lemah selepas kematian ketua mereka bernama Madhadh ibn 'Amru. Mereka mula leka dan tidak lagi berpegang teguh dengan ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Mereka bersikap angkuh dan bongkak. Mereka juga berkelakuan keji dengan melakukan pelbagai kezaliman di Makkah, menghalalkan yang haram, malah sanggup melakukan perzinaan di dalam Kaabah.

Akibat sikap dan perbuatan melampau itu, Allah menamatkan penguasaan mereka di bumi Makkah. Mereka ditewaskan oleh suku Khuza'ah yang diketuai oleh 'Amru ibn Luhay yang datang dari Yaman.

Suku Jurhum mengalami kekalahan teruk dalam peperangan yang berlaku selama tiga hari sehingga tiada lagi yang hidup, melainkan mereka yang melarikan diri dari medan pertempuran.

Kota suci Makkah bertambah maju di bawah pemerintahan suku Khuza'ah dengan pertambahan jemaah yang menziarahi Kaabah. Pada masa sama pendatang ini membawa masuk amalan mereka yang rosak seperti menyembah berhala, menenung nasib dengan bilah anak panah dan adat yang jelas bertentangan dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Penguasaan suku Khuza'ah berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi (melebihi 500 tahun) sehingga tiba zaman Qusay ibn Kilab. Beliau menyatukan suku Arab di Makkah menjadi satu bangsa atau kabilah Quraisy yang disegani di seluruh Semenanjung Tanah Arab.

Keadaan ini berterusan sehingga ke zaman Rasulullah SAW dilahirkan, di mana ketika itu pucuk pemerintahan dipegang oleh datuk Baginda iaitu Abdul Muttalib. Di bawah kepimpinan beliau, bangsa Quraisy melalui zaman kemuliaan, kekuasaan dan kemegahan yang tidak pernah diperolehi oleh keturunan mereka sebelum ini.

Pada 571 Masihi, tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, Makkah diserang oleh Raja Abrahah, penguasa dari Yaman bertujuan meruntuhkan Kaabah dan membalas perbuatan kabilah Quraisy yang menghina 'Kaabah' buatannya di Yaman.

Abdul Muttalib bertindak bijak apabila diberi peluang oleh Abrahah untuk mengemukakan permintaanya sebelum Kaabah diruntuhkan. Beliau menuntut harta penduduk Makkah yang dirampas oleh tentera Abrahah. Apabila ditanya, mengapa beliau meminta benda remeh, sedangkan Abrahah akan melakukan sesuatu yang besar, meruntuhkan Kaabah. Abdul Muttalib menjawab bahawa beliau adalah tuan unta (harta yang dirampas), sedangkan Kaabah ada Tuannya yang pasti akan menjaganya.

Penguasaan golongan Musyrikin Quraisy ke atas kota suci ini berakhir dengan pembukaan Makkah oleh Rasulullah SAW pada Ramadan tahun 8 Hijrah. Baginda menerima perintah Allah untuk mengambilalih penguasaan ke atas Makkah daripada tangan Musyrikin.

Baginda membinasakan berhala di sekitar Kaabah yang berjumlah 360 buah dengan pedangnya.

Rasulullah SAW juga mengarahkan sahabat, Umar ibn al-Khattab dan 'Uthman ibn 'Affan memadamkan lukisan pada dinding Kaabah.

Bermula daripada detik itu, Makkah bergerak menuju era keemasan di bawah naungan dan rahmat Ilahi, sungguhpun tampuk pemerintahan umat Islam saling bertukar ganti.

Kegemilangan dan kemajuan ini menjadikan Makkah al-Mukarramah yang suatu ketika dulu hanya dihuni oleh kelompok kecil manusia dari suku Jurhum berkembang menjadi kota bertamaddun, lagi canggih dan dihuni lebih 600,000 penduduk tetapnya sekarang.

Inilah bumi pilihan Allah untuk kelahiran sekasih-kasih manusia disisi-Nya, junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Di sinilah didirikan Kaabah, rumah ibadat kepada Allah yang tertua di muka bumi ini.

Bumi Makkah ini ditentukan sebagai Tanah Haram, bumi yang dimuliakan lagi suci yang mempunyai makna dan kelebihan tersendiri yang tidak ada di bumi selainnya.

Di bumi inilah juga Allah menentukan tempat melakukan ibadah haji dan umrah sebagai Rukun Islam kelima dan terakhir dalam rangka manusia menyediakan bekalan bagi dirinya untuk kembali ke negeri yang kekal abadi (akhirat).

Umat Islam semuanya diseru mendatangi Tanah Suci Makkah untuk mendapatkan kelebihan Allah yang banyak di dalamnya.



Penulis ialah Pengurus Besar (Pakej/Swasta) Lembaga Tabung Haji. Artikel dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji


--
Posted by Pak Ngah to Bicara Bersama Pak Ngah at 6/16/2006 08:33:00 AM


--
"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam"

Bicara Pak Ngah
http://pakngah70.blogspot.com/

Weblog OKU
http://ogos1992.blogspot.com/ __._,_.___

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com





SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke