Assalamualaikum warahmatullah…

Segala  puji  bagi  Allah,  Tuhan  sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan  yang  disembah  selain  Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku
bersaksi  bahawa  Nabi  Muhammmad  saw  itu  hamba  dan pesuruhNya. Selawat
berserta  salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq
terpuji  dan  menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh
dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem…

Semalam, ketika saya sedang membelek² isi kandungan email yang saya terima,
seorang pelatih (trainee) menghampiri saya dan bertanya, “Han, kau tahu tak
berita terkini tentang Lina Joy? Orang kata dia menang dalam perbicaraan…”
Saya segera menggelengkan kepala. “Tipu je tu. Keputusan belum diputuskan
lagi.” Jawab saya sambil mencari² email penafian berita tersebut yang
sudahpun saya padamkan.

“Macam mana dengan cerita nama Islam pada MyKid? Kata nak padamkan, masa
umur 18 tahun nanti baru letak Islam?” tanyanya lagi. Saya berhenti
membelek kotak masuk email saya. Kemudian saya menoleh tepat ke arah
wajahnya dan berkata, “Sebenarnya, ini bukan kisah perkataan Islam pada
MyKad atau apa. Bukan juga soal mengawal orang Islam murtad melalui
undang².”

“Soal sebenarnya, mengapa ada orang Islam yang murtad? Mengapa boleh
terlintas untuk mensyirikkan Allah? Apakah yang dijanjikan oleh agama lain
yang lebih baik dari Islam yang serba sempurna ini. Inilah persoalan yang
sebenarnya.” Kata saya kepadanya lagi. Dia menganggukkan kepalanya. Tidak
tahulah sama ada dia bersetuju atau sebenarnya sudah malas mendengar
ceramah saya lagi.

Bukan hati tidak marah apabila membaca penerangan PEMBELA berkenaan
penyebaran Bible secara percuma kepada umat Islam pada 18 Ogos lalu. Bukan
tidak tersirap darah dengan sifat hina Lina Joy yang mencemarkan agama
Islam dengan permohonannya. Dan bukan juga tidak terkilan dengan tindakan
Jabatan Pendaftaran Negara jika benar mahu menghapuskan perkataan Islam
pada MyKid. Bukan.

Saya memang terkilan dan amat tertekan dengan apa yang berlaku hari ini.
Tetapi, persoalan yang bermain di fikiran saya, mengapakah kita perlu
menggunakan kekerasan atau pengawalan menggunakan undang² untuk menghalang
orang Islam murtad? Sedangkan ini adalah perkara terkecil yang perlu kita
lakukan dalam usaha menyelamatkan agama yang maha suci ini.

Sebelum saya terus menulis, suka saya nyatakan di sini. Ketika saya menulis
artikel Murtad tidak berapa lama dulu, ada orang yang mempersoalkan sikap
saya yang menurutnya memperkecilkan usaha mengumpulkan tandatangan untuk
petisyen kes Lina Joy. Sesungguhnya saya tidak pernah berniat begitu. Malah
tidak terlintas walau sedikitpun di hati saya untuk memperkecilkan usaha
mereka.

Saya, pada setiap masa, menyokong mana² usaha untuk melindungi iman orang
Islam di bumi nan bertuah Malaysia ini. Dan saya juga, dengan sepenuh raga
menolak sebarang usaha untuk menjatuhkan martabat Islam sebagai satu agama
yang agung dan diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan dan kerajaan
negeri. Harap tidak ada yang tersalah faham sekali lagi.

Apa yang cuba saya bawakan ialah, seperti kata saya kepada pelatih saya
tadi, mengapakah ada orang yang boleh terfikir untuk mensyirikkan Allah?
Betul, kita boleh halang mereka bertukar agama. Kita juga boleh kekalkan
perkataan Islam pada MyKad mereka tetapi jika mereka mahu murtad dan
mengamalkan agama baru mereka secara senyap², apa yang boleh kita lakukan?

Seperti kes Kamariah yang saya perolehi dari email. Dia redha dengan
keadaannya dan hampir pasti tidak akan mengumumkan penukaran agamanya.
Namun dalam pada masa yang sama, cuba mempengaruhi keluarganya untuk
mengikuti jalan lembah kehinaan yang dipilihnya. Untuk kes yang sebegini,
apakah yang boleh kita lakukan? Adakah dengan jalan undang² juga?

Sebenarnya, masalah terbesar kita di dalam perihal murtad ini adalah usaha
dakwah. Bukan soal perundangan. Jika usaha dakwah kita betul, jika kita
mampu meneguhkan keimanan dalam hati setiap dari kita, sebenarnya tanpa
undang² murtad pun tidak akan ada orang Islam yang akan meninggalkan Islam.
Sebaliknya, ramai orang kafir yang akan memeluk agama Allah ini.

Usaha dakwah kita pada hari ini adalah terlalu lemah. Selain dari penutupan
sekolah² agama rakyat, pendidikan agama mengikut silibus sekolah kebangsaan
pula gagal mengukuhkan iman anak² kita di sekolah. Sudahlah begitu, mereka
ini disorongkan pula dengan budaya berhibur dan berseronok. Lihat sahaja
program di kaca televisyen kita. Terlalu banyak acara hiburan berbanding
acara berbentuk keagamaan.

Rakyat terutama umat Islam di negara kita hari ini lebih mengenali rupa
artis dari para ulama kita. Sebut sahaja Mawi, Siti Nurhaliza, Faizal AF4
dan beberapa artis lain. Saya pasti anak sekecil 4 tahun pun sudah boleh
mengenalnya. Sedangkan berapa ramai yang mengenal wajah Ustaz Haron Din,
Ismail Kamus dan Akhil Hayy (sekadar menyebut nama yang popular sahaja).

Mengapa rakyat tidak mengenal wajah² ini? Mudah. Kerana tidak ada ruang
buat mereka di televisyen arus perdana. Mengapa? Kerana mereka dari
golongan pembangkang. Mudah, bukan? Walaupun anda mempromosikan Islam, oleh
kerana anda bertentangan pendapat dengan pemerintah, wajah anda akan dicap
sebagai perosak akhlak masyarakat.

Tetapi jika anda penyokong parti pemerintah, biarpun anda mempromosikan
kerosakan dan kejelekan budaya, anda tetap akan berpeluang untuk muncul di
kaca televisyen. Ini adalah realiti. Dan jika beginilah realitinya, jangan
harap kita dapat menghentikan kegiatan murtad di kalangan umat kita.
Gunalah undang² apa sekalipun, ianya pasti tetap akan berlaku.

Begitu juga dengan sikap masyarakat terbanyak (termasuk saya sendiri).
Apabila bercakap tentang dakyah agama lain, kita akan, dengan mudah
bertanya di manakah perginya jabatan² agama, Jakim, Perkim dan para ulama.
Kemudian kita tanya lagi mengapa mereka tidak lakukan sesuatu. Mengapa
mereka tidak berdakwah seperti mana pendakwah agama lain.

Mengapa tidak kita bertanya di manakah kita? Apakah telah tertulis di dalam
mana² kitab bahawa kerja² dakwah itu milik pihak penguasa sahaja? Tidak!
Dalam Islam tidak ada perkara begitu. Usaha dakwah adalah milik kita semua.
Jadi sebenarnya, bukan jabatan agama yang tidak menjalankan tugas,
sebaliknya setiap dari kita terbabit. Setiap dari kita yang leka!

Cuba fikirkan sejenak. Apa reaksi kita ketika melihat kesongsangan sedang
berlaku? Ketika melihat pasangan yang bukan suami isteri dan bukan mahram
sedang bercumbu rayu? Ketika melihat anak² dara kita berpakaian melebihi
dari orang kafir? Mudah sahaja. Asal bukan anak aku yang buat begitu,
sudah. Wan’uzubillahi minzalik… Betul tidak? Semudah itu bukan?

Tetapi sayangnya, jika kejelekan sebegitu sudah menjadi kebiasaan dalam
masyarakat, bagaimanakah caranya kita dapat memastikan anak² kita tidak
akan terjebak sama? Kita tentu tidak mahu menjadi seperti negara jiran kita
di mana ibunya bertudung tetapi anaknya berskirt pendek sehingga
menampakkan seluar dalamnya. Tetapi jika beginilah reaksi kita, ianya
insyaAllah akan berlaku. Percayalah.

Dan orang kita juga sebenarnya lebih gemar berdebat tentang perkara furuk
atau cabang daripada berkerjasama dalam usaha mengukuhkan iman di hati
sesama kita. Orang kita lebih gemar menunjuk ‘akulah orang yang paling
banyak ilmu’ kepada sesama manusia daripada menunjuk ‘akulah orang yang
paling banyak beramal’ kepada Allah dan para malaikat…

Sebenarnya terlalu banyak lagi yang ingin saya titipkan di sini. Tetapi
cukuplah. Untuk lain² perkara rasanya kebanyakan kita yang sering
menganggap diri sendiri lebih pandai dari orang lain (terlebih lagi dalam
bab agama) boleh berfikir sendiri. Cuma pokok persoalannya di sini ialah,
jalan perundangan bukanlah yang terbaik untuk menghentikan kegiatan murtad
di kalangan masyarakat kita.

Sama ada undang² murtad digubal atau tidak, sama ada perkataan Islam pada
MyKad dan MyKid kekal atau tidak dan sama ada pendakwah agama lain
berdakwah atau tidak, ini semua hanyalah faktor penyumbang (contributing
factor). Faktor yang paling tepat adalah usaha dakwah yang berterusan. Jika
benar kita tidak mahu lagi ada orang yang murtad, maka mulai sekarang ini
usaha dakwah mesti kita jalankan.

Tidak perlu tunggu sehingga jabatan² agama memulakannya. Tidak perlu
menunggu sehingga kita bertaraf ulama untuk memulakannya. Asalkan kita
cintakan Allah, NabiNya dan agamaNya, maka kita mesti terus sebarkan
kalimah Laailaha Illallah…..

Sekian  buat  kali.  Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik
adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah…

-Abu Naqibah-

Komen  dan  kritikan  membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED]
atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke