Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Rasanya orang masih lagi ramai yang berbicara tentang kes murtad Datuk Azhar Mansur, pelayar yang dianggap wira kerana merentasi dunia dengan kapal layarnya secara solo. Sebenarnya, berita tentang kemurtadan ini telah lama tersebar. Hampir dua tahun yang lampau. Dan tersebarnya berita itu adalah melalui email² berantai. Berita penafiannya juga sudah lama tersebar. Juga melalui email. Tetapi, penafian yang dibuat itu adalah dari orang lain. Orang yang tidak ada kena mengena dengan Datuk Azhar. Hanya, orang itu mengetahui keberadaan Datuk Azhar. Hanya baru² ini sahaja Datuk Azhar menafikannya. Itupun dia menafikan keterlibatannya dengan kejadian pembabtisan orang Melayu. Hal agama yang dianutinya, masih kekal rahsia. Mengapa dan untuk apa, hanya Datuk Azhar yang mengetahui. Seperti yang diagak, penafian sebegitu sememangnya akan mengundang lebih banyak kontroversi. Dan akhir² ini juga, saya lihat kotak masuk saya dipenuhi dengan email yang memusykili status agama Datuk Azhar. Hm… Sebenarnya, saya tidak berminat untuk berbicara tentang agama Datuk Azhar. Tetapi yang saya sangat berminat adalah, penyebaran cerita dan berita melalui email ini. Seperti yang saya tulis sebentar tadi, berita kemurtadan Datuk Azhar telah saya terima hampir dua tahun yang lalu. Ketika itu, saya begitu ghairah dan teruja dengan berita dari internet. Tambah lagi saya seorang yang kecewa dengan ketelusan media arus perdana kita selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan perdana Menteri. Internet telah menjadi sumber berita saya yang utama. Sebaik saya mendapat cerita itu, saya segera cuba melanjutkan ke sebuah grup yang saya sertai. Nasib baik, pihak moderator menghubungi saya semula dan mengatakan bahawa cerita itu tidak akan disiarkannya. Hujjahnya amat logik. Katanya, jika berita ini benar, ia akan menyebabkan kita seolah² berdakwah untuk agama Kritian (kerana menyebarkan dakwaan Datuk Azhar terjumpa Jesus Christ). Selepas dari cerita Datuk Azhar ini, saya menerima pelbagai rencam lagi berita melalui saluran internet. Berita tentang artis, tentang ahli politik dan bermacam lagi. Saya ingat lagi berita mengenai Tuan Haji Mahfuz yang didakwa mendapat permit teksi terbanyak dan dikatakan telah mengkhianati Pas. Juga tidak ketinggalan berita mengenai artis² yang popular ataupun yang tidak popular. Banyak lagi cerita yang saya terima dari internet yang kadang² boleh diterima akal tetapi kebanyakan masanya, lebih seperti memperbodohkan kita. Ia membuatkan saya terfikir. Jika berita ini palsu, apakah hukumnya kepada saya yang menyebarkan berita tersebut? Ya, kadangkala, kerana benci dan menyampahnya kita kepada seseorang, cukup mudah untuk kita mempercayai cerita² buruk mengenainya. Namun, ia bukanlah lesen untuk kita menyebarkan fitnah. Maka setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menyebarkan apa² berita yang kurang sohih. Saya tidak mahu terlibat dalam apa² aktiviti yang boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah neraka. Seperti kes Datuk Azhar ini. Jika benar Datuk Azhar masih Islam, entah apa hukumnya kepada orang memfitnahnya. Bahaya sungguh cerita dan berita dari internet. Saya berharap agar cerita² sensasi yang penuh fitnah dapat dihentikan sebarannya dalam ruang siber ini. Lebih baik untuk kita lanjutkan kisah² agama ataupun sighah (seperti yang selalu dipos oleh Pak Ngah) dan berita politik yang sohih (seperti yang selalu dipos oleh Syed Dahij) dari cerita yang tidak ada asal usul. Sekurang²nya, kira mengurangkan risiko dosa yang bakal kita sandang. Berkenaan Datuk Azhar, bukanlah saya tidak mahu komen. Tetapi rasanya, yang layak menetukan status agama seseorang itu bukanlah saya orangnya. Walaupun Datuk Azhar tidak membuat pengakuan masih Islam, namun keadaannya yang tidak mengaku murtad sepatutnya membolehkan kita untuk bersangka baik kepadanya. Namun, sekiranya benar dia murtad pun, kita tidak boleh melayan kesnya dengan istimewa. Kes murtad tidak boleh kita jadikan isu semata² kerana orang yang terlibat adalah orang kenamaan. Sebaliknya, jika seorang pemungut botol sekalipun yang murtad, ianya perlu kita pandang dengan serius dan perlu kita tangani dengan segera. Menanganinya bukanlah dengan mencaci-maki individu terbabit ataupun keluarganya. Sebaliknya kita perlu menanganinya dengan lebih bijaksana, sistematik dan Islamik. Memang ada hukum bunuh yang ditetapkan di dalam Islam buat mereka yang murtad dan enggan kembali kepada Islam. Saya tidak mahu menyentuh tentang isu itu. Hukum tetap hukum. Tetapi, sebagai muslim, cukupkah untuk kita dengan membunuh si murtad itu sahaja? Tidak! Sama sekali tidak! Bahkan, kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan melakukan bedah siasat untuk melihat apakah punca sebenarnya murtad berlaku. Apakah kerana kurangnya didikan agama? Adakah kerana sistem pendidikan di negara kita yang menolak fahaman Islam dan mengagungkan fahaman sekular? Apakah kerana sikap ibu bapa yang terlalu materialistik sehingga mengabaikan tanggungjawab? Dan sebab² lain… Inilah yang perlu kita pertimbangkan. Bukan mempertikaikan kenyataan yang dibuat seseorang dan cuba memanipulasi membuat interpretasi mengikut pemahaman sendiri. Lagipun, pada saya, Datuk Azhar bukanlah siapa². Mungkin umum menganggapnya wira negara. Mungkin ya. Tetapi bagi saya, secara peribadi, pengagungan Datuk Azhar tidak perlu sehebat ini. Benar dia telah mengharumkan nama negara dengan pelayaran bersejarahnya tetapi bagi saya, ianya lebih kepada mengharumkan namanya sendiri. Apatah lagi, ia meningkatkan rasa kagum terhadap bangsa sendiri. Asobiyah! Sebenarnya ada terlalu ramai wira² tulen yang terpinggir. Mereka ini, orang yang kebanyakannya nama mereka tidak kita kenali atau mungkin kita tidak berminat untuk mengingatinya. Mereka adalah orang yang bersusah payah dalam pergerakan NGO ataupun orang perseorangan yang berusaha dalam pembentukan sebuah masyarakat yang lebih baik. Mereka adalah orang yang bersusah payah membantu orang yang dalam kesusahan. Ada beberapa individu siber (seperti Sdr. Rozamal Malakan) yang saya anggap amat peka dan banyak memberikan peluang untuk kita beramal jariah. Dan ramai lagi insan² lain yang berusaha bukan untuk nama mereka, bukan juga untuk nama negara tetapi sebaliknya untuk kebaikan masyarakat secara keseluruhannya. Sama ada di dalam mahupun di luar negara. Usaha mereka tidak mengenal erti penat dan lelah. Inilah sebenarnya wira negara yang perlu kita sanjung. Inilah wira yang sebenarnya yang boleh kita contohi. Tidak perlu kita membuang masa menambah dosa dengan menyebarkan berita tidak pasti tentang seorang individu yang kita anggap kononnya wira negara. Sebaliknya, adalah lebih baik kita ikut mereka ini berusaha bersama untuk membentuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/