Assalamualaikum warahmatullah…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku
bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat
berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq
terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh
dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem…

Tempohari, ketika negeri Johor masih sedang hebat dilanda banjir lagi,
hujan turun dengan agak lebat sebaik selesai kami tunaikan solat Zuhur.
Maka saya dan beberapa orang jemaah hanya duduk di tangga masjid menanti
hujan teduh. Disebabkan ketika itu kisah banjir masih lagi menjadi isu
hangat, maka perbualan kami lebih banyak tertumpu kepada kisah bencana itu.
Maka keluarlah bermacam-macam cerita.

Tetapi saya paling tertarik dengan kata-kata seorang dari jemaah tersebut.
Katanya, hujan yang turun mencurah itu sebenarnya adalah permintaan manusia
sendiri. Selama ini apabila hari panas, manusia sering mengeluh dan berdoa
memohon Allah turunkan hujan. Sekarang, apabila Allah turunkan hujan dengan
lebatnya, bumi pula tidak tertampung. Kebanyakan kami menggelengkan kepala
tanda bersetuju dengan pendapatnya.

Kemudian saya mencelah. "Haji... Hujan ni rahmat. Macam rezeki. Bila Allah
turunkan hujan sikit, kita kata tak cukup. Kita nak lagi. Hujan satu jam,
kita nak satu hari. Bila dah terlebih hujan, akhirnya banjir dan yang
hanyut kita sendiri juga. Begitu juga dengan rezeki. Bila Allah beri kita
rezeki, kita kata tak cukup. Kita nak lagi. Sampai akhirnya dah terlalu
melimpah, kita hanyut dalam kemewahan..."

"Saya dah terkena Haji. Bila duit ada di tangan, memang hanyut. Sebab nak
habiskan duit, saya tinggalkan jemaah. Sebab nak habiskan duit, bukan nak
cari duit tu..." sambung saya lagi. Haji tersebut hanya tersenyum sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya. "Iya la eh?" jawabnya pula menzahirkan
persetujuannya. Seketika kemudian hujan mulai reda dan kami semua beredar
pulang ke rumah masing-masing.

Dalam fikiran saya masih lagi terngiang-ngiang kata-kata yang saya sebutkan
sebentar tadi. Sungguh, ianya bukan apa yang telah lama bermain di fikiran
saya. Ianya lahir secara spontan. Ilham kurniaan Allah. Dan Alhamdulillah,
saya jadi tersedar. Betul. Saya sendiri bersetuju dengan apa yang saya
sebutkan tadi. Dan saya yakin, ini adalah satu cara Allah hendak
menyelamatkan saya. Segala puji bagi Allah...

Dahulu memang saya susah. Kehidupan sempit. Terutama ketika baru bertukar
tempat kerja. Ketika itu sedang sibuk mengumpul duit untuk berkahwin pula.
Kemudian, pada bulan-bulan awal perkahwinan, hidup saya masih di takat yang
lama. Masih terasa kesempitannya. Lalu yang saya pohon setiap hari dariNya
hanyalah limpahan rezeki. Saya mahukan rezeki yang lebih. Dan
Alhamdulillah, itulah yang Allah berikan.

Tetapi itupun masih belum mencukupi. Walaupun sudah mulai lapang, perasaan
untuk lebih selesa mula menguasai akal dan nafsu (iman lemah). Lalu dipohon
lagi rezeki dan Allah kurniakan lagi. Dan akhirnya ketika diri ini
dilimpahi dengan rezeki, saya terlupa untuk memohon diteguhkan iman. Saya
jadi hanyut. Seronok dengan limpahan wang. Mula berbelanja boros dan sesuka
hati.

Paling menyedihkan, disebabkan sibuk berbelanja, sering kali Asar dilakukan
dengan bersendirian. Manakan tidak, sedang suara bilal berkumandang
melaungkan azan Asar, saya sedang sibuk beratur di kaunter pembayaran untuk
melunaskan harga barang yang saya beli. Malah kadangkala, bukan setakat
Asar, bahkan Maghrib dan Isyak juga tidak dilakukan secara berjemaah kerana
sibuk sangat berbelanja.

Hebat, bukan? Allah mengurniakan saya limpahan rezeki. Dan saya menyatakan
kesyukuran ke hadhratNya dengan, bukan setakat meninggalkan jemaah, bahkan
melewatkan solat. Kadangkala saya jadi malu hendak ke masjid. Kerana wajah
saya terlalu sering tenggelam dan timbul. Malah lebih memalukan lagi, lebih
banyak masa tenggelam dari masa timbulnya. Inikah caranya saya menghargai
perintah Allah?

Maka sebenarnya rezeki itu tidak boleh berlebihan. Dan inilah sebabnya
Baginda Nabi saw memohon agar Baginda dijadikan lapar sehari dan kenyang
pada keesokan harinya kerana Baginda Nabi saw mahu meratap merintih pada
satu hari dan kemudiannya bersyukur atas nikmatNya pada keesokan harinya.
Supaya dengan cara itu, Baginda akan lebih menghargai rezeki yang
dikurniakan kepadanya.

Hujan adalah rezeki. Dan lihatlah apa yang terjadi apabila hujan yang
berlebihan. Bumi ini dinaiki air dan akhirnya memusnahkan apa yang telah
kita bina selama ini. Rumah yang disiapkan dengan hasil titik peluh dan
susah payah akhirnya rebah. Terasa sia-sia usaha kita selama ini. Dan
begitulah yang berlaku kepada iman kita. Dengan limpahan rezeki yang
mencurah-curah, akhirnya tembok iman yang kita bina mungkin akan musnah.

Saya tidak mengatakan tidak boleh mencari rezeki yang lebih. Tidak. Carilah
dunia seperti mana kita akan hidup seribu tahun lagi. Akan tetapi setiap
perbuatan yang tidak disertakan dengan iman yang utuh dan mendalam,
akhirnya akan memudaratkan iman kita sendiri. Limpahan rezeki yang mencurah
mungkin akan disalurkan ke jalan yang bathil jika tidak dikawal selia
dengan iman yang kukuh.

Jikalaulah rumah-rumah mangsa banjir dibina pada tempat yang tinggi,
mungkin (diulang, mungkin) mereka akan selamat. Tetapi siapa yang akan
menjangka banjir jika selama ini bumi mereka sering kekeringan. Jika naik
pun air hanya setakat separas buku lali. Tentulah tidak ada antara mereka
yang bersedia? Dan begitulah kita. Jika hari ini secara tiba-tiba kita
dicurahkan dengan rezeki yang banyak, bagaimana?

Apakah nanti hati dan iman kita akan karam? Wallahu'alam. Semoga Allah
menjauhkan kita dari sebarang sifat yang tidak elok. Dan kini saya kian
sedar. Sepatutnya sebelum meminta untuk dilimpahi rezeki yang banyak,
sebaiknya saya memohon agar dikukuhkan dulu tembok iman di hati ini. Supaya
nanti tidak hanyut dibawa arus kemewahan. Semoga nanti mampu menjadi
hambaNya yang tahu bersyukur atas kurniaNya dengan sewajarnya...

Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak
baik adalah akibat kelalaian saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah…

-Abu Naqibah-

Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED]
atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/

Kirim email ke