Kenyataan Media : Pemudawilayah bantah Kenyataan Perkauman oleh Naib 
Presiden MCA
 
 


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) membantah kenyataan Naib 
Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai yang membayangkan bahawa keadaan yang 
bahaya jika semua parti kaum Cina sokong pembangkang dan hanya parti berasaskan 
orang Melayu menjadi parti memerintah.
 
Ini adalah suatu kenyataan yang prejudis kepada orang Melayu dan akan 
menyemarakkan rasa perkauman. Nampaknya MCA mulai menunjukkan belang 
perkaumannya!
 
Ternyata kenyataan itu dibuat memandangkan MCA terdesak untuk terus memenangi 
hati rakyat berketurunan cina. Akhir-akhir ini parti-parti komponen BN dilihat 
sudah berpecah dan ada yang cenderung untuk bersama Pakatan.
 
Pakatan yang kini menjadi pembangkang terbesar di Parlimen Malaysia bukan 
sahaja dianggotai oleh kaum Cina. Pakatan merupakan gabungan terbesar bagi 
semua kaum di Malaysia termasuklah dari Kaum Melayu, India dan Bumiputra.
 
Seandainya parti-parti kaum cina berhijrah kepada Pembangkang, Negara ini bukan 
diperintah oleh kaum Melayu sahaja kerana ketika itu Pakatan yang berbilang 
bangsa ini akan jadi Kerajaan. Hanya tinggal Umno sahaja sebagai Pembangkang. 
Hayat Umno juga dijangka tidak lama kerana ramai pemimpin Melayu sudah beralih 
kepada Pakatan dan menyertai gagasan berbilang bangsa.
 
Keharmonian dan kesepakatan kaum tidak akan dicapai dalam Barisan Nasional 
kerana wujudnya tiga parti perkauman yang dominan iaitu Umno, MCA dan MIC.
 
Isu perkauman yang cuba di semarakkan oleh Donald ini hanyalah suatu dogengan 
bagi memastikan MCA iaitu parti khusus untuk kaum cina sahaja tidak dibubarkan. 
Beliau sewajarnya memandang ke hadapan dan mempelajari semula erti perpaduan 
berbilang bangsa.
 
Pemudawilayah sesekali tidak bersetuju jika negara ini diperintah oleh satu 
kaum sahaja. Kenyataan bahaya Donald ini wajar ditarik balik agar tidak 
menimbulkan rasa prejudis kepada parti-parti lain khususnya yang dikuasai orang 
Melayu. Tindakan tegas wajar dikenakan kepada beliau kerana cuba mempermainkan 
isu perkauman dalam soal masa depan dan pentadbiran negara.
 
Negara ini bukan untuk kaum cina sahaja, juga bukan untuk kaum Melayu atau kaum 
India sahaja. Negara ini milik semua. Menjadi hak dan tanggungjawab semua untuk 
kita bersama memeliharanya.
 
Isu perkauman seharusnya diletak ke tepi dan tidak dijadikan agenda politik 
bagi mana-mana parti. Penggunaan sendi perkauman dalam dunia politik akan 
menyebabkan ketidakstabilan dan perpecahan. Oleh itu wajarlah jika semua parti 
perkauman dibubarkan segera dan kita bersatu didalam gabungan parti pelbagai 
bangsa untuk kepentingan negara.
 
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


      

Kirim email ke