Pada Jumaat 18 Jun 2010 saya bersolat Jumaat di Masjid Bandar Baru Senawang. Tajuk khutbah Jumaat pada hari tersebut ialah berkenaan berbuat baik kepada ibu bapa. Khatib baca khutbah dengan penuh semangat dan amat menghayatinya. Khatib didapati sering tersedu apabila membaca khutbah yang menyentuh kasih ibu. aka nada ketika kedengaran khatib menangis sebak dan terhenti sebentar membaca khutbah.
Yang khatib amat teresak menangis apabila membacakan dibawah ini : Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Inilah kali pertama saya dengar teks khutbah yang begitu menyentuh perasaan hinggakan semua jemaah tergamam mendengarkannya. Dan inilah yang sepatutnya JAKIM buat setiap minggu, menyediakan teks khutbah yang praktikal yang menyentuh isu semasa, isu gejala sosial yang semakin parah, isu bunuh diri, isu buang bayi, isu buang ibu bapa dan sebagainya. Kepada mereka yang tidak berkesempatan mendengar khutbah tersebut, mungkin sebab uzur, atau dari golongan wanita atau mungkin terlelap tetapi bukan tidur, di bawah ialah tek khutbah yang paling bagus untuk kita semua. Sebelum ini saya ada menulis artikel Khutbah Jumaat semakin membosankan BORING di http://waghih.blogspot.com/2010/05/khutbah-jumaat-semakin-membosankan.html Nampaknya teks khubtah JAKIM kali ini tidak membosankan dan tidak boring, terutama yang menyentuh bab mengadakan kenduri tahlil untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia. ***************** Dari laman web JAKIM http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia “PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA” (18 JUN 2010 / 5 REJAB 1431H) Muslimin yang di Rahmati Allah, Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA”. Muslimin yang di Rahmati Allah, Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak. Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. Kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang -malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga penuh selama sembilan bulan. Mimbar menyeru ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24: Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” Muslimin yang di Rahmati Allah, Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan kasih sayang dan pengorbanannya melebihi segalanya. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak. Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?.Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14: Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.” Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda : Maksudnya: “Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.”(Riwayat al- Bukhari) Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.” Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu direnung setiap anak, apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”. Muslimin yang di Rahmati Allah, Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar walau hanya menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, bahawa menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’, Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’. Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka. Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh–roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat lain. Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar. Rasulullah SAW bersabda: Mafhumnya : Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata : ‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah pertunjuk, sebagaimana engkau telah member hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)’. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi) Muslimin yang di Rahmati Allah, Bersempena dengan kedatangan bulan Rejab yang diketahui mempunyai banyak kelebihan, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk melipatgandakan ibadah dan memperbanyakkan amalan sunat. Antaranya berpuasa sunat sekurang-kurangnya satu hari dari bulan Rejab, bersedekah dan menziarahi ibu bapa. Perlu diinsafi, ketidakredhaan ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibubapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT, sepertimana kisah Alqamah di zaman Rasulullah yang mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akhirnya ketika hampir meninggal dunia dia tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana ibunya enggan memaafkannya. Mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada ibu. Mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal. Mengakhiri khutbah marilah kita mengambil beberapa pengajaran penting berikut: Pertama : Kepentingan menjaga ibu lebih utama daripada perang di jalan Allah. Kedua : Berbuat baik kepada ibu- bapa mestilah menjadi keutamaan yang paling atas selepas kewajipan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketiga : Redha Allah adalah terletak pada redha kedua ibu-bapa dan kemurkaan Allah terletak pada murka kedua ibu bapa. Keempat : Roh ibu-bapa akan sakit dan terseksa jika anak-anak yang masih hidup melakukan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Sebagai renungan hayatilah firman Allah SWT dalam firman-Nya: Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Sural al-Israa’:24) Sumber : http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/upload/doc/Pengukuran%20Kasih%20Sayang%20Ibu%20Bapa%20Terhadap%20Anak-anak%20(rumi).doc