Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah 
kisahnya...

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang 
kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

"Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus 
ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung 
selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan 
anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak 
meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada 
duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar 
ditembak reaksinya.

"Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.

"Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh 
dibeli dengan wang 5 ringgit... Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa ayah 
dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah 
apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. 
Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau 
bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati 
mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, 
saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan selalu 
mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan 
kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah 
kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. 
Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. 
Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar 
menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya 
(ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi 
sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setiap 
memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak 
mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik perlakuan ayah 
itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada 
sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan 
itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. 
Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun 
saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika 
saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang 
saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja 
wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

"Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga 
sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan 
pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak 
memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa 
segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap 
diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit  itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. 
Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada 
ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak 
semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit 
pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di 
samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab 
bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli 
MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan 
semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap 
pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya 
walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, 
ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI 
KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama:

"Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam 
kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 
'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya 
kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang 
mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu 
bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang 
kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka 
bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak 
kepada keredhaan ibu bapa."

Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan 
oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. 
Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada? Tidak mengapa, 
memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga?  Memberilah kepada sesiapa 
sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti 
memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula 
memberi!

Walau bagaimana pun hubungan kita dgn ibubapa kita (baik atau buruk), asal-usul 
kita tetap daripada mereka!

PETIKAN : 'Nota Hati Seorang Lelaki' (Pahrol Mohd Juoi)

#############

Berikan nama yang indah untuk anak-anak anda, muat-turun Software untuk 
meneroka nama-nama indah dalam Islam, PERCUMA: 
http://www.21stcenturymuslim.com/myname/

Kami juga sedia membantu..
1) Naik taraf sistem lama
2) Baikpulih sistem sedia ada
3) Membangun sistem baru
4) Membantu projek semester akhir
Lihat profile kami: http://www.21stcenturymuslim.com/RaffiqEddyFreelancer.pdf





Kirim email ke