Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat Baginda saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya berserta ahli keluarga Baginda. Juga sejahtera buat kita semua dan orang-orang yang beramal soleh.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Tanggal 1 May setiap tahun, seperti kebiasaan, seluruh golongan pekerja menyambut Hari Pekerja atau dahulunya, ketika saya masih di zaman kanak-kanak, dipanggil sebagai Hari Buruh. Mungkin perkataan ‘buruh’ memperlihatkan kerendahan martabat, atau kebiasaannya ‘buruh’ dikaitkan dengan pekerja kontrak pembinaan, maka ianya ditukarkan menjadi Hari Pekerja. Namun Hari Pekerja mahupun Hari Buruh, konsep perayaannya tetap sama. Hari Pekerja diwujudkan mungkin sebagai menghargai pengorbanan golongan ini yang banyak membantu dalam mempertingkatkan keuntungan syarikat dan menaikkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai orang yang tergolong dalam kelompok yang diraikan, tentu sahaja Hari Pekerja memberikan suatu jenis perasaan dalam diri saya. Tentu sahaja saya berasa gembira ada hari yang dikhususkan khas untuk meraikan kita semua. Tetapi mungkin juga bagi sesetengah orang Hari Pekerja hanyalah sebuah hari cuti umum. Di hari ini, yang mana telah digazetkan sebagai hari cuti umum di hampir setiap negara di dunia, mereka gunakan untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Inilah harinya untuk keluar membeli-belah, atau mungkin berkelah atau mungkin bermalas-malasan sahaja di rumah bersama anak dan juga isteri dan keluarga. Saya sebenarnya teringat akan satu perbualan antara saya dengan seorang teman tidak sampai dua minggu yang lalu. Kami sebenarnya sedang berbicara tentang seorang lagi teman kami yang telahpun sampai ke usia persaraan. Teman saya itu kemudiannya telah memohon untuk kembali bekerja dengan syarikat lamanya melalui syarikat pembekal tenaga kerja yang membekalkan pekerja secara kontrak. Tetapi kemudian permohonan teman saya telah ditolak. Sebabnya mudah. Kerana teman saya itu mempunyai kes mahkamah dengan pihak syarikat yang masih belum selesai. Saya cukup kecewa dengan tindakan syarikatnya dan berpendapat, pihak pengurusan sedang cuba menunjuk samseng dengan perbuatan berupa ‘ugutan kepada yang lain’ bahawa mereka yang mempunyai kes mahkamah dengan syarikat akan mengalami kesusahan. Tetapi teman saya tadi tidak bersetuju dengan saya. Katanya, bagaimana mungkin kita yang makan gaji dengan syarikat boleh membawa kes ke mahkamah. Kita sepatutnya berterima kasih dengan syarikat yang memberikan kita kerja. Saya cukup-cukup tersentak dan berasa amat marah. Bagaimana boleh ada pemikiran yang ketinggalan zaman seperti ini pada seseorang yang hidup di zaman moden? “Kita pekerja, bukan hamba. Sebagai pekerja kita punyai hak tertentu, bukan seperti hamba yang bebas diperlakukan apa sahaja. Dan jika pihak syarikat gagal mematuhi hak kita yang ditetapkan, kita berhak membawanya ke mahkamah!” jelas saya kepada teman saya. Mungkin tidak mahukan perdebatan, maka teman saya tadi telah mengundur diri. Tetapi, apa yang dituturkannya benar-benar mewujudkan kebimbangan dalam diri saya. Berapa ramai sebenarnya orang yang berpendirian begini? Ini pendirian yang berbahaya. Saya tidak terfikir masih ada manusia yang tidak dapat membezakan antara penghambaan dan pekerjaan. Saya fikir golongan ini sudah pupus ditelan zaman. Tetapi masih ada lagi rupanya. Sebenarnya, minda begini cukup bahaya. Kerana ianya boleh menggelapkan lagi harapan perjuangan membela golongan pekerja yang belum pernah cerah di Malaysia ini. Saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan pekerja saya. Jangan sekali-kali berfikir bahawa kita terhutang budi kepada syarikat. Jangan fikir syarikat atau ketua kita yang ‘memberi kita makan’. Tidak! Sebaliknya, kitalah yang memajukan syarikat. Kita jugalah yang membolehkan ketua kita duduk di kerusi empuknya. Kitalah yang menyuapkan mereka nasi. Mereka berjaya kerana peluh yang kita titiskan, bukan titisan tinta dari pena mereka semata. Hubungan antara pekerja dengan majikan adalah sebuah hubungan simbiosis. Masing-masing akan beroleh faedah antara satu sama lain. Kita bekerja untuk syarikat, membolehkan syarikat membuat keuntungan, lalu syarikat membayar kita gaji dan lain-lain insentif termasuk bonus dan elaun. Inilah yang dinamakan simbiosis. Bukannya keuntungan terletak pada satu pihak sahaja. Jika keuntungan hanya pada syarikat, sementara pekerja terus hidup dalam tekanan, maka ini bukan simbiosis. Ini parasitisme. Satu pihak menyedut segala kebaikan manakala pihak satu lagi terus membiarkan hak-haknya ‘dihisap’ hingga akhirnya kering dan layu. Sayang sekali, inilah yang sering dan sedang berlaku kepada kebanyakan rakyat negara kita. Lebih menyedihkan lagi, pihak berkuasa seakan-akan merestui perbuatan parasit ini. Kerana itu kerajaan enggan menetapkan had gaji minimum. Kerana itu juga, kerajaan tidak memperketatkan undang-undang buruh bagi mengelakkan rakyatnya terus diperdaya. Semuanya dengan alasan hendak menarik pelabur asing. Tetapi, pelabur asing untuk siapa? Ekonomi negara untuk siapa? Jika pelabur asing ramai, ekonomi negara subur tetapi rakyat terbanyak tetap terus disembelih, apa maknanya kesuburan ekonomi tersebut? Menurut seorang teman saya di Jabatan Buruh, majoriti golongan pekerja di Malaysia tidak tahu hak-hak mereka yang dilindungi oleh perlembagaan. Mungkin sekarang sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan matapelajaran akta-akta pekerjaan sebagai salah satu silabus di sekolah menengah. Sekurang-kurangnya untuk mereka yang bakal menduduki SPM. Ini sebagai satu cara melindungi golongan ini dari terus ditindas dari mula lagi. Selain itu, Jabatan Buruh juga seharusnya mempunyai kuasa untuk menghentikan operasi mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta pekerjaan seperti mana kuasa oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (DOSH) miliki terhadap syarikat yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (OSHA). Bercakap tentang bekerja dan menjadi hamba, ada sesuatu yang sering bermain di fikiran saya. Kebanyakan dari kita takut untuk mempersoalkan apatah lagi menentang perintah dari ketua mereka. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sanggup mempertikai bahkan melanggar secara terang-terangan arahan-arahan Allah swt. Sedangkan hakikat, kita adalah hamba kepadaNya, bukan pekerja. Bayangkanlah peliknya umat hari ini. Takut untuk menegakkan hak sebagai pekerja tetapi berani melawan walaupun tanpa hak sebagai hamba. Begitulah songsangnya hidup kita pada hari ini. Mengapa? Mungkin kerana ketua kita mampu menjanjikan kenaikan gaji dan pangkat untuk yang patuh dan diberhentikan kerja untuk yang menentang. Sayang sekali jika ini yang kita fikirkan kerana sebenarnya, Allah menjanjikan kebaikan yang beribu kali ganda kepada mereka yang patuh kepada arahanNya dan azab yang beribu kali lebih siksa kepada yang ingkar. Hanya yang membezakan, janji Allah sesuatu yang tidak nampak di mata… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/