Tonle Sap, Sg Mekong nadi kehidupan peradaban 
Ali Bukhari Amir 
Thu | Jan 01, 09 | 11:59:49 pm MYT

  
Segala
kenangan yang terbungkus dalam kain perca-perca ingatan tidak mungkin
mudah dirungkaikan ikatannya begitu saja. Kalau semudah itu membungkus
pengalaman untuk diriwayatkan semula kepada hadirin, alangkah indahnya.

Iklan   

    
    
Ketika kami tiba di atas perahu bot itu, dua wajah jernih gadis kecil
menambat perhatian kami. Tengahari tadi (9 Disember), sebelum Zohor,
kami bertolak dari Taeko menuju ke Phnom Penh. Dua jam kelana yang
memenatkan, kami terlelap sepanjang perjalanan.

Kini lelah yang berbungkus dan keletihan yang bersarang di tubuh kami
sejak kelmarin di Takeo, dirawat semula. Malamnya, deruan riak sungai
kecil yang menampar perahu besar itu menyebabkan saya sedikit terasa
pening.

"Enta jangan tengok air sungai syeikh," demikian pesan ustaz Zamri
kepada saya ketika saya mengadu bahawa kepala dan tubuh sudah
terhoyong-hayang. 
Di atas permukaan Sungai Sap itu, sebuah keluarga nelayan berumah di
atas sungai. Dan perahu itulah rumah mereka. Ketibaan kami disambut
bunyi bising enjin motobot disulam bunyi riuh hiruk-pikuk ahli keluarga
nelayan yang berteriak sana-sini.

Suara mereka saling bertingkah dengan suara alam dan bunyi bingit enjin
perahu mereka. Rupa-rupanya, itulah kehidupan mereka. Ini musim
menangkap ikan. 
Kami tiba di perahu induk, menyaksikan setiap ahli keluarga nelayan,
daripada sekecil-kecilnya sehinggalah dewasa, berjuang menyabung nyawa
antara jutaan riak gelombang sungai yang tidak terhitung.

Kemudian, untuk beberapa ketika, sebuah perahu lain dilepaskan ke
tengah sungai untuk menjaring dan menjala ikan-ikan lain pula.
Kemudiannya dalam setengah jam selepasnya perahu yang baru berlepas
tadi akan tiba semula untuk menurunkan hasil tangkapan atas perahu
induk. 
"Di tengah-tengah perahu induk ada lubang-lubang yang ada jaring di
bawahnya supaya ikan-ikan itu dapat disimpan dalam tempoh yang lama,"
salah seorang dari mereka.

Mereka memang sedia terlatih. Setiap bahagian sudah khatam, hadam dan
fasih dengan pekerjaannya masing-masing. Ikan-ikan itu akan diasingkan
antara kecil dan besar untuk jualan di pasar esoknya. Di sepanjang
jalan antara Kilometer 8 ke bandar Phonm Penh ada pasar besar yang
menjual hasil tangkapan daripada sungai tersebut.



Sumber protein

Sebenarnya, sungai ini akan menganjur ke utara, dan akhirnya ia akan
membentuk Tasik Tonle Sap yang menjadi salah satu kawasan perairan
pedalaman yang amat kaya dengan ikan-ikan. Di sekeliling tasik pula,
hutannya menyediakan tempat pembiakan ikan. Hasil tangkapan bersih
daripada sungai dan tasik ini berjumlah sekitar 230,000 tan setahun.

Perairan ini menjadi sumber makanan, protein yang terpenting bagi penduduk di 
sini.
Tasik Tonle Sap yang terletak di utara ini turut menjadi tempat
berkumpulnya burung dan unggas di Asia termasuklah daripada jenis
spesis haiwan yang kini makin terancam.

Jurnal Tonle Sap Biosphere Reserve (2002) menyebutkan tasik itu
menyimpan khazanah pelbagai mamalia, reptilia dan serangga. Segala
tumbuh-tumbuhan yang ditemui di tasik itu hingga kini dicatatkan
berjumlah hampir 200 tumbuhan air berbeza jenisnya.

Pelbagai jenis ikan berhijrah antara tasik Tonle Sap dan Sungai Mekong.
Apabila air dari Sungai Mekong mula mengalir masuk ke tasik besar itu
antara Jun ke September, maka penghijrahan telur-telur berlaku secara
pasif, termasuklah anak ikan dan ikan dewasa.
Selepas tempoh itu, ikan-ikan ini akan mengikut semula arus aliran air
itu dari Tonle Sap dan akhirnya kembali semula ke Sungai Mekong,
demikianlah menurut seorang pengkaji; Marko Keskinen, pada 2003 dalam
Socio economic Survey of the Tonle Sap Lake.

Sama ada penjelasan ilmiah ini menjawab atau mirip atau tidak ke atas
andaian, teori dan postulat Razali, seorang rakan kami, tidaklah
diketahui. 
"Makan saja, jangan fikir lebih-lebih," kata beliau. Barangkali
teka-teki mengenai ke arah mana 'menghilangnya' segala ikan-ikan ini
apabila tibanya musim mengawan ini terjawab sudah menerusi
kajian-kajian para pengkaji habitat di Tonle Sap.

"Kalau musim menangkap ikan, memang banyak ikan yang boleh ditangkap.
Tapi, kalau bukan musimnya, jangan harap kita jumpa ikan pun," kata
Razali. Kata-kata itu sentiasa terngiang-ngiang di fikiran. Jadi,
apabila bukan musim menangkap ikan, nelayan-nelayan ini semua akan
terus pulang ke daratan.

Hanya pada musim menangkap ikan, mereka akan terus berumah di atas sungai itu. 
Di atas bot itulah rumah mereka, tempat nelayan itu menyediakan peti
sejuk beku untuk menyimpan ikan-ikan sebagai hasil jualan pada keesokan
harinya.

Keluarga itu, sememangnya keluarga nelayan. Semuanya punyai peranan
masing-masing dan kami cukup bertuah apabila mengetahui bahawa kami
dilayan penuh istimewa!

"Cuma kita sahaja dapat layanan istimewa ini," kata Ustaz Azhar. "Orang lain 
tidak dapat makan-makan di atas bot ini." 
Malam itu kami telah saksikan sejuta rasa kelainan. Dengan kelucuan
Ustaz Zamri, suara Faizul, Encik Ellen saling bertingkah melawan
kemerduan suara alam bersulam ngauman enjin motobot. Kembara itu
menjadi kembara rohani.

Sesekali kami berbual tentang agama apabila Faizul dan Encik Ellen
bercerita mengenai pengalaman mereka membuat penggambaran di Xian,
China tentang makanan halal serta masjid-masjid dengan rekabentuk China
untuk siaran Astro. 
Sekali lagi.. sayangnya. Oleh kerana keterbatasan bahasa, tidak banyak
kisah khazanah di perut sungai itu yang dapat kami cungkil rahsianya..

11:57 p.m, 1 Januari 
Sekolah Pemikiran Pendang  _  

Kirim email ke