Tragedi hidup Sufiah

LONDON 30 Mac – Sufiah Yusof, seorang kanak-kanak pintar matematik yang
pernah menggemparkan dunia apabila layak memasuki Universiti Oxford pada
usia 13 tahun, tidak putus-putus ditimpa nasib malang.

Selepas bapanya, Yusof Farooq dipenjara atas kesalahan melakukan serangan
seksual ke atas dua gadis berusia 15 tahun yang mengikuti tuisyen matematik
di rumahnya, Sufiah pula kini dilaporkan menjadi pekerja seks.

Tragedi yang melanda kanak-kanak genius itu dibongkar oleh wartawan News of
the World yang menyamar sebagai pelanggan, di flat murah yang didiaminya di
belakang lorong di Salford, Manchester.

Sufiah dikatakan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, untuk menyara
hidupnya sejak beberapa tahun lalu.

Entah di mana silapnya, gadis dengan senyuman menawan itu yang kehebatannya
sepatutnya menjadikan dia wanita kaya, terpaksa memilih jalan itu untuk
terus hidup.

Menurut akhbar itu, Sufiah dilaporkan mengiklankan 'khidmatnya' melalui
Internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.

Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, dia antara lain menggambarkan
dirinya sebagai 'pelajar bijak dan seksi' yang menyediakan perkhidmatan
setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 8 malam.

Dalam iklannya, menurut tabloid tersebut, Sufiah juga menyatakan dia lebih
gemarkan 'lelaki tua yang budiman'. Seorang bekas rakannya menyifatkan
tindak-tanduk gadis itu sebagai: ''Sesuatu yang sungguh menyedihkan.''

"Dengan otak luar biasa yang dimilikinya, dia tidak mempunyai masalah untuk
mendapat wang, sebaliknya hidup dia musnah dan menjadi tidak terkawal," kata
bekas rakannya lagi.

Selepas tiga tahun belajar di Universiti Oxford, pada usia semuda 15 tahun,
Sufiah mencetuskan kegemparan apabila menghilangkan diri.

Dalam e-mel kepada keluarganya, dia menyifatkan hidup dengan bapanya 'umpama
dalam neraka'.

Ibu Sufiah, Halimahton berasal dari Muar, Johor manakala bapanya, Yusof
berasal dari Pakistan.

Sufiah hanya ditemui dua minggu kemudian di sebuah kafe Internet di
Bournemouth dan bekerja sebagai pelayan hotel.

Dia enggan kembali ke pangkuan keluarga dan diletakkan di bawah jagaan
sebuah badan sosial sebelum kembali ke Oxford untuk menyelesaikan pengajian
matematik peringkat sarjana.

Dia berkahwin pada 2004 ketika berusia 19 tahun dengan peguam pelatih,
Jonathan Marshall, 24, tetapi rumah tangganya hanya mampu bertahan selama
setahun.

Kirim email ke