*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ June 14, 2000 Fadzil Mohd Noor 14 Jun: Sepanjang sejarahnya, PAS sebagai wadah perjuangan politik sekali gus gerakan Islam telah melalui pelbagai evolusi perkembangan. Gelombang kepimpinan ulama dalam pertengahan dekad 80-an sehingga akhir 90-an terus membawa satu lonjakan Gelombang Ketiga Gerakan Islam yang meletakkan PAS dalam kedudukan arus perdana (centre-stage) kepimpinan gerakan massa. Sekali gus ia mempelopori kebangkitan umat dan negara yang memang pernah disaksikan dalam sejarah politik tanah air. PAS bukan lagi sekadar sebuah gerakan Islam yang memimpin sebahagian umat yang mencintai Islam. Bahkan kepimpinan PAS kini merentasi seluruh lapisan masyarakat, melampaui perbezaan agama, ras dan budaya. Kini PAS sedang memerintah dua negeri, Kelantan dan Terengganu. PAS hari ini sangat berhajatkan suatu uslub taghyir (metodologi perubahan) yang sekali gus dapat meyakinkan umat dan negara akan keperluan perundangan Islam sebagai satu-satunya cara hidup menyelamatkan masyarakat manusia. Kesinambungan survival perjuangan PAS secara khususnya akan ditentukan antara lainnya oleh beberapa faktor kritikal sama ada dimensi dalaman mahupun luaran. Keupayaan PAS menggarap seluruh cabaran dalaman dan persaingan luar ini - realiti baru atau the new realities, akan bergantung kepada kesediaannya, sementara kesediaannya pula amat dipengaruhi oleh keupayaan keilmuan, hikmah dan kebijaksanaan menyongsong senario politik masa depan secara proaktif, antisipatif dan berani. Dalam suasana inilah, maka PAS lebih memerlukan bimbingan dan penekunan ilmu dan kebijaksanaan untuk terus menerokai liku-liku perjuangan yang terkehadapan. Saya sedar akan tuntutan supaya PAS teguh dari segi prinsip, tetapi kontemporari dari sudut pelaksanaan dan futuristic dari sudut tuntutan fiqhul syara'. Maka kita akan dapat membezakan antara perkara yang tetap (at-thawabit) daripada perkara yang boleh saja berubah-ubah (al-mutaghayyirat). Sekali gus prinsip akan dapat diberikan penetapan konteksnya yang sebenar. Ini memberi kita ruang yang agak luas dan selesa untuk menstrategikan perancangan masa depan yang semakin penuh dengan realiti dan tuntutan baru. Malah sehubungan itu, kepimpinan tidak akan teragak-agak untuk menegaskan kepercayaan dan keyakinan terhadap sesuatu kepentingan jamaah dan parti akan metodologi dan uslub yang diperlukan oleh parti dalam sesuatu tahap perjuangan. Saya ingin meletakkan beberapa faktor sebagai asas penting bagi kemenangan PAS-Barisan Alternatif dan saya kira inilah rahsia kejayaan kita bersama rakan-rakan BA. Tegasnya pembinaan dan pemantapan perkara-perkara berikut dalam mengharungi masa depan PAS-BA adalah kritikal untuk kelangsungan survival-nya. Pemantapan dan proses memperkasakan faktor-faktor berikut mestilah diberikan fokus dan pelaksanaan yang terancang oleh seluruh kepimpinan jamaah. Saya juga sarankan supaya rakan-rakan dalam BA memerhatikan faktor-faktor ini. Antara faktor kritikal kejayaan (critical success factors) kita (al-‘awamil an najah) ialah: Pertama, kewibawaan kepimpinan dan gaya kepemimpinan PAS-BA yang terbuka, telus dan berprinsip; Kedua, falsafah politik berprinsip dan manifesto yang unik dan responsif kepada realiti baru; Ketiga, konsep gandingan BA sebagai alternatif yang segara dan ‘superior' daripada Barisan Nasional. Keempat, kemantapan program penerangan dan kuasa maklumat BA; Kelima, peningkatan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) dan profesional; Keenam, paduan jentera dan rangkaian kerja BA Ketujuh, dukungan massa yang semakin celik realiti, maklumat dan ilmu. Kalau ditanya kepada saya apakah kita akan dapat mengekalkan sokongan rakyat terhadap PAS-BA dalam pilihan raya akan datang atau memperbaiki lagi prestasi BA, maka jawaban saya adalah mudah dan jelas. Sokongan yang kita terima (baru-baru ini) bukanlah sekadar ‘undi bantahan' (protest vote). Namun sama ada kita akan terus mengecapi sokongan ini pada telahan politik saya akan banyak bergantung kepada sejauh mana kita membudaya dan memperkasakan parti dan BA akan ketujuh-tujuh faktor kejayaan kita tempoh hari. Senario politik Malaysia bersama dengan demografinya yang unik memerlukan PAS memunggah segala khazanah ilmu syarak (agama) untuk diberi jalan yang seluas-luasnya bagi menerokai suatu model pelaksanaan Islam yang sentiasa berpegang kepada prinsip, di samping cukup peka terhadap peredaran zaman. Berpandukan kedudukan kaum Melayu-Islam dan juga demografi yang lebih terperinci dari segi pecahan kaum di setiap negeri di Semenanjung dan Malaysia Timur, maka adalah tidak wajar untuk mengharapkan PAS dengan cara bersendirian untuk memenangi pilihan raya di peringkat kerajaan persekutuan, bahkan di beberapa negeri di Pantai Barat. Seperti yang telah ditegaskan di atas, maka di sinilah akan teruji kematangan dan kebijaksanaan kepemimpinan jamaah. Kepimpinan perlu memecahkan isu ini dengan sifat yang telus, terbuka dan berani mengambil risiko yang diperhitungkan dengan berbekalkan ulum syara' dan bacaan politik semasa. Dalam suasana cabaran inilah akan teruji dakwaan pembudayaan "politik berasaskan ilmu/pengetahuan/ maklumat" atau dengan kata lainnya k-politics. PAS cukup insaf dengan menjadikan k-politik sebagai cara gaya kita bergerak sesuai dengan tuntutan hadith. Inilah hikmah nubuwwah (rahsia kebijaksanaan kenabian) yang perlu kita tajdidkan dan dihayati dalam kita menggerakkan usaha dan perancangan kita. Ia juga adalah selari dengan tuntutan waqi' pengundi yang semakin celik maklumat dan pengetahuan atau dengan kata lain kita sedang mendepani dan mengurus pengundi berpengetahuan dan bermaklumat atau k-voters. Penegasan kepada kepentingan BA sebaga uslub yang terbaik bahkan tuntutan perhitungan siyasatul dakwah dan siyasah syar'iah pergerakan perlu diperjelas dan dikomunikasikan kepada seluruh keahlian serta para pendukung perjuangan. Hujah nas dan syarak mesti mendahului hujah mantiq dan logika politik. Begitulah cara kita berdalil dalam mengutarakan hujah. Di samping penjelasan dan pemikiran, saya percaya kepimpinan juga perlu menjelaskan kedudukan perkara tersebut sehingga menjadi suatu keyakinan ahli dengan cara jami' dan mani'. Sekali gus ia perlu memasukkan aspek pelaksanaan dan kaedah mengoperasikan konsep BA dengan cara yang tidak menimbulkan keraguan dan kekhuatiran di kalangan seluruh lapisan ahli. Sesungguhnya, PAS mempunyai potensi cukup besar untuk membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu memerintah dengan pendekatan yang disenangi rakyat, bahkan termasuklah orang bukan Islam. Sedutan teks ucapan dasar Presiden PAS, Datuk FADZIL MOHD NOOR di muktamar yang diadakan pada 2 Jun, 2000 di Kuala Terengganu. Ia diterbitkan di sini sebagai sebahagian siri ucapan-ucapan penting politik nasional. ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>