*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Cili Api 167 
Hari ini akhbar melaporkan satu komen yang menarik daripada Timbalan MB
Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Apabila diminta oleh sebuah akhbar
untuk mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor, yang menyokong
sebarang tindakan Kerajaan Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi
mengurangkan kuasa raja, Halim menegaskan beliau tidak boleh mengulas. 
Katanya, dalam hal ini hanya Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz,
selaku orang nombor satu dalam kerajaan Kelantan, yang boleh memberi komen.
Selanjutnya, Halim menyatakan beliau tidak juga boleh mengulas tentang dasar
parti. Ini hanya boleh dilakukan oleh Presiden, dan bukan oleh seorang
Bendahari, jawatan parti beliau. 
Sikap orang nombor dua kerajaan Kelantan ini betul juga. Tetapi ada lanjutan
kenyataannya ini, dalam laporan berita yang sama, yang Cili Api kurang
faham. Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa, sebagai anggota Exco
kerajaan Kelantan, beliau boleh membuat kenyataan berhubung perkara-perkara
di bawah bidang kuasanya. Akan tetapi kenyataan seumpama itu merupakan
kenyataan peribadi. Mengapa? 
Hal ini mengingatkan Cili Api tentang sebuah wawancara TV yang Cili Api
lihat pada malam perasmian Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan. Yang
diwawancara ialah Halim. Berdiri sebelahnya ialah Menteri Penerangan, Tan
Seri Khalil Yaakub. Kedua-duanya berpakaian segak cara Barat. Agaknya Halim
menghadiri majlis perasmian itu selaku wakil kerajaan Kelantan. Dalam
wawancara tersebut, orang nombor dua dalam kerajaan Kelantan dan entah
nombor berapa dalam PAS ini telah membuat kenyataan yang sepatutnya tidak
dibuat oleh beliau. 
Lebih kurang kenyataan Halim itu berbunyi begini: Projek Putrajaya bukan
pembaziran. Mungkin sekarang ini ada pihak yang memandangnya sebagai projek
membazir. Tetapi pada masa akan datang mungkin orang akan menganggapnya
tidak membazir. Projek ini membuktikan pandangan jauh Perdana Menteri Dr
Mahathir. Putrajaya semacam Washington DC di Amerika dan No 10 Downing
Street di England. 
Macam mana Halim boleh membuat ulasan sebegini rupa? Lupakah beliau Presiden
PAS dan ramai pemimpin PAS yang lain telah berulang kali menegaskan projek
mega ini sebagai tidak menguntungkan rakyat dan tidak ekonomik? Bukankah
mereka selalu menyebut mahligai Seri Perdana itu sebagai pembaziran besar?
Itu sebab Fadzil Noor kata dia hendak melelongnya. 
Lagi pula, perbandingan Putrajaya dengan No 10 Downing Street itu tidak
tepat. Macam langit dengan bumi. No 10 itu sudah menjadi tempat kediaman dan
pejabat rasmi bagi lepas seorang seorang Perdana Menteri British sejak
beberapa abad lalu. Bentuknya sederhana saja. Tetapi dari situlah kerajaan
British pernah memerintah empayar yang besar di seluruh dunia. 
Tidak ada PM British yang hendak membazirkan wang rakyat untuk membina
sebuah mahligai khas bagi dirinya, dikelilingi pula oleh sebuah bandar baru.
Akan tetapi, PM Dr M @ Cek Det seorang saja telah berpindah mahligai Seri
Perdana dua kali, tiap-tiap kali lebih mahal harganya dan lebih membazir.
Agaknya boleh masuk buku rekod Guiness. 
Cili Api sedih dengan kenyataan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman itu. Ia
mengelirukan ramai rakyat yang mendengarnya. Hendak berbaik sangat dengan
pemimpin BN kah? Apa tujuannya? Ada mimpi hendak tinggal di mahligai itukah?

Cili Api 
9hb Februari 2001
http://mahafiraun.tripod.com <index.htm>


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Kusaini Sharif <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke