Siapa Astora Dalam Umno? Oleh Azizi Haji
Abdullah
Saya sudah lama
mengikuti tulisan Astora Jabat di dalam akhbar Utusan Malaysia/Mingguan
Malaysia, baik ketika beliau menjadi wartawan di Kaherah mahupun ketika
menjadi staf, pengelola ruangan agama sekarang. Terus terang saya
nyatakan, adalah sukar untuk menerima tulisan-tulisan beliau kerana asas
tulisan itu 'lebih Umno dari Umno' disebabkan di tangan Astora mempunyai
dua pancing (joran).
Pancing pertama
tentulah Astora berkehendakkan ikan untuk menjadi lauk harian anak
istrinya dan pancing kedua untuk mendapat ikan tambahan untuk dihadiahkan
kepada orang yang membenarkannya memancing di tasik itu kerana tasik lain
sukar baginya mendapat ikan. Kerana kalaulah beliau berbuat begitu maka
akan selamatlah beliau dapat memancing di tasik idamannya.
Tapi nampaknya
sejak akhir-akhir ini Astora bagaikan diserang penyakit 'gila dan geram'
dengan menghentam terus menerus terhadap PAS dan pemimpinnya. Astora juga
terus menerus 'membabi buta' membela Umno untuk membuktikan keUmnoannya
yang telus dan maha betul. Kalaulah dilihat dari sudut peranan seorang
seorang penulis atau pengkritik, Astora tidak sepatutnya menghentam PAS
dan pemimpin-pemimpinnya saja, kerana yang meluat pada Umno/BN bukan saja
PAS sebaliknya parti-parti lain juga malah kelompok-kelompok tertentu
dalam Umno sendiri. Malangnya Astora tidak memainkan peranan penulisannya
terhadap itu.
Balik-balik
menghentam PAS dan para pemimpinnya, seolah-olah pemimpin maha kotor ialah
Nik Aziz, Haji Hadi, Fadzil Nor dan Dr Harun Din. Dan lebih malang lagi
Astora sering membayangkan orang-orang ini sangat kotor peranan mereka
dalam agama kerana menjadi pemimpin PAS walaupun beliau selalu berkata
bahawa beliau menyerang pemikiran bukan peribadi. Sukar untuk kita percaya
bahawa dengan membuat serangan terhadap pemikiran itu untuk membetulkan
kesilapan dan dan mengajak kembali kepada kebenaran kerana Astora tidak
pula pernah menyerang pemikiran untuk membetulkan kesilapan para pemimpin
Umno.
Jadi peranan
Astora sangatlah jelas bahawa beliau dibangkitkan semata-mata dengan satu
missi; jadi alat Umno hentam PAS walau dengan apa cara sekalipun. Cari
salah, hentam. Yang betul pun mesti kata salah, hentam. Jangan bimbang,
tasik disediakan. Pancing pun diberi. Tapi saya ingin bertanya; sampai
bila? Apakah seseorang itu perlu berikrar bahawa segala urusan hidup kita
semata-mata kerana Umno? Seperti yang saya sebutkan di atas bahawa saya
kerap mengikuti tulisan Astora, maka apabila saya membaca tulisan beliau
dalam keluaran Ahad 27 Ogos 2000 lewat ruangan Bicara Agama, saya dapati
Astora benar-benar telah mabuk dengan dua pancing di tangannya sehingga
lupa siapa dia sebenarnya.
Tulisan itu
menggambarkan bahasa Astora Jabat adalah jurucakap Umno, pembela Umno dan
tukang karut Umno yang semuanya memberi kesimpulan bahawa Astora 'lebih
Umno dari Umno'. Sebenarnya menjadi pembela Umno, jurucakap Umno tidaklah
salah. Bukankah Umno sendiri ada Pegawai Penerangannya? Tapi sayang
peranan Astora lebih dari pegawai Umno. Saya bimbang kerana 'lebih Umno
dari Umno' ini orang-orang Umno sendiri akan meluat pada Umno disebabkan
keUmnoan Astora yang melampau.
Hal yang sama
pernah saya menegur Astora di Majlis Debat Pro dan Kontra Negara Islam di
Mengkuang, Bukit Mertajam tidak lama dulu. Saya bimbang kerana peranan
yang terlampau itu orang ramai akan benci kepada Utusan Melayu disebabkan
wadah yang diberi pada beliau itu disalah gunakan secara melampau. Seperti
artikel Astora `Strategi untuk patahkan putar belit PAS' dalam Mingguan
keluaran 27 Ogos 2000 yang lalu, sekali lagi saya melihat betapa
semberononya Astora melempar tohmahan dan kecaman terhadap PAS dan tujuan
penulisannya berdasarkan tajuk menyimpang sama sekali.
Di sinilah
timbul pertanyaan, siapa Astora? Bagi saya selain dari 'lebih Umno dari
Umno' Astora merupakan orang yang tidak tahu apa yang ditulisnya selain
dari sekadar memenuhi ruangan khas untuknya. Bayangkanlah apabila beliau
mencadangkan supaya penceramah Umno kemukakan fakta, maklumat dan ilmu
yang benar dan jelas melalui konsep bijaksana sepeprti yang dianjurkan
oleh Quran ayat 125 surah an-Nahl. Saya ingin jelaskan bahawa gesaan
Astora tidak mampu dilakukan oleh penceramah-penceramah Umno, baik dari
segi fakta, maklumat dan ilmu sekalipun, kecuali jika Dr Mahathir bercakap
tentang ekonomi globalisasi, dasar Selatan-Selatan atau multimedia.
Seperti Astora
sendiri yang bercakap berdasarkan ilmu contohnya, Astora tidak mampu
memikat hadirin selain dari tersekat-sekat memberi hujah dan ini
menjadikan hadirin bosan jemu dan sekaligus meluat. Kerana itu ceramah di
`booo'. Sepanjang yang saya hadir ceramah-ceramah Umno, fakta dan hujah
hanyalah jalan raya, lampu subsidi kerajaan, keamanan, perpaduan kaum.
Apakah ini menjadi menarik kepada rakyat? Menuduh ramai orang Umno hadir
ke ceramah PAS kerana terkeliru dengan isu bererti Astora membodohkan
orang-orang Umno kerana tidak dapat memahami isu semasa.
Ini juga membawa
erti sebahagian orang Umno lebih bodoh dari Astora. Dan sememangnya Astora
sering membodohnya orang-orang Umno malah pemimpin Umno sendiri jika
dilihat dari sudut apa yang tersirat. Jika tulisan beliau pada 27 Ogos
yang lalu hendak dianggap sebagai laporan, maka sudah pasti laporan itu
laporan silap, laporan yang cuba menipu pemimpin Umno dan cuba membodohkan
pemimpin Umno. Ini kerana dakwaan beliau bahawa ceramah PAS yang dihadiri
beribu-ribu orang semasa kemuncak krisis tahun 1998, kini dihadiri ratusan
orang sahaja.
Ceramah PAS
sudah tidak ada tarikan lagi dan tidak mendapat sambutan hebat, malah ada
penganjur PAS mengeluh kerana penceramah yang bertaraf superstar tidak
mendapat sambutan. Apakah dakwaan ini benar atau salah? Jika ini dianggap
sebagai laporan ternyata Astora merupakan perisik Umno yang akan
menjahanamkan Umno sendiri. Laporan yang tidak tepat akan membawa strategi
tidak tepat. Strategi tidak tepat musnahlah perancangan.
Saya ingin
bertanya Astora, di mana ceramah-ceramah PAS yang tidak ada sambutan
sampai penganjur mengeluh? Untuk pengetahuan Astora ceramah-ceramah PAS
dibahagikan kepada beberapa kategori; ada ceramah kelompok; ada ceramah
kawasan; ada usrah dan ada ceramah umum. Bagaimana pun hatta, ceramah
kelompok jika hendak dibanding dengan ceramah Umno, jauh bezanya. Saya
sendiri pernah hadir ke satu ceramah Umno untuk mendengar isu terkini di
Sebarang Perai Utara satu ketika dulu.
Saya sendiri
merasa malu kerana yang hadir tidak sampai lapan belas orang sedangkan
majlis itu disediakan makanan dan minuman, kerusi. Berlainan dengan
ceramah PAS, baik sebelum pilihan raya, selepas pilihan raya. Baik dalam
kawasan kalah atau kawasan menang. Tanpa menyediakan kenderaan, minuman,
makanan malah derma pula dikeluarkan. Saya fikir Astora akan beristighfar
seribu kali apabila melihat ribuan orang, termasuk yang mengendung
anak-anak kecil. Jangan timbulkan soal tertipu, tidak ada fakta, caci,
maki hamun tapi dari segi 'pengunjung' Astora tidak boleh menafikan.
Malah saya berni
bertaruh dengan Astora, kita jemput Dato' Abdul Hamid Othman di satu
tempat, kita jemput Tuan Ibrahim Tuan Man misalnya di satu tempat yang
berdekatan dan Astora dapat melihat siapakah yang bohong? Astora atau PAS?
Jemput pula Dr Mahathir tapi dengan syarat tidak ada bas percuma, makan
percuma dan arahan dari ketua-ketua jabatan. Malam esoknya jemput pula
orang nombor dua dalam PAS, Haji Hadi Awang. Saya ingin bertanya Astora,
di mana saudara hendak sembunyi kebohongan saudara ini? Astora menilai
kehadiran orang ramai dalam ceramah PAS berdasarkan propaganda, benci,
emosi dan memutar belit fakta sedangkan di sanalah mereka mendapat fakta,
ilmu setelah mereka tidak yakin dengan media-media massa.
Oleh itu
janganlah perlekeh kemampuan PAS menarik orang ramai dalam ceramah dan
jangan pula mengada-ngada yang tidak ada apabila Umno buat ceramah. Yang
sebenarnya dalam Umno, untuk mencari lima orang penceramah agama pun tidak
ada. Kalau ada pun mereka tidak mampu pula dan kalau mampu pula, hadirin
tidak ramai yang datang kerana mereka terkongkong dengan teks. Cadangan
Astora berdasarkan pengalaman dalam program ceramah saya kira akan
diketawa oleh pemimpin Umno sendiri pendekatan Astora sudah ketinggalan
zaman.
Tunjukkan
keratan Harakah kepada orang ramai? Pasang keset lama ucapan pemimpin PAS?
Baca transkrip? Itukah saranan terbaik bagi penceramah Umno? Untuk
pengetahuan Astora, pendekatan itulah yang dibuat oleh PAS sejak dulu.
Bukankah lebam mata Anwar Ibrahim sudah dicetak dan ditunjuk? Bukankah
penyelewengan saham ditunjuk melalui transkrip? Bukankah keratan akhbar
cakap-cakap pemimpin tentang salah fakta keagamaan dibuktikan? Bukankah
gambar-gambar skandal juga didedahkan? Jika cara itu mengikut Astora dapat
meyakini orang ramai, maka apakah silapnya fakta itu juga oleh PAS lalu
orang ramai meyakininya?
Soalnya sekarang
sekarang, apa yang dibukti oleh Astora melalui keset, keratan Harakah,
transkrip dan lain-lain tidak betul. Oleh kerana tidak betul maka orang
ramai pun tidak percaya dan apabila tidak percaya, sukar sekali
ceramah-ceramah Umno dihadiri lebih dari seratus orang. Orang-orang PAS
sukakan ilmu. Apabila ceramah-ceramah yang tidak ada unsur ilmu mereka
menganggap buang masa saja. Jadi strategi untuk patahkan putar belit PAS
yang Astora cadangkan tidak lebih dari cuba membodohkan pemimpin dan
orang-orang Umno sendiri dan membuktikan Astora sebenarnya lebih Umno dari
Umno. Jika begini, patutkah orang Umno mempercayainya?
(Azizi akan
terus mengulas tulisan Astora melalui ruangan ini seterusnya - Editor)
|