Cek itu dipercayai dikeluarkan atas nama Datin Asmah beberapa hari sebelum nahas bagi bayaran membekalkan air mineral di Kelantan semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Empat cuba keluarkan cek si mati

KUALA LUMPUR -- Polis menahan empat orang, termasuk anggota polis tambahan syarikat PLUS, kerana cuba menukar cek bernilai RM25,000 ($10,100) yang dicuri dari kereta Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Samsuddin, yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Cek yang dikeluarkan atas nama Datin Asmah Ali Hussein, isteri Datuk Aziz yang terbunuh dalam nahas itu Sabtu lalu, dikemukakan di sebuah bank di sini oleh seorang belia berumur 19 tahun Selasa lalu.

Menurut akhbar The Star semalam, seorang pegawai bank tersebut yang mengesyaki sesuatu, memaklumkan perkara itu kepada polis yang kemudian menahan belia itu.

Siasatan Jabatan Jenayah Komersil kemudian membawa kepada penahanan dua mekanik di Rawang dan kakitangan PLUS di Kuala Pilah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bandar Raya, Penolong Pesuruhjaya Kanan Mat Zin Ibrahim, mengesahkan penangkapan mereka tetapi enggan memberi maklumat lanjut.

Siasatan polis menunjukkan cek tersebut ditemui oleh kakitangan PLUS selepas kemalangan pada Sabtu lalu itu.

Dua mekanik yang turut ditangkap itu terlibat dalam kerja menarik kereta, yang terbabit dalam nahas tersebut dan belia belasan tahun itu disuruh menukar cek di bank.

Cek itu dipercayai dikeluarkan atas nama Datin Asmah beberapa hari sebelum nahas bagi bayaran membekalkan air mineral di Kelantan semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Pengeluar cek itu membuat laporan polis setelah mengetahui mengenai nahas tersebut dan memaklumkan kepada bank agar tidak membuat pembayaran.

Kirim email ke